SENI RETORIK DAN GAYA BAHASA
KONSEP RETORIK MELAYU KLASIK
Perkataan
retorik berasal daripada bahasa Yunani iaitu ‘Rethor’ yang bermaksud pidato.
Perkara ini merujuk kepada seni
penggunaan bahasa dalam pertuturan atau penulisan, iaitu dengan tujuan untuk
memujuk, mempengaruhi dan meyakinkan orang. Kebiasaannya, kegunaan seni retorik
berkisar dalam karya prosa seperti teks pidato.
Menurut
Kamus Dewan (2005:1326), retorik ialah kajian tentang teknik pemakaian bahasa
secara berkesan dalam penulisan dan pertuturan. Retorik juga ialah seni
menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau
mempengaruhi pemikiran pendengar. Awang Sariyan
(2006:8) menyatakan retorik sebagai satu bentuk strategi komunikasi
berbahasa yang menekankan aspek keberkesanan dalam perhubungan. Retorik juga
melibatkan soal keterampilan atau kemahiran seseorang mengajukan buah fikiran, idea,
atau gagasan. Menurut beliau lagi, dari segi sejarah awal wujudnya, retorik
memang dikaitkan dengan kemampuan atau keterampilan seseorang itu menyampaikan
pemikiran dalam bentuk hujah atau pidato. Hudson seorang ahli retorik pernah
menimbulkan isu ini apabila beliau menyatakan bahawa retorik pada waktu
tertentu telah kehilangan konotasi positif kerana salah faham sesetengah orang.
Menurut beliau lagi, salah faham ini disebabkan orang tidak faham akan asal
usul timbulnya retorik dan fungsi retorik dalam komunikasi.
Terdapat
beberapa pandangan dari pemimpin dunia seperti Gorys Keraf dalam Abu Hassan
Abdul dan Mohd Rashid Idris (2010:1), perkataan retorik diertikan sebagai
istilah yang secara tradisional diberikan pada cara pemakaian bahasa sebagai
seni didasarkan pada pengetahuan yang tersusun baik. Tokoh retorik klasik
seperti Plato pula dalam bukunya, Pheadrus berpendapat, retorik merupakan
wacana yang rasional dan diletakkan sebagai seni yang digunakan secara meluas
dalam aktiviti pidato yang merupakan satu-satunya saluran penyampaian idea,
fikiran dan maklumat. Aristotle pula melihat retorik sebagai seni pemujukan dan
merupakan disiplin yang lengkap tentang teknik, kaedah dan amalan menghasilkan
pengucapan yang benar dan berkesan (Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Idris,
2010:2).
Adolf
Hitler, Benitto Musolini, J.F Kennedy, Abraham Lincorn, Sukarno, dan beberapa
orang pemimpin Islam yang dikategorikan sebagai pemidato yang dapat
menyampaikan idea, visi atau transformasi kepada rakyat dengan berkesan. Jeniri
Amir (2006:15) menyatakan ungkapan tersebut menjadi ikutan umum kerana mudah
diingat dan menyerap ke dalam minda pendengar. Hal ini demikian kerana ungkapan
tersebut berpaksikan kepada tiga prinsip seperti yang menjadi pegangan
pemimpin-pemimpin terdahulu semasa menyampaikan pidato. Prinsip
"tiga" atau "tricolon" dapat sahaja dimanfaatkan dalam
bentuk perulangan kosa kata, ungkapan, frasa atau ayat. Prinsip ini jika
digunakan dengan tepat akan memberikan kesan dramatik dan mampu mengikat
perenggan dengan berkesan. Rangkaian bertiga mampu menghasilkan rentak dan
ritma. Alat tersebut dapat dikatakan sebagai alat pengucapan dan teks ucapan
yang berkesan. Pengucap, pemidato, dan pemimpin terkemuka sering menggunakan
prinsip kumpulan bertiga kerana mereka sedar akan kesan penggunaannya.
