Nilai Melayu dalam Karya Agung Bugis I La Galigo
Sinopsis La Galigo
Epik La Galigo
dimulakan dengan penciptaan dunia. Ketika dunia ini kosong (merujuk kepada
Sulawesi Selatan), Raja Di Langit, La Patiganna, mengadakan suatu perbicangan
keluarga daripada beberapa kerajaan termasuklah Senrijawa dan Peretiwi dari
alam ghaib. Dalam mesyuarat ini, mereka sepakat untuk melantik anak lelakinya
yang tertua, La Toge’ langi’ menjadi Raja Alekawa (Bumi) dan memakai gelaran
Batara Guru. La Toge’ langi’ kemudiannya berkahwin dengan sepupunya, We
Nyili’timo yang merupakan anak kepada Guru ri Selleng, Raja alam ghaib. Namun
begitu, sebelum Batara Guru diisytiharkan sebagai raja di bumi, beliau perlu
melalui suatu tempoh ujian selama 40 hari 40 malam. Tidak lama kemudiannya,
beliau turun ke bumi, dikatakan turun di Ussu’, sebuah daerah di Luwu’ dan
terletak di Teluk Bone. Pengganti Batara Guru iaitu La Tiuleng, anak kepada
Batara Guru kemudiannya menjadi pengganti beliau dengan gelaran Batara Lattu’.
Beliau kemudiannya memperoleh dua orang anak kembar iaitu Lawe atau La
Ma’dukelleng atau Sawerigading (Putera Ware’) dan kembarnya, seorang anak
perempuan bernama We Tenriyabeng. Kedua-dua kembar itu tidak membesar bersama.
Sawerigading pada mulanya menganggap We Tenriyabeng tidak mempunyai hubungan
darah dengannya, ingin berkahwin dengannya. Tetapi disebabkan ini adalah suatu
larangan, beliau meninggalkan Luwu’ dengan menuju ke Cina dan bersumpah tidak
akan kembali. Dalam perjalanannya ke Cina, beliau diserang dan telah berjaya
mengalahkan beberapa pahlawan termasuklah pemerintah Jawa Wolio iaitu Setia
Bonga. Di Cina, beliau mengahwini Datu Cina iaitu We Cudai.
Sawerigading
dalam La Galigo digambarkan sebagai seorang kapten kapal yang gagah dan beliau
pernah melawati beberapa tempat seperto Taranate (Ternate di Maluku), Gima
(Bima atau Sumbawa), Jawa Rilau’ dan Jawa Ritengnga (mungkin Jawa Timur dan
Tengah), Sunra Rilau’ dan Sunra Riaja (mungkin Sunda Timur dan Sunda Barat) dan
Melaka. Beliau juga dikhabarkan oleh masyarakat Bugis, melawat syurga dan alam
ghaib. Pengikut-pengikutnya terdiri daripada saudara-mara dari serata rantau
dan rombongannya sering didahului oleh kehadiran tetamu yang luar biasa seperti
orang bunian, orang berkulit hitam dan orang berambut di dada.
Menjadi
manusia atau penghuni Dunia Tengah, adalah saat yang paling menyulitkan dalam
riwayat hidup Batara Guru. Hal ini membawa erti bahawa beliau kehilangan
hak-hak istimewanya sebagai seorang dewa, sebagai putera sulung dan pangeran
mahkota dari Sang Penentu Nasib yang menguasai seisi alam. Namun begitu,
ketahanan Batara Guru menjalani nasibnya sebagai manusia pertama di bumi yang
kosong, akhirnya memberi pulangan yang sangat indah sehingga hasratnya untuk
kembali ke langit dilupakan. Hal ini juga bermakna, hasratnya untuk kembali
menjadi dewa dan menikmati keistimewaan yang pernah menjadi miliknya dilupakan
sama sekali. Pada akhir kisah panjang ini, Batara Guru kembali juga ke langit
dan menggantikan kedudukan Patotoqe’ sebagai penguasa tertinggi. Namun begitu,
hal ini terjadi setelah empat generasi keturunan Batara Guru sudah menjelajah
ke seluruh dunia, Bumi dipenuhi dengan manusia dan keturunan para dewa sudah
berpindah naik ke Kayangan dan ada yang kekal di Bumi. Episod akhir Sureq
Galigo memperlihatkan perkahwinan Dunia Atas dan Dunia Bawah untuk melahirkan
penghuni Dunia Tengah, diwarnai dengan penyatuan keluarga besar anak cucu
Batara Guru. Mereka yang tersebar sampai ke Cina, yang menetap di Langit dan
Dunia Bawah Tanah, kesemuanya datang berkumpul. Sawerigading yang berjaya
memenuhi Bumi dengan kelahiran anak cucunya tidak lagi dikutuk jika kembali ke
tanah asalnya. Patotoqe’ kemudiannya menutup pintu langit dan tidak lagi dibuka
untuk manusia. Dengan ini, terputuslah hubungan antara langit dan dunia. Dengan
selesainya misi menyebarkan manusia dan memenuhi dunia dengan kehidupan, maka
dianggap lengkaplah kisah Sureq Galigo.
