SINOPSIS SULALATUS SALATIN
Sulalatus Salatin merupakan sejarah sastera mengisahkan
tentang peraturan segala raja-raja Melayu. Iskandar Zulkarnain berkahwin dengan
Puteri Syahrul Bariah dari Benua Hindi. Salah seorang keturunan Iskandar
Zulkarnain bernama Raja Suran kemudiannya masuk ke dalam laut menerusi sebuah
peti kaca untuk menyaksikan kehidupan di dasar laut. Semasa di dasar laut, Raja
Suran berkahwin dengan Puteri Mahtabul Bahri dan melahirkan tiga orang
putera bernama Nila Pahlawan, Krisyna Pendeta dan Nila Utama. Ketiga-tiga orang
putera berkenaan naik ke daratan di tempat yang bernama Bukit Siguntang yang
terletak di Palembang. Nila Utama (Seri Teri Buana) kemudian dilantik menjadi
raja di Palembang. Nila Pahlawan (Sang Sapurba) di Minangkabau dan Krisyna
Pandita di Tanjung Pura. Kemudian diceritakan tentang Seri Teri Buana
yang mahu beristeri. Malangnya, semua anak raja yang ditidurinya mendapat
penyakit kedal. Seri Teri Buana telah mendapat tahu akan kecantikan Radin Ratna
Cendera Puri anakanda Demang Lebar Daun dan ingin mengahwininya.
Sebelum berkahwin, Demang Lebar Daun telah mohon diadakan perjanjian
dahulu. Dia mahu anaknya itu tidak dikeluarkan dari istana kalau dia mendapat
penyakit kedal setelah ditiduri Seri Teri Buana. Biarlah dia menjadi tukang
masak di dapur atau tukang sapu di istana. Demang Lebar Daun juga mahu supaya
raja jangan berlaku zalim dengan memalukan rakyat yang bersalah.
Seri Teri Buana pula mahu rakyat jangan derhaka kepada raja.
Jikalau rakyat derhaka rumahnya akan dibalikkan, kaki tiang ke langit dan
kiranya raja berlaku zalim kerajaannya akan dimusnahkan oleh Allah.
Bagaimanapun setelah ditiduri Seri Teri Buana, Radin Ratna Cendera Puri tidak
kedal. Jadi perkahwinan antara mereka pun dilangsungkan. Selepas perkahwinan
itu berlaku satu peristiwa pelik berlaku, telah hanyut di sungai buih-buih yang
besar dan satu dari antaranya mengandungi seorang budak perempuan. Dia telah
dijadikan anak angkat Seri Teri Buana dan dinamakan Puteri Tanjung Buih.
Seri
Teri Buana telah keluar dari Palembang untuk membuka negeri baru. Selepas
melewati Gunung Lingga, angkatannya telah kehabisan air minuman. Untuk
mendapatkan air tawar, Seri Teri Buana telah menyuruh mencampakkan gulungan
rotan ke laut dan dia sendiri mencelupkan kakinya ke dalam air laut di tengah
gelungan rotan itu. Air laut telah menjadi tawar dan tempat itu dinamakan Selat
Air Tawar. Sesampai Seri Teri Buana di Tanjung Bintan, baginda telah
dijemput oleh Wan Seri Beni ke istana dan Raden Ratna Cendara Puri dibawa ke
istana bondanya iaitu Puteri Iskandar Syah. Seri Teri Buana meneruskan
semula perjalananya. Dia bertolak ke Bengkilau dan berburu hingga ke Tanjung
Sengkuang. Di sini anjng pemburuan baginda telah terjun ke laut dihambat oleh
pelanduk putih. Seri Teri Buana telah memerintahkan tempat itu ditebas untuk
dibuka negeri.
Kemudian, diceritakan juga tentang kedatangan Islam ke Alam Melayu. Merah Silu
dan Merah Caga tinggal di Gunung Sengkuang. Merah Silu kerjanya menahan lukah
tetapi asyik terkena cacing gelang sahaja. Kerana terlalu marah cacing itu
direbus. Nasibnya baik, cacing gelang telah bertukar menjadi emas dan buihnya
menjadi perak. Bila Merah Caga mendengar adiknya dikatakan makan
cacing gelang, dia mahu membunuh saudaranya itu. Merah Silu melarikan dirinya
ke Rimba Jurun.