Berbalik
kepada penumpuan pengkajian iaitu retorik dalam karya Melayu terutama karya
agung memperlihatkan orang Melayu lebih cenderung untuk menggunakan pelbagai
retorik dalam penulisan sebagai daya penarik berbanding isi yang ingin
disampaikan. Hal ini dibuktikan dengan pendapat yang dinyatakan oleh Mohd
Affandi Hassan dalam Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Idris, (2010:23) bahawa
apa juga usaha untuk menarik minat penonton contohnya penglipur lara, Tok
Selampit dan Awang Batil memilih retorik seperti cerita-cerita tambahan,
penggunaan suara dan sebagainya sebagai elemen retorik. Beliau juga menyatakan
bahawa orang Melayu lebih mementingkan retorik daripada genre untuk mencapai
sesuatu maksud.
Dalam konteks moden, retorik
dikenali sebagai seni penggunaan bahasa persuratan atau lisan yang melibatkan
penyampaian fakta dan idea dengan menggunakan bahasa yang tersusun, menarik dan
mampu memberikan impak kepada khalayak pendengar mahu pun pembaca. Oleh itu,
retorik sewajarnya dikuasai oleh setiap pengguna bahasa bagi mencapai tujuan
berbahasa. (Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd Ra’in Shaari, 2010:30).
Penulis
teks atau pengucap yang baik selalunya bijak memilih diksi atau kata-kata. Hal
ini bermaksud kata-kata yang dapat
mengungkap kenyataan, memperhalus, memperbesar, bahkan menyembunyikan realiti.
Dalam retorik, bahasa yang digunakan hendaklah jelas, tepat, mudah, indah, dan
menarik. Pemidato perlu sentiasa berusaha untuk menggunakan kata-kata yang
khusus supaya dapat mendukung maksud sebenarnya. Pemidato sering dinasihati
agar menggunakan kata-kata yang sederhana dan mengelakkan penggunaan kata-kata
yang bombastik. Kata-kata tersebut dimaksudkan sebagai kata yang berdegar-degar
dan lebih besar daripada idea yang cuba disampaikan. Dalam hal yang perlu
difahami oleh pemidato adalah lebih baik menggunakan fakta dan hujah yang mudah
ditafsir dan difahami daripada menggunakan kata-kata yang bombastik ini.
Lantas, penggunaan kata-kata yang tepat, jelas, dan menarik lebih menimbulkan
kesan yang mendalam dan kuat terhadap pendengar. Perkataan tersebut dapat
menggambarkan sikap, perasaan atau keadaan yang dilukiskan oleh pemidato.
Secara
ringkasnya dapat disimpulkan bahawa retorik sebenarnya bertujuan mempengaruhi,
memujuk dan meyakinkan khalayak pendengar ataupun pembaca. Keutamaan diberikan
kepada susunan idea dan penggunaan bahasa yang baik dan tersusun. Hal ini
kerana sekiranya ungkapan yang dilontarkan tidak mempunyai sebarang idea maka
timbullah ungkapan retorik kosong. (Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd
Ra’in Shaari, 2010:30). Bahkan, Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd Ra’in
Shaari, (2010:30) menyebut retorik dapat diketahui melalui dua aspek penting
iaitu pengatahuan tentang bahasa dan penggunaannya yang baik. Kedua, penggunaan
tentang objek tertentu yang akan disampaikan dengan menggunakan bahasa.
BENTUK BINAAN AYAT
Ayat boleh
terbentuk daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang pengucapannya
dimulakan dengan kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan, serta mengandungi
intonasi yang sempurna. (Panduan Nahu dan Retorik untuk Penulisan : 2008). Ayat
ialah unit pengucapan yang paling tinggi dalam susunan tatabahasa dan
mengandungi makna yang lengkap. Dalam struktur tatabahasa, ayat terletak pada
kedudukan yang paling tinggi. Struktur tatabahasa ini dimulakan dengan
perkataan, diikuti dengan frasa, klausa, dan seterusnya ayat. Keadaan ini
bermaksud, ayat terdiri daripada binaan klausa, frasa, dan perkataan. Antara
bentuk binaan ayat ialah struktur ayat yang panjang dan berbelit-belit, kerap
menggunakan penanda wacana, kaedah penghilangan, penggunaan kata hubung di
hadapan ayat dan banyak menggunakan ayat majmuk.
