Tuesday, 29 April 2014

Nilai Melayu

Nilai Melayu dalam Karya Agung Bugis I La Galigo

Sinopsis La Galigo
Epik La Galigo dimulakan dengan penciptaan dunia. Ketika dunia ini kosong (merujuk kepada Sulawesi Selatan), Raja Di Langit, La Patiganna, mengadakan suatu perbicangan keluarga daripada beberapa kerajaan termasuklah Senrijawa dan Peretiwi dari alam ghaib. Dalam mesyuarat ini, mereka sepakat untuk melantik anak lelakinya yang tertua, La Toge’ langi’ menjadi Raja Alekawa (Bumi) dan memakai gelaran Batara Guru. La Toge’ langi’ kemudiannya berkahwin dengan sepupunya, We Nyili’timo yang merupakan anak kepada Guru ri Selleng, Raja alam ghaib. Namun begitu, sebelum Batara Guru diisytiharkan sebagai raja di bumi, beliau perlu melalui suatu tempoh ujian selama 40 hari 40 malam. Tidak lama kemudiannya, beliau turun ke bumi, dikatakan turun di Ussu’, sebuah daerah di Luwu’ dan terletak di Teluk Bone. Pengganti Batara Guru iaitu La Tiuleng, anak kepada Batara Guru kemudiannya menjadi pengganti beliau dengan gelaran Batara Lattu’. Beliau kemudiannya memperoleh dua orang anak kembar iaitu Lawe atau La Ma’dukelleng atau Sawerigading (Putera Ware’) dan kembarnya, seorang anak perempuan bernama We Tenriyabeng. Kedua-dua kembar itu tidak membesar bersama. Sawerigading pada mulanya menganggap We Tenriyabeng tidak mempunyai hubungan darah dengannya, ingin berkahwin dengannya. Tetapi disebabkan ini adalah suatu larangan, beliau meninggalkan Luwu’ dengan menuju ke Cina dan bersumpah tidak akan kembali. Dalam perjalanannya ke Cina, beliau diserang dan telah berjaya mengalahkan beberapa pahlawan termasuklah pemerintah Jawa Wolio iaitu Setia Bonga. Di Cina, beliau mengahwini Datu Cina iaitu We Cudai.
Sawerigading dalam La Galigo digambarkan sebagai seorang kapten kapal yang gagah dan beliau pernah melawati beberapa tempat seperto Taranate (Ternate di Maluku), Gima (Bima atau Sumbawa), Jawa Rilau’ dan Jawa Ritengnga (mungkin Jawa Timur dan Tengah), Sunra Rilau’ dan Sunra Riaja (mungkin Sunda Timur dan Sunda Barat) dan Melaka. Beliau juga dikhabarkan oleh masyarakat Bugis, melawat syurga dan alam ghaib. Pengikut-pengikutnya terdiri daripada saudara-mara dari serata rantau dan rombongannya sering didahului oleh kehadiran tetamu yang luar biasa seperti orang bunian, orang berkulit hitam dan orang berambut di dada.
Menjadi manusia atau penghuni Dunia Tengah, adalah saat yang paling menyulitkan dalam riwayat hidup Batara Guru. Hal ini membawa erti bahawa beliau kehilangan hak-hak istimewanya sebagai seorang dewa, sebagai putera sulung dan pangeran mahkota dari Sang Penentu Nasib yang menguasai seisi alam. Namun begitu, ketahanan Batara Guru menjalani nasibnya sebagai manusia pertama di bumi yang kosong, akhirnya memberi pulangan yang sangat indah sehingga hasratnya untuk kembali ke langit dilupakan. Hal ini juga bermakna, hasratnya untuk kembali menjadi dewa dan menikmati keistimewaan yang pernah menjadi miliknya dilupakan sama sekali. Pada akhir kisah panjang ini, Batara Guru kembali juga ke langit dan menggantikan kedudukan Patotoqe’ sebagai penguasa tertinggi. Namun begitu, hal ini terjadi setelah empat generasi keturunan Batara Guru sudah menjelajah ke seluruh dunia, Bumi dipenuhi dengan manusia dan keturunan para dewa sudah berpindah naik ke Kayangan dan ada yang kekal di Bumi. Episod akhir Sureq Galigo memperlihatkan perkahwinan Dunia Atas dan Dunia Bawah untuk melahirkan penghuni Dunia Tengah, diwarnai dengan penyatuan keluarga besar anak cucu Batara Guru. Mereka yang tersebar sampai ke Cina, yang menetap di Langit dan Dunia Bawah Tanah, kesemuanya datang berkumpul. Sawerigading yang berjaya memenuhi Bumi dengan kelahiran anak cucunya tidak lagi dikutuk jika kembali ke tanah asalnya. Patotoqe’ kemudiannya menutup pintu langit dan tidak lagi dibuka untuk manusia. Dengan ini, terputuslah hubungan antara langit dan dunia. Dengan selesainya misi menyebarkan manusia dan memenuhi dunia dengan kehidupan, maka dianggap lengkaplah kisah Sureq Galigo.