Satu hari Merah Silu pergi berburu. Anjingnya Si Pasai telah
menemui seekor semut besar. Semut besar itu telah ditangkap oleh Merah Silu dan
dimakannya. Tempat itu dibersihkan dan dinamakan Semudra yang beerti semut
besar. Negeri Semudra itu telah terkenal hingga ke Mekah. Syarif Mekah telah
memerintahkan seorang nakhoda bernama Sheikh Ismail ke Semudra. Dia disuruh
singgah di negeri Mu’tabari untuk mengambil seorang fakir. Sultan Muhamad iaitu
Raja Mu’tabari telah turun dari takhta dan mengikut rombongan itu ke negeri
Semudra. Sultan Muhammad adalah keturunan dari Abu Bakar al-Siddik r.a.
Sebelum sampai ke Semudra, kapal Sheikh Ismail telah singgah
di Fansuri, Lamiri, Haru dan Perlak. Kesemua penduduk di situ telah memeluk
agama Islam tetapi tidak ada yang pandai membaca Qur’an. Merah Silu juga telah
memeluk Islam di tangan fakir Sultan Muhammad itu. Malamnya Merah Silu telah
bermimpi berjumpa Rasulullah. Rasulullah telah meludah ke dalam mulut Merah
Silu. Badan Merah Silu menjadi harum dan dia dapat membaca al-Qur’an. Sheikh
Ismail telah menabalkan Merah Silu dan namanya ditukar menjadi Sultan Malikul
Salleh.
Sultan Malikul Salleh telah berkahwin dengan Puteri
Ganggang, anak raja Perlak. Dia mendapat dua orang anak yang diberi nama Sultan
Malikul Tahir dan Sultan Malikul Mansur.
Sultan Malikul Salleh telah keluar untuk mencari tempat baru
untuk dibuat kerajaan bagi anaknya. Anjing pemburuannya telah menyalak di satu
tanah tinggi. Tempat itu dipandang cantik oleh Sultan Malikul Salleh. Ianya
ditebas dan diberi nama Pasai sempena nama anjing pemburuan baginda. Sultan
Malikul Tahir dirajakan di Pasai itu dengan menterinya bernama Sidi Ali
Ghiathu’d Din sebagai mangkubumi. Sultan Malikul Mansur pula
dirajakan di Samudra dengan menterinya Sidi Ali Yaumid’d Din.
Pada zaman Raja Kecil Besar, baginda telah bermimpi berjumpa
Rasulullah. Rasulullah telah mengajarkannya kalimah tayyibah dan
menukarkan namanya menjadi Sultan Muhammad Syah. Rasulullah juga memberitahu
pada waktu asar esoknya akan tiba sebuah kapal dari Jeddah. Penumpangnya akan
turun solat di pantai. Selepas bangun dari tidur Raja Kecil Besar mendapati tubuhnya
berbau harum dan dia asyik mengulang sebut akan kalimah sehingga disangka oleh
para dayang yang baginda telah dirasuk oleh syaitan.
Kedatangan Islam ke Melaka.
Raja telah memberitahu Bendahara yang ia bermimpi bertemu
Rasulullah. Sebagai buktinya, kalamnya kelihatan telah dikhatankan orang dan
akan datang sebuah kapal pada waktu Asar nanti. Pada petang itu datanglah
sebuah kapal dari Jeddah, Syed Abdul Aziz makhdum kapal itu telah turun
bersembahyang di pantai. Seri Amar Diraja telah dibawa masuk ke istana dan
semua orang pun telah memeluk agama Islam. Mereka semuanya berguru pada SAA
itu. Raja mengubah namanya menjadi Sultan Muhammad Syah. Bendahara bergelar Seri Wak
Raja. Perdana Menteri bergelar Seri Amar Diraja. Penghulu bendahari pula
bergelar Seri Nara Diraja.
Baginda membuat beberapa pantang larang termasuk melarang
rakyat menggunakan kain warna kuning melainkan untuk dibuat kain, baju dan
destar. Rakyat juga tidak boleh berbuat rumah tiang gantung, Perahu tidak boleh
bertingkap dan berpenghadapan. Tidak boleh memakai penduk dan teterapan keris.