a) Struktur ayat yang panjang dan
berbelit-belit
Struktur ayat
yang digunakan adalah panjang dan berbelit-belit. Penggunaan ayat yang panjang
sehingga terdiri daripada berpuluh-puluh perkataan dalam satu ayat agak sukar
untuk difahami. Selain itu, struktur binaan ayatnya yang agak tunggang-terbalik
dan banyak ayat disongsangkan memerlukan pengamatan yang lebih oleh pembaca
untuk memahami sesebuah teks. Walhal, jika kita memahami teks tersebut, kita
dapat merasakan bahawa perkara yang ingin disampaikan pengarang adalah perkara
yang terlalu mudah sebenarnya.
b) Kerap
menggunakan penanda wacana
Selain itu,
struktur ayat dalam sesebuah teks turut memaparkan banyak penanda wacana
berbentuk klasik. Komponen ini berfungsi untuk menunjukkan peranan bahasa dalam
melahirkan pengalaman dan fikiran. Dalam hikayat misalnya, pengarang dilihat
banyak menggunakan penanda wacana untuk menghubungkan antara satu ayat dengan
ayat yang lain. Boleh dikatakan hampir setiap ayat dalam satu perenggan yang
sama ada menggunakan penanda wacana seperti syahdan, maka, hal yang sedemikian
itu maka dan sebagainya.
c) Kaedah
Penghilangan
Kaedah
penghilangan ini turut dikenali sebagai elipsis. Kaedah ini berlaku bagi tujuan
menjaga unsur-unsur yang membentuk jalinan ayat dan maksudnya. Keadaan ini
bermaksud, unsur yang dianggap hilang diperoleh semula melalui konteks
kebahasaan atau bukan kebahasaan.
d) Penggunaan
Kata Hubung di Hadapan Ayat
Pengarang dilihat seringkali menggunakan kata
hubung di hadapan ayat. Keadaan ini merupakan satu fenomena biasa pada
pengarang-pengarang zaman dahulu kerana mereka sangat mementingkan keindahan
dan seni kesusasteraan dalam penulisan mereka. Mereka kebiasaannya akan
memulakan ayat dengan menggunakan penanda wacana atau kata hubung seperti dan,
maka dan sebagainya.
e) Banyak
Menggunakan Ayat Majmuk
Ayat majmuk
ialah ayat yang terbina daripada dua ayat tunggal atau lebih (Abdul Hamid
Mahmood, 2006: 181). Pengarang dilihat cenderung untuk menggunakan ayat majmuk.
Keadaan ini disebabkan oleh struktur binaan ayatnya yang panjang dan
berbelit-belit.
FRASA DAN KLAUSA
- Frasa
Frasa secara
umumnya merupakan kumpulan kata yang
membentuk unit sintaksis sesuatu klausa. Manakala menurut ahli bahasa
tradisional pula frasa merupakan rangkai kata satu atau lebih perkataan yang di
gabungkan. Manakala menurut ahli bahasa moden pula, frasa merupakan rangkai
kata satu atau lebih perkataan yang berpotensi untuk diperluaskan. Lazimnya,
dalam ayat frasa berfungsi sebagai unsur pengisi kepada subjek, predikat, objek
dan keterangan.
Antara
ciri-ciri frasa ialah, frasa boleh diperluaskan lagi iaitu dengan menambah
perkataan lain. Selain itu frasa juga boleh disisipkan dengan unsur lain
misalnya menambah perkataan, perkataan lain di tengah-tengah frasa. Malah,
frasa juga merupakan konstituen yang longgar kerana boleh digugurkan mengikut
konteks ayat. Bahkan frasa juga bersifat produktif kerana frasa boleh
diperkembangkan lagi dengan frasa yang lain. Di samping itu, bentuk frasa juga
lazimnya dalam bentuk yang umum dan mempunyai kebolehgantian yang tinggi dengan
frasa yang lain. Sungguhpun demikian, frasa merupakan bukan leksikal ataupun
bukan perkataan. Frasa terdiri daripada empat jenis frasa iaitu Frasa Nama,
Frasa Kerja, Frasa Adjektif dan Frasa Sendi Nama.