Nilai Melayu Dalam La Galigo
Nilai Budaya
Naskhah La
Galigo mengandungi beberapa nilai budaya yang telah menjadi pegangan
zaman-berzaman bagi masyarakat Melayu Bugis. Nilai budaya ini berkaitan
langsung dengan hukum adat yang mesti dipertahankan. Nilai budaya yang pertama
dapat dilihat dalam epos La Galigo melalui perbuatan watak utama iaitu
Sawerigading yang terpaksa berangkat keluar dari negeri kelahirannya menuju ke
Cina. Sawerigading dikatakan telah dibesarkan secara terpisah dengan saudara
kembar perempuannya. Apabila sudah dewasa, dia kembali bertemu dan akhirnya
jatuh cinta kepada saudaranya sendiri. Apabila perasaan cintanya diketahui oleh
orang ramai, beliau telah dinasihatkan oleh para pembesar supaya keinginannya
untuk mengahwini saudara perempuannya, We Tenriabeng dilupakan. Sebagai seorang
yang menghormati adat dalam masyarakat, dia patuh kepada undang-undang yang
tidak membenarkan perkahwinan sesama adik-beradik. Kepatuhannya terhadap adat
didorong oleh tegahan daripada masyarakat istana dan rakyat jelata untuk mengelakkan
incest atau malapetaka menimpa. Atas saranan We Tenriabeng, Sawerigading telah
memperisterikan We Cudaiq yang kecantikannya setanding dengan keayuan We
Tenriabeng. Sebelum keberangkatan Sawerigading ke Cina, dia telah berjanji akan
mengahwini Sawerigading sekiranya We Cudaiq tidak dapat mencuri hati saudara
lelakinya itu. Dalam hal ini, ternyata We Tenriabeng seorang yang bijak kerana
telah mencari seorang perempuan secantik dirinya untuk dikahwini oleh
Sawerigading.
Selain itu, nilai budaya yang
terakam dalam La Galigo ialah amalan menyabung ayam yang masih lagi menjadi
hiburan utama bagi masyarakat Bugis. Masyarakat yang digambarkan dalam La
Galigo amat memandang tinggi kejaguhan seseorang di gelanggang sabung ayam.
Dalam persabungan ayam di Cina sewaktu perlawanan sedang berlangsung, We Cudaiq
menyaksikan kegagahan dan ketampanan sosok
I La Galigo sehingga menimbulkan perasaan ingin tahu dalam hatinya
tentang asal usul I La Galigo. Dengan ditemani ayahnya Sawerigading yang pernah
berkali-kali ditolak pinangannya oleh We Cudaiq, I La Galigo melangkah masuk ke
dalam gelanggang dengan yakin. Pada masa yang sama, pertemuan antara
Sawerigading dan We Cudaiq adalah sesuatu peristiwa yang mengharukan kerana
melibatkan dua orang yang terpisah jauh. Sawerigading adalah lelaki yang amat
dicintai oleh We Cudaiq meskipun pinangannya banyak kali ditolak. Perasaan We
Cudaiq ternyata tidak silap kerana Sawerigading sememangnya suaminya manakala I
La Galigo adalah anak mereka. Malangnya, nasib yang diterima oleh I La Galigo
amat buruk semasa zaman kecilnya kerana setelah lahir, dia telah dibuang ke
dalam laut supaya dimakan ikan.
La Galigo juga memaparkan nilai
budaya menghormati tetamu di dalam naskhahnya. Nilai ini dapat dilihat melalui
sebuah nasihat yang diberikan oleh Sawerigading kepada anaknya, I La Galigo
sebelum perlawanan sabung ayam berlangsung. Sawerigading telah berpesan kepada
anaknya supaya menghormati tetamu seperti datu dan tidak memandang enteng orang
lain. Malangnya nasihat yang diberikan oleh Sawerigading telah diingkari oleh
anaknya. Pada hari pertarungan, semua penonton memenuhi serambi dan jendela
istana untuk menyaksikan pertarungan. Sejumlah ayam ditampilkan berlaga dalam
penyabungan tetapi semua ayam orang Cina menggelepar mati. Sabungan yang
terakhir telah menemukan ayam I La Galigo dengan ayam Karaeng Tompoq yang
digelar Sikuriq Linglung Ceppaga Sinting. Dalam pertarungan tersebut, ayam I La
Galigo putus terlempar dan serta merta I La Galigo menangkap dan menyembelih
kepala ayam Karaeng Tompoq. Peristiwa ini telah menimbulkan perang antara
kedua-dua pihak. Tanpa disedari, Karaeng Tompoq Daeng Malino merupakan isteri
La Galigo sendiri. Setelah perang selesai, diadakan pesta dengan menjemput
semua penduduk di bumi menghadirinya. Peristiwa tersebut jelas menunjukkan
sikap I La Galigo yang tidak boleh menerima kekalahan dalam perlawanan sabung
ayam sehingga sanggup melakukan kekasaran terhadap lawannya.