Tidak boleh bergelang emas di kaki. Tidak boleh berkeroncong emas kepala perak.
Barangan emas tidak boleh dipakai kecuali dianugerahkan oleh raja. Jika hendak
masuk ke istana perlu memakai kain berpancung, berkeris di hadapan dan
bersebai. Jika keris di belakang akan dirampas. Payung putih khusus untuk raja.
Payung kuning pula untuk putera raja.
Pemerintahan Sultan Mansur Syah.
Setelah memerintah selama 42 tahun, Sultan Muzaffar Syah pun
meninggal dunia. Beliau telah digantikan oleh anaknya Raja Abdullah yang
bergelar Sultan Mansur. Pada masa menaiki takhta berumur 27 tahun. Isterinya
ialah Tun Putih, anak Seri Nara Diraja. Mempunyai seorang anak gundik bernama
Puteri Bakal.
Baginda memerintahkan Bendahara Paduka raja dan Seri Bija
Diraja menyerang negeri Inderapura yang diperintah oleh Maharaja Dewa yang
berada di bawah taklukan Siam. Bendahara pula dapat menawan Puteri Onang Sari.
Sultan Mansur Syah berkeinginan bersahabat dengan
Siam dan Menteri Jana Putera serta Tun Telanai dititahkan ke Siam. Orang
tua dari Melaka berjaya menunjukkan kebolehannya sehingga mengagumkan
raja Siam. Tun Telanai dan Menteri Jana Putera juga berjaya
membuat tipu helah sehingga berjaya mengelakkan
daripada menentang musuh Siam yang kuat di sebelah matahari mati.
Bab 6
Sultan Mansur Syah ingin meminang Puteri
Raden Galuh Cendera Kirana, anak Sang Aji Jaya Ningrat dengan Puteri
Raden Galoh Awi Kesuma. Rombongan Melaka sampai ke Majapahit dan dapat menunjukkan kepandaian. Tun Bijaya Nara dapat menyelamatkan keris, mencuri keris Betara Majapahit, menari
"sapu-sapu rengit", dan menggertak anjing yang ditambat
berhampiran utusan Melaka. Sultan Mansur Syah berkahwin dengan Raden
Galuh Cendera Kirana. Kuda Sultan jatuh ke dalam telaga tahi dan
diselamatkan oleh Hang Tuah.
Orang-orang Melaka yang diketuai oleh Tun Perpatih Putih dapat melihat wajah raja China setelah makan kangkung yang dibelah tetapi tidak dikerat. Puteri Hang Liu berkahwin dengan Sultan Mansur Syah. Sultan Mansur Syah menyuruh Tun Telanai dan Menteri Jana Putera menghantar sembah baginda kepada raja China. Tun Telanai dan Menteri Jana Putera terpesong ke Brunei dan dapat menipu raja Brunei dengan mengatakan Sultan Mansur Syah tidak menyembah China.
Raja China mendapat sakit kedal setelah disembah
oleh Sultan Mansur Syah dan ubatnya ialah air basuh kaki Sultan
Mansur Syah. Raja China sembuh daripada penyakitnya setelah menyantap dan
membasuh muka dengan air basuh kaki raja Melaka.
Bab 7
Hang Jebat mengamuk di istana Melaka
kerana membalas dendam atas kematian Hang Tuah. Sultan Mansur
Syah mengenang-ngenang akan Hang Tuah memandangkan tidak ada sesiapa
yang berjaya menewaskan Hang Jebat. Seri Nara Diraja menjelaskan bahawa Hang
Tuah masih hidup dan Hang Tuah dibawa pulang.
Hang Tuah bertikam dengan Hang Jebat dan beliau berjaya
membunuh Hang Jebat. Hang Tuah diberikan gelaran Laksamana oleh
Sultan Mansur Syah. Sultan Mansur Syah berpindah istana tetapi istana
yang baru dibina itu terbakar dan banyak harta tidak dapat diselamatkan. Sultan
Mansur Syah menitahkan Bendahara agar dibuat istana baru dan istana
itu disiapkan dengan kerjasama rakyat. Seri Nara Diraja sakit dan
mewasiatkan agar Bendahara Paduka Raja menjaga anak-anaknya.