Frasa kerja merupakan binaan yang boleh
berdiri daripada satu perkataan atau lebih dan kata intinya kata kerja.
Lazimnya, kata kerja boleh terdiri daripada kata kerja transitif ataupun kata
kerja tak transitif. Kata kerja tak transitif boleh hadir bersendirian atau
diikuti oleh satu atau deretan perkataan, manakala kata kerja transitif mesti
diikuti oleh objek serta unsur-unsur lain.
Frasa Adjektif merupakan susunan
perkataan yang terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang
mengandungi kata adjektif atau kata sifat sebagai kata intinya. Kata inti merupakan
bahagian utama dalam susunan frasa tersebut. Frasa adjektif yang dibincangkan
berfungsi sebagai predikat dan unsur keterangan dalam predikat. Secara umumnya
frasa Adjektif terdiri daripada sembilan jenis iaitu, frasa adjektif sifatan
atau keadaan, frasa adjektif warna, frasa adjektif ukuran, frasa adjektif
bentuk, frasa adjektif waktu, frasa adjektif jarak, frasa adjektif cara, frasa
adjektif perasaan, dan frasa adjektif pancaindera.
Frasa sendi nama
merupakan satu binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu sendi nama dan satu
frasa nama yang menjadi pelengkap kepada kata sendi tersebut. Lazimnya frasa
sendi nama terletak di hadapan frasa nama.
Sungguhpun demikian frasa sendi nama juga boleh didahului oleh kata
bantu. Antara frasa sendi nama yang lazimnya
terdapat dalam bahasa Melayu ialah di, ke, dari, daripada, pada, kepada, untuk,
akan, bagi, hingga, oleh dengan, sampai, tentang dan sebagainya.
Klausa
Klausa merupakan
deretan perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang terdiri daripada
dua jenis iaitu klausa bebas dan klausa tidak bebas. Klausa bebas merupakan
klausa yang boleh berdiri sendiri tanpa memerlukan klausa lain. Manakala klausa
tidak bebas merupakan klausa yang memerlukan klausa lain untuk melengkapkan
struktur ayat. Lazimnya klausa tidak bebas hadir dalam ayat majmuk.
Perkataan-perkataan (ayat/klausa)
merupakan didefinisikan sebagai lafaz yang memberikan faedah. Contoh yang
diberikan dalam teks kitab Bustan al-Katibin adalah “Berdirilah engkau” yang
membawa maksud menyuruh seseorang untuk bangun. Istilah kata-kata merujuk
kepada frasa pula merupakan kata-kata yang hadir selepas perkataan-perkataan
dan ia melengkapi perkataan tersebut. Contohnya, “Si Zaid itu berdirikah ia
atau dudukkah ia”. Perkataan tersebut akan menjadi sempurna apabila dijawab
dengan “Si Zaid berdiri”.
PENGARUH BAHASA ASING
Pengaruh bahasa
asing dalam kitab Bustan al-Katibin dapat dilihat dengan jelas apabila
pengarangnya, Raja Ali Haji banyak menggunakan istilah-istilah Arab dalam
penulisannya. Pengaruh bahasa Arab dalam penulisan beliau mungkin disebabkan
oleh latar belakang pendidikannya yang telah mendalami ilmu pengetahuan di
Makkah. Seluruh huraian dalam kitab tersebut yang berkaitan ilmu bahasa Melayu
adalah berdasarkan kaedah huraian dan konsep tatabahasa Arab. Istilah-istilah
yang digunakan juga dipinjam secara langsung daripada bahasa Arab. Contoh
penggunaan bahasa Arab dalam penulisan kitab ini dapat dilihat daripada bab
permulaan lagi.
Raja Ali Haji telah memulakan
bahagian Muqaddimah atau pendahuluan dengan ayat Fifadhilati al-‘ilmu wa
‘I-‘aqlu yang bermaksud pendahuluan ini menyatakan tentang kelebihan ilmu dan
akal. Selain itu, beliau juga menyatakan hadith Rasullah SAW yang berbunyi:
Kama qala ‘
n-Nabiyi sallal-Lahu’alaihi wa sallam man yarda ‘I-Lahu bihi khairan yafqahahu
fi’d-din”.
