KONSEP KARYA AGUNG

Pengenalan
Tamadun sesuatu bangsa adalah warisan daya cipta bangsa itu yang dapat dikesani dan dihayati melalui karya-karya terdahulu yang ternukil oleh bijak pandai yang terdiri daripada karyawan, seniman, pemikir, ahli falsafah dan ilmuan bangsa itu (Hassan Ahmad, 2005). Karya-karya ini dianggap sebagai karya agung. Oleh itu, karya agung dalam konteks dunia Melayu boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya tahan zaman, iaitu yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu. Nilai yang dimaksudkan adalah nilai seninya, nilai budayanya, nilai ilmu dan pemikiran yang terkandung di dalamnya, nilai pada teknik kepengarangannya yang luar biasa dan nilai bahasanya yang tinggi dan indah – semuanya lahir dalam kesepaduan bentuk, bahasa dan gaya penceritaan yang luar biasa. Maksud ‘luar biasa’ ini dapat kita lihat dan rasakan apabila kita mengkaji cara atau kaedah berfikir dan bercerita yang digunakan, sama ada secara sedar, spontan atau secara ‘terancang’ bagi menyampaikan sesuatu ilmu, konsep, pandangan hidup, mesej dan lain-lain (Hassan Ahmad, 2005).
            Salah satu bukti atau bahan yang boleh dijadikan rujukan terhadap sesuatu bangsa ialah karyanya. Hal ini demikian kerana sebuah karya adalah cerminan bangsa yang menjadi latar dalam karya tersebut pada waktu karya itu dihasilkan. Sebuah karya adalah seperti rakaman yang mencatatkan perihal masyarakat dan perlakuannya. Karya yang ketika itu dihasilkan mungkin hanya bertujuan sebagai hiburan atau sebagai hobi untuk mengisi masa lapang, tidak mustahil akan menjadi rujukan pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana apabila sesebuah masyarakat itu tidak lagi wujud, hanya karya yang menjadi tinggalan sebagai bukti kewujudan mereka serta aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh mereka. Lazimnya, sesebuah karya akan merakam kehidupan sesebuah masyarakat walaupun tidak secara khusus tetapi cukup untuk mengidentitikan masyarakat tersebut. Karya-karya hebat akan bertahan dalam jangka masa yang lama sehingga boleh diteliti oleh generasi yang akan datang selepasnya. Karya hebat sepeti ini disebut sebagai karya agung.



No comments:

Post a Comment