Bendahara Paduka Raja terlihat suatu cahaya dari
langit turun ke kepala Tun Mutahir. Tun Tahir dijadikan Seri Nara Diraja, iaitu
Penghulu Bendahari manakala, Tun Mutahir menjadi Temenggung bergelar Seri
Maharaja. Melaka menyerang Kampar dan Maharaja Jaya dapat dibunuh
oleh Seri Nara Diraja manakala, Khoja Baba dapat membunuh Tun Demang,
mangkubumi Kampar.
Melaka menyerang Siak dan Siak dapat dikalahkan. Maharaja
Parameswara dibunuh oleh Akhtiar Muluk manakala, Megat Kudu, anak Maharaja
Parameswara ditawan. Sultan Mansur Syah mengahwinkan anak baginda,
Raja Mahadewi dengan Megat Kudu kemudian Megat Kudu dirajakan di Siak dengan
gelaran Sultan Ibrahim. Tun Muhammad membunuh Tun Besar, anak
Bendahara Paduka Raja kerana bola sepak raga yang disepak oleh Tun Besar jatuh
menimpa destar Raja Muhammad. Anak-anak buah Bendahara Paduka Raja
ingin membalas dendam tetapi ditegah oleh Bendahara.
Sultan Mansur Syah merajakan Raja Muhammad di
Pahang memandangkan tidak ada yang menyembah Raja Muhammad di Melaka.
Semerluki jatuh hati kepada ibu saudaranya dan dihalang oleh ayahnya Keraeng
Majiko. Keraeng Majiko menyuruh Semerluki merompak mencari perempuan di Ujung
Tanah. Semerluki merosakkan jajahan Melaka dan diketahui oleh Sultan
Mansur Syah lalu menyuruh Laksamana menghalang Semerluki.
Orang-orang Melaka berperang dengan tentera
Semerluki dan ramai orang Melaka mati. Laksamana
berjaya menewaskan Semerluki.
Mauiana Abu Bakar membawa kitab Duri'l-mazlum ke
Melaka. Sultan Mansur Syah dan ramai pembesar Melaka berguru dengan Maulana Abu
Bakar. Sebelum itu kitab itu dirujuk dan diterjemahkan di Pasai.
Sultan Mansur Syah menyuruh Tun Bija Wangsa ke
Pasai merujuk masalah agamadan masalah itu diselesaikan oleh Makhdum Mua.
Bab 8
Sultan Mansur Syah gering dan memberi
wasiat kepada anakanda baginda sebelum mangkat. Sultan Mansur
Syah mangkat dan digantikan oleh Raja Hussain dengan gelaran Sultan
Alau'd Din Riayat Syah.
Melaka diancam pencuri sehingga Sultan Alau'd-Din
Riayat Syah bertindak menyamar diri untuk membanteras pencuri-pencuri.
Temenggung Seri Maharaja bertindak keras dengan
mengetatkan undang-undang setelah beliau disindir oleh Sultan Alau'd-Din Riayat
Syah. Sultan Alau'd-Din Riayat Syah membuat undang-undang
mencuri dikudungkan tangan manakala, di simpang empat di tengah negeri
dibuat sebuah balai untuk diletakkan harta kecurian yang dijumpai.
Raja Pahlawan dari Haru mengamuk di Pasai setelah
surat yang bertulis 'salam' disebut 'sembah'. Ramai orang Pasai mati. Sultan
Alau'd-Din Riayat Syah menyuruh pahlawan Melaka menghalang orang-orang
Haru. Pertempuran berlaku antara orang-orang Melaka dengan
orang-orang Haru. Berlaku perdamaian antara Melaka dengan Haru. Raja
Maluku dan Telanai Terengganu datang ke Melaka.
Selepas Telanai Terengganu pulang, Sultan Muhammad, iaitu
Raja Pahang menitahkan Seri Akar Raja membunuh Telanai
Terengganu kerana pergi ke Melaka tanpa memberitahu baginda. Sultan
Alau'd-Din Riayat Syah mendapat tahu perkara itu
dan menitahkanpahlawan-pahlawannya menyerang Pahang kerana Sultan
Muhammad membunuh Telanai Terengganu tanpa pengetahuan Melaka dan Raja Muhammad
juga ingin menyerang Melaka. Bendahara tidak membenarkan keinginan Sultan
Alau'd-Din Riayat Syah untuk menyerang Pahang.