(Bustan
al-Katibin, 2005:4)
Barang siapa
dikehendaki Allah untuk membuat kebaikan, maka ia diberi pemahaman kepada ilmu
agama”.
Penggunaan kata
Arab juga dapat dilihat dalam penyataan lima syarat keberhasilan ilmu yang
merangkumi al-himmat, al-mudarasah, al-muhafazat, muzakarah dan mutala’at.
Al-himmat merujuk kepada kesungguhan untuk mendapatkan ilmu. Al-mudarasah pula
bererti kuat menderas atau mengulang ilmu yang sudah diperoleh. Syarat ketiga,
al-muhafazat bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh hendaklah dihafaz.Muzakarah
yang merupakan syarat keempat bererti menyebut-nyebut ilmu itu kepada orang
lain agar sentiasa saling mengingati. Syarat yang terakhir merupakan
mutala’atyang merujuk kepada menilik ilmu yang dikaji dan memikirkan maknanya.
(Bustan al-Katibin, 2005: 5-6).
Penggunaan kata Arab juga digunakan
untuk merujuk kepada kata nama, kata kerja dan kata partikel. Kata-kata
tersebut diterangkan dalam Fasal 10 hingga Fasal 13. Kata Arab yang merujuk
kepada kata nama adalah isim, kata kerja (fi’il) dan kata partikel dirujuk
kepada harf. Bukti penggunaan bahasa Arab dinyatakan seperti berikut:
“Pertama, pada
bahasa ‘Arab isim yakni nama, dan kedua, fi’il yakni perbuatan, dan ketiga
harf’.
(Bustan
al-Katibin, 2005: 26-26)
Menurut Asmah
Haji Omar (1991:138), kata pinjaman daripada bahasa Arab merupakan kumpulan
yang terbesar daripada kata-kata yang dibawa dari luar alam Melayu. Kata
pinjaman daripada bahasa Arab itu boleh dibahagikan kepada dua jenis. Yang
pertama ialah kata yang sudah menjadi kebiasaan dalam penggunaan bahasa Melayu,
sedangkan yang kedua terdiri daripada kata-kata yang kurang biasa bagi pengguna
bahasa Melayu. Ringkasnya, kata-kata jenis kedua ini merupakan kata-kata
keagamaan yang sungguh-sungguh “teknikal”. Kata jenis yang pertama terdiri
daripada kata sehari-hari serta juga kata-kata yang merupakan istilah dalam
agama Islam. Bagaimanapun, istilah keagamaan dalam kategori ini merupakan
istilah yang dikenal rata-rata oleh orang Melayu Islam kerana berhadapan
dengannya setiap hari. Istilah-istilah itu adalah antara lain seperti nabi,
wali, zakat, syarat, tauhid, salih, rukun, halal, haram, khabar, ya ‘ni,
hakikat.
Berdasarkan
contoh-contoh di atas, terdapat banyak kata daripada bahasa Arab yang tidak
berubah dari segi fonologinya, walaupun sudah menjadi kata sehari-hari bagi
orang Melayu. Tegasnya bunyi sy, gh, z dan yang seperti itu tetap
dipertahankan dalam kata-kata tersebut. Kata pinjaman Arab jenis kedua terdiri
daripada kata-kata yang kurang biasa dalam penggunaan bahasa Melayu
sehari-hari. Kata-kata tersebut betul-betul merupakan istilah pada peringkat
yang lebih tinggi daripada jenis pertama tadi. Contoh kata-kata tersebut ialah
thabit, mutawatir, jawhar, dharuri, tawajjuh, istidlali, mashaf, jamad,
khilafat.
Kata Pinjaman
Sanskrit
Menurut Asmah
Haji Omar (1991:139), kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit juga dibahagikan
kepada dua jenis, tetapi pembahagiannya itu berdasarkan darjat asimilasinya.
Dan darjat asimilasi ditentukan berdasarkan ciri fonologi. Unsur-unsur daripada
bahasa