Nilai Melayu Dalam La Galigo
Nilai Budaya
Naskhah La Galigo mengandungi beberapa nilai budaya yang telah menjadi pegangan zaman-berzaman bagi masyarakat Melayu Bugis. Nilai budaya ini berkaitan langsung dengan hukum adat yang mesti dipertahankan. Nilai budaya yang pertama dapat dilihat dalam epos La Galigo melalui perbuatan watak utama iaitu Sawerigading yang terpaksa berangkat keluar dari negeri kelahirannya menuju ke Cina. Sawerigading dikatakan telah dibesarkan secara terpisah dengan saudara kembar perempuannya. Apabila sudah dewasa, dia kembali bertemu dan akhirnya jatuh cinta kepada saudaranya sendiri. Apabila perasaan cintanya diketahui oleh orang ramai, beliau telah dinasihatkan oleh para pembesar supaya keinginannya untuk mengahwini saudara perempuannya, We Tenriabeng dilupakan. Sebagai seorang yang menghormati adat dalam masyarakat, dia patuh kepada undang-undang yang tidak membenarkan perkahwinan sesama adik-beradik. Kepatuhannya terhadap adat didorong oleh tegahan daripada masyarakat istana dan rakyat jelata untuk mengelakkan incest atau malapetaka menimpa. Atas saranan We Tenriabeng, Sawerigading telah memperisterikan We Cudaiq yang kecantikannya setanding dengan keayuan We Tenriabeng. Sebelum keberangkatan Sawerigading ke Cina, dia telah berjanji akan mengahwini Sawerigading sekiranya We Cudaiq tidak dapat mencuri hati saudara lelakinya itu. Dalam hal ini, ternyata We Tenriabeng seorang yang bijak kerana telah mencari seorang perempuan secantik dirinya untuk dikahwini oleh Sawerigading.
            Selain itu, nilai budaya yang terakam dalam La Galigo ialah amalan menyabung ayam yang masih lagi menjadi hiburan utama bagi masyarakat Bugis. Masyarakat yang digambarkan dalam La Galigo amat memandang tinggi kejaguhan seseorang di gelanggang sabung ayam. Dalam persabungan ayam di Cina sewaktu perlawanan sedang berlangsung, We Cudaiq menyaksikan kegagahan dan ketampanan sosok  I La Galigo sehingga menimbulkan perasaan ingin tahu dalam hatinya tentang asal usul I La Galigo. Dengan ditemani ayahnya Sawerigading yang pernah berkali-kali ditolak pinangannya oleh We Cudaiq, I La Galigo melangkah masuk ke dalam gelanggang dengan yakin. Pada masa yang sama, pertemuan antara Sawerigading dan We Cudaiq adalah sesuatu peristiwa yang mengharukan kerana melibatkan dua orang yang terpisah jauh. Sawerigading adalah lelaki yang amat dicintai oleh We Cudaiq meskipun pinangannya banyak kali ditolak. Perasaan We Cudaiq ternyata tidak silap kerana Sawerigading sememangnya suaminya manakala I La Galigo adalah anak mereka. Malangnya, nasib yang diterima oleh I La Galigo amat buruk semasa zaman kecilnya kerana setelah lahir, dia telah dibuang ke dalam laut supaya dimakan ikan.
            La Galigo juga memaparkan nilai budaya menghormati tetamu di dalam naskhahnya. Nilai ini dapat dilihat melalui sebuah nasihat yang diberikan oleh Sawerigading kepada anaknya, I La Galigo sebelum perlawanan sabung ayam berlangsung. Sawerigading telah berpesan kepada anaknya supaya menghormati tetamu seperti datu dan tidak memandang enteng orang lain. Malangnya nasihat yang diberikan oleh Sawerigading telah diingkari oleh anaknya. Pada hari pertarungan, semua penonton memenuhi serambi dan jendela istana untuk menyaksikan pertarungan. Sejumlah ayam ditampilkan berlaga dalam penyabungan tetapi semua ayam orang Cina menggelepar mati. Sabungan yang terakhir telah menemukan ayam I La Galigo dengan ayam Karaeng Tompoq yang digelar Sikuriq Linglung Ceppaga Sinting. Dalam pertarungan tersebut, ayam I La Galigo putus terlempar dan serta merta I La Galigo menangkap dan menyembelih kepala ayam Karaeng Tompoq. Peristiwa ini telah menimbulkan perang antara kedua-dua pihak. Tanpa disedari, Karaeng Tompoq Daeng Malino merupakan isteri La Galigo sendiri. Setelah perang selesai, diadakan pesta dengan menjemput semua penduduk di bumi menghadirinya. Peristiwa tersebut jelas menunjukkan sikap I La Galigo yang tidak boleh menerima kekalahan dalam perlawanan sabung ayam sehingga sanggup melakukan kekasaran terhadap lawannya.