Laksamana telah dititahkan ke Pahang untuk menyelesaikan
masalah itu. Laksamana Hang Tuah ke Pahang dan menyuruh
orangnya membunuh salah seorang keluarga Seri Akar Raja. Apabila
ditanya tentang pembunuhan ke atas Telanai Terengganu, Sultan Muhammad berdalih
dengan mengatakan Telanai Terengganu berlaku biadap.
Bab 9
Laksamana Hang Tuah dihantar ke Siak dan di sana
beliau mencerca Tun Jana Pakibul kerana membunuh orang tanpa
memberitahu ke Melaka. Raja
Mamad dilantik sebagai Sultan Melaka setelah Sultan Alaud'-Din Riayat
Syah mangkat.
Sultan Mahmud gering dan dijaga oleh
Bendahara Paduka Raja dan Laksamana Hang Tuah. Apabila sembuh,
Bendahara dan Laksamana dianugerahkan usungan tetapi Bendahara tidak
menggunakannya. Bendahara Paduka Raja sakit dan memberi
wasiat kepada anak cucunya. Kepada Sultan Mahmud Syah, beliau menasihatkan
agar jangan ikut nafsu dan jangan mendengar fitnah. Bendahara Paduka
Raja mati dan digantikan oleh Bendahara Tun Perpatih Putih.
Sultan Mahmud Syah mengganggu isteri Tun
Biajid dan baginda hampir-hampir dibunuh oleh Tun Biajid.
Sultan Mahmud Syah juga mengganggu Tun Dewi tetapi oleh sebab
Tun Ali Sandang berada di sana. Sultan Mahmud menyuruh Tun Isap
membunuh Tun Ali Sandang. Seri Wak Raja ingin membunuh Tun Isap
tetapi Sultan Mahmud menyuruh Tun Isap melarikan diri. Tun Isap
pulang ke Melaka dan dibunuh oleh Seri Wak Raja.
Seri Bija Diraja dibunuh oleh Sultan Mahmud kerana
lambat datang pada hari raya. Sultan Mahmud menitahkan Paduka
Tuan menyerang Manjong manakala, Seri Maharaja menyerang
Kelantan. Kedua-dua serangan itu berhasil.
Bab 10
Bendahara Putih mati dan digantikan oleh Bendahara
Seri Maharaja atau Tun Mutahir. Bonda Sultan Mahmud yang memilih beliau menjadi
Bendahara. Kedatangan Patih Adam dari Surabaya akhirnya telah menimbulkan
krisis di Melaka kerana ingin berkahwin dengan Tun Minda, anak Seri Nara
Diraja. Patih Adam menuntut janji daripada Seri Nara Diraja yang dikatakan
mahu menjodohkan Patih Adam dengan Tun Minda tetapi Seri Nara Diraja
menafikannya.
Setelah kemangkatan permaisurinya, Sultan
Mahmud menitahkan agar dipinang Puteri Gunung Ledang. Tun Mamad,
Laksamana, dan Sang Setia ke Gunung Ledang. Tun Mamad berjumpa Dang Raya
Rani lalu Tun Mamad memberitahu tujuannya ke Gunung Ledang itu. Seorang
perempuan tua berjumpa dengan Tun Mamad dan menjelaskan syarat yang
dikenakan untuk meminang Puteri Gunung Ledang.
Apabila diberitahu kepada Sultan Mahmud, Sultan
Mahmud membatalkan niatbaginda meminang Puteri Gunung Ledang.
Baginda tidak sanggup menumpahkandarah anakanda baginda. Orang-orang
Melaka menjadikan orang Inderagiri di Melaka sebagai hamba sehingga mereka
ingin pulang ke negeri mereka. Akhirnya, Sutan Nara Singa pulang ke Inderagiri.
Hang Nadim diarahkan ke benua Keling untuk membeli kain
serasah. Kepandaian Hang Nadim melukis sendiri corak kain dikagumi. Hang Nadim
pulang ke Melaka tetapi kapal yang dinaikinya tenggelam kerana kapal
Hang Isap disumpah oleh seorang wali. Sultan Mahmud murka kepada Hang Nadim
kerana tidak banyak membawa balik kain yang diingini baginda. Hang Tuah
meninggal dunia dan digantikan oleh Laksamana Khoja Hassan.