Nilai Agama
Orang Bugis
telah menganut agama Islam menjelang abad ke-16
apabila Islam telah diwartakan sebagai agama rasmi kerajaan Bugis atau
Makassar. Islam tersebar ke Makassar melalui unsur kebudayaan yang sangat mudah
meresap ke dalam kehidupan masyarakat Bugis. Hal ini adalah disebabkan ajaran
Islam yang universal dan sesuai diamalkan sepanjang zaman. Walaubagaimanapun,
terdapat sisa kepercayaan dan tradisi bersumberkan elemen pra-Islam yang masih
diamalkan seperti Bissu dan kitab La Galigo yang dianggap suci oleh mereka.
Dalam hal ini, pelbagai ajaran Islam dan Bugis yang menyelitkan jiwa dan unsur
yang sama telah diaplikasikan dan didialogkan bagi menyerlahkan sisi kebudayaan
Islam dengan wajah Bugis, atau kebudayaan Bugis dengan wajah Islam.
La Galigo memberikan pengaruh yang
kuat terhadap kepercayaan masyarakat Bugis. Hal ini dapat dilihat melalui doa
yang dibaca oleh Bissu yang menyebut Patotoqe sebagai Dewata Seuawae (dewata
yang tunggal) yang diambil daripada konsep Allah Yang Maha Esa, meskipun dalam
La Galigo, Dewa tidak tunggal sebaliknya beranak-pinak dan diperanakkan. Konsep
siriq juga dapat dilihat dalam naskhah La Galigo. Konsep ini kemudiannya
disesuaikan dengan konsep jihad. Pada akhirnya, sistem Pangngaderreng yang
menjadi falsafah hidup orang Bugis dikukuhkan melalui Islam.
Menurut Nurhayati Rahman (2008),
terdapat lima unsur yang saling mengukuhkan konsep Pangngaderreng iaitu:
1. wariq (sistem protokol kerajaan)
2. adeq (adat-istiadat)
3. bicara (sistem hukum)
4. rapang (pengambilan keputusan
berdasarkan perbandingan
5. saraq (syariat Islam)
Empat unsur yang
utama dijalankan oleh Pampawa Adeq (pelaksana adat), manakala yang terakhir di
bawah tanggungjawab Parewa Saraq (pelaksana syariat).
Dalam struktur
kehidupan beragama masyarakat Bugis, terdapat tiga penggolongan yang boleh
dilakukan iaitu:
1. Penganut
Islam militan yang mengikuti syariat Islam secara konsisten dan benar.
2. Penganut
Islam yang konsisten melaksanakan syariat Islam, tetapi pada masa yang sama
masih menjalankan amalan yang berkaitan dengan ajaran lama mereka.
3. Penganut
agama To ri olo (To Lotang, To Kajang, Toraja yang terbahagi kepada dua iaitu
penganut Islam yang masih melaksanakan ajaran nenek moyang mereka dan membataskan
pelaksanaan syariat Islam untuk upacara kematian sahaja. Selain itu, terdapat
juga penganut To Ri Olo murni yang kemudiannya diterima sebagai agama Hindu.
Dalam La Galigo
juga terdapat nilai agama yang ditampilkan melalui watak Sawerigading yang menjadi
tumpuan dalam cerita. Setelah Sawerigading mengahwini So Da 1 di Cina, dia bersama anaknya, La
Galigo telah berkunjung ke Mekah untuk mencari berkat dan menetap di sana.
Sekembalinya dari Mekah dan menetap di Tompoq Tikkaq, Sawerigading juga telah
mencadangkan kepada masyarakat supaya
membangunkan tempat ibadah tersebut yang dikenali sebagai Masigi. Hal ini
menunjukkan penerapan nilai agama yang wujud dalam naskhah La Galigo melalui
watak dan perwatakan Sawerigading.
Assalammualaikum..
ReplyDeleteSiapa pengarang karya I La Galigo ni? atau kisah ini berbentuk epik?
Waalaikummussalam. Terima kasih atas pertanyaan anda. Untuk makluman anda, pengarang sebenar bagi karya I La Galigo ini sehingga sekarang masih tidak dapat dikenal pasti. Walau bagaimanapun, berdasarkan apa yang kami kaji selama ini, karya I La Galigo ini telah diadaptasi dalam dua versi bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia. Antara pengarangnya ialah Dul Rahman yang mana beliau telah berusaha untuk mengangkat kembali karya ini supaya dihayati oleh segenap lapisan masyarakat. Ya, kisah ini sememangnya berbentuk epik kerana karya ini mengisahkan susur galur keturunan orang-orang Bugis.
ReplyDelete