 Nilai Agama
Orang Bugis telah menganut agama Islam menjelang abad ke-16  apabila Islam telah diwartakan sebagai agama rasmi kerajaan Bugis atau Makassar. Islam tersebar ke Makassar melalui unsur kebudayaan yang sangat mudah meresap ke dalam kehidupan masyarakat Bugis. Hal ini adalah disebabkan ajaran Islam yang universal dan sesuai diamalkan sepanjang zaman. Walaubagaimanapun, terdapat sisa kepercayaan dan tradisi bersumberkan elemen pra-Islam yang masih diamalkan seperti Bissu dan kitab La Galigo yang dianggap suci oleh mereka. Dalam hal ini, pelbagai ajaran Islam dan Bugis yang menyelitkan jiwa dan unsur yang sama telah diaplikasikan dan didialogkan bagi menyerlahkan sisi kebudayaan Islam dengan wajah Bugis, atau kebudayaan Bugis dengan wajah Islam.
            La Galigo memberikan pengaruh yang kuat terhadap kepercayaan masyarakat Bugis. Hal ini dapat dilihat melalui doa yang dibaca oleh Bissu yang menyebut Patotoqe sebagai Dewata Seuawae (dewata yang tunggal) yang diambil daripada konsep Allah Yang Maha Esa, meskipun dalam La Galigo, Dewa tidak tunggal sebaliknya beranak-pinak dan diperanakkan. Konsep siriq juga dapat dilihat dalam naskhah La Galigo. Konsep ini kemudiannya disesuaikan dengan konsep jihad. Pada akhirnya, sistem Pangngaderreng yang menjadi falsafah hidup orang Bugis dikukuhkan melalui Islam.
            Menurut Nurhayati Rahman (2008), terdapat lima unsur yang saling mengukuhkan konsep Pangngaderreng iaitu:
            1. wariq (sistem protokol kerajaan)
            2. adeq (adat-istiadat)
            3. bicara (sistem hukum)
            4. rapang (pengambilan keputusan berdasarkan perbandingan
            5. saraq (syariat Islam)
Empat unsur yang utama dijalankan oleh Pampawa Adeq (pelaksana adat), manakala yang terakhir di bawah tanggungjawab Parewa Saraq (pelaksana syariat).
Dalam struktur kehidupan beragama masyarakat Bugis, terdapat tiga penggolongan yang boleh dilakukan iaitu:
1. Penganut Islam militan yang mengikuti syariat Islam secara konsisten dan benar.
2. Penganut Islam yang konsisten melaksanakan syariat Islam, tetapi pada masa yang sama masih menjalankan amalan yang berkaitan dengan ajaran lama mereka.
3. Penganut agama To ri olo (To Lotang, To Kajang, Toraja yang terbahagi kepada dua iaitu penganut Islam yang masih melaksanakan ajaran nenek moyang mereka dan membataskan pelaksanaan syariat Islam untuk upacara kematian sahaja. Selain itu, terdapat juga penganut To Ri Olo murni yang kemudiannya diterima sebagai agama Hindu.

Dalam La Galigo juga terdapat nilai agama yang ditampilkan melalui watak Sawerigading yang menjadi tumpuan dalam cerita. Setelah Sawerigading mengahwini  So Da 1 di Cina, dia bersama anaknya, La Galigo telah berkunjung ke Mekah untuk mencari berkat dan menetap di sana. Sekembalinya dari Mekah dan menetap di Tompoq Tikkaq, Sawerigading juga telah mencadangkan kepada  masyarakat supaya membangunkan tempat ibadah tersebut yang dikenali sebagai Masigi. Hal ini menunjukkan penerapan nilai agama yang wujud dalam naskhah La Galigo melalui watak dan perwatakan Sawerigading.

2 comments:

  1. Assalammualaikum. Karya I La Galigo ini berasal dari bangsa apa ya?

    ReplyDelete
  2. Maaf tak cakna.Karya ini daripada Bangsa Bugis kan?
    Terima kasih sebab nyatakan dan jelaskan nilai beserta contoh watak..sesuai untuk rujukan bagi tajuk tugasan.
    Terbaik !

    ReplyDelete