Bab 11
Sultan Abdul Jamal menyuruh Seri Wangsa Diraja ke
Melaka untuk memberitahu kemangkatan ayahanda baginda. Sultan Mahmud berasa
sedih dan menitahkan Seri Wak Raja ke Pahang untuk menobatkan Sultan Abdul
Jamal Syah. Setelah Seri Wak Raja pulang dan memberitahu kecantikan Tun Teja,
Sultan Mahmud inginkan Tun Teja walaupun Tun Teja sudah bertunang dengan Sultan
Abdul Jamal.
Hang Nadim ke Pahang untuk membawa
pulang Tun Teja ke Melaka. Hang Nadim berjaya
melarikan Tun Teja setelah berbaik-baik dengan perempuan tua tukang urut.
Hang Nadim berjaya mengalahkan serangan Pahang di laut. Sultan Abdul
Jamal ingin menyerang Melaka dengan gajah Ai Kening. Laksamana Khoja
Hassan ke Pahang dan melarikan gajah Ai Kening, dan sebelum itu Laksamana Khoja
Hassan dapat menewaskan angkatan Pahang yang menyerangnya di laut. Sultan
Abdul Jamal begitu marah dan turun dari takhta. Baginda digantikan
oleh anakanda baginda, Sultan Mansur Syah.
Raja Zainal, iaitu adinda kepada Sultan Mahmud mengambil
kesempatan atas ketampanannya untuk merosakkan gadis dan perempuan di
Melaka. Sultan Mahmud mahu supaya Raja Zainal dibunuh sahaja dan
tugas ini disempurnakan oleh Hang Berkat. Setelah Hang Berkat
digelar Sang Sura, isteri Sang Sura bermukah dengan Sang Guna. Sang Sura
ingin membunuh Sang Guna tetapi ditegah oleh Sultan Mahmud. Sultan
Mahmud menitahkan agar Sang Guna tidak boleh keluar rumah.
Bab 12
Raja Legor ingin menyerang Pahang atas suruhan
raja Siam. Bendahara Seri Maharaja dititahkan ke Pahang
untuk membantu Pahang. Orang-orang Melaka menyiapkan kubu
pertahanan di Pahang. Terjadi peperangan antara orang Legor
dengan Pahang tetapi Pahang tidak dapat ditewaskan.
Tun Perpatih Hitam dan Tun Hussain dibunuh kerana bersikap biadap di
hadapan Bendahara. Cau Seri Bangsa memeluk Islam setelah berjaya
menewaskan Raja Sulaiman Syah di Kota Mahligai. Cau Seri Bangsa menjumpai
Petani dan menjadi raja di sana. Cau Seri Bangsa memohonkan nobat di
Melaka. Raja Kedah juga datang ke Melaka dan memohonkan nobat.
Kedatangan Peringgi ke Melaka dan bentuk fizikal mereka menghairankan
orang-orang Melaka. Peringgi menyerang Melaka di bawah pimpinan
Gonsalo Periera tetapi gagal menewaskan Melaka. Maulana Sadar
Jahan datang ke Melaka. Sultan Mahmud berguru dengan maulana itu. Tun
Mai Ulat Bulu berguru dengan Maulana Sadar Jahan tetapi Maulana Sadar
Jahan memarahi beliau yang susah menyebut perkataan bahasa Arab. Sultan
Mahmud menitahkan Orang Kaya Tun Muhammad ke Pasai merujuk soal
agama dan masalah itu diselesaikan oleh Tun Hassan.
Bab 13
Bendahara Seri Maharaja hendak mengahwinkan
anaknya Tun Fatimah dengan Tun Ali. Raja Dibaruh menasihatkan agar
Bendahara menunjukkan Tun Fatimah kepada Sultan Mahmud terlebih dahulu
tetapi Bendahara enggan kerana darjat keluarganya rendah jika
dibandingkan dengan Sultan Mahmud. Bendahara mengahwinkan
anaknya dengan Tun Ali. Sultan Mahmud berdendam dengan Bendahara setelah
melihat kecantikan Tun Fatimah. Ali Manu Nayan ingin memberi
rasuah kepada Tun Hassan Temenggung tetapi ditolak oleh beliau.
Anak-anak buah Tun Hassan Temenggung selalu meminta
rasuah daripada saudagar-saudagar kaya di Melaka. Nina Sura Dewana dan
Raja Mendaliar bertelagah dan meminta Bendahara
menyelesaikannya tetapi disuruh pulang terlebih dahulu kerana hari sudah
petang. Nina Sura Dewana memberi hadiah kepada Bendahara Seri
Maharaja dan perkara ini dilihat oleh Si Kitul. Si Kitul memberitahu
Raja Mendaliar bahawa Nina Sura Dewana memberi emas kepada
Bendahara supaya Bendahara membunuh Raja Mendaliar.
Raja Mendeliar memberi hadiah kepada Laksamana
Khoja Hassan dan memberitahu bahawa Bendahara Seri Maharaja ingin menderhaka.
Laksamana Khoja Hassan memberitahu Sultan Mahmud dan Sultan Mahmud bercadang
untuk membunuh Bendahara kerana selama ini baginda memangberdendam dengan
Bendahara kerana Tun Fatimah.
Bendahara Seri Maharaja, Seri Nara Diraja, Tun Hassan
Temenggung, dan Tun Alidi bunuh oleh Sultan Mahmud. Paduka Tuan
dilantik menjadi Bendahara walaupun sudah tua dan uzur. Tun
Fatimah tidak pernah senyum, malah menggugurkan kandungan selepas
berkahwin dengan Sultan Mahmud. Sultan Mahmud turun dari
takhta dan digantikan dengan Sultan Ahmad Syah dan Sultan
Ahmad pula merupakan seorang sultan yang mengamalkan sikap pilih
kasih.
Bab 14
Peringgi menyerang Melaka di bawah pimpinan
Alfonso d'Albuquerque tetapiserangan kali pertama Peringgi ke atas
Melaka gagal. Orang-orang Melaka membaca Hikayat Muhammad
Hanafiah untuk menaikkan semangat kerana Peringgi akan menyerang
lagi. Berlaku pertempuran hebat antara tentera Peringgi dengan
orang-orang Melaka sehingga orang Melaka tidak dapat bertahan. Sultan Ahmad dan
Sultan Mahmud meiarikan diri hingga ke Pahang. Sultan Ahmad dibunuh atas
arahan ayahandanya kerana baginda tidak menghormati pembesar-pembesar dan
digantikan oleh Raja Muzaffar. Tun Fatimah melahirkan seorang
anak lelaki, iaitu Tun Ali dan diberi gelaran Sultan Alau'd Din Ri'ayat
Syah. Peringgi menyerang Bintan dan Sultan Mahmud terpaksa berundur hingga
ke Kampar.
Bab 15
Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah ditabalkan menjadi
raja selepas kemangkatan Sultan Mahmud Syah dan baginda meninggalkan
Kampar menuju ke Pahang dan berkahwin dengan Raja Kesuma Dewi, anak
Sultan Mansur Syah. Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah membuka sebuah
negeri di Kuala Johor. Raja Omar, iaitu cucu Sultan Mansur Syah di
Pahang berkahwin dengan Raja Fatimah, anak Sultan Alaud'-Din Ri'ayat
Syah.
Sultan Muzzafar Syah menggantikan Sultan
Alaud'-Din Ri'ayat Syah yang mangkat dan baginda membuka sebuah negeri bernama
Seluyut. Raja Omar menceraikan isteri pertamanya setelah Raja Fatimah
hamil, manakala Sultan Muzaffar Syah jatuh hati dan berkahwin dengan
bonda Raja Mansur. Kemangkatan Sultan Muzaffar dan digantikan oleh Sultan
Abdul Jalil Syahkemudian digantikan pula oleh Sultan Ala Jalla Abdul Jalil
Ri'ayat Syah. Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Ri'ayat Syah membuka
negeri di Batu Sawar dan kemudiannya ke negeri Makam Tauhid. Sultan Ala
Jalla Abdul Jalil mangkat dan digantikan oleh Raja Mangsur dengan
gelaran Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah. Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah
kemudiannya memindahkan pusat pentadbiran negeri dari Makam Tauhid ke
negeri di Pasir Raja.
Sumber: A. Samad Ahmad (2013), (peny.) Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sumber: A. Samad Ahmad (2013), (peny.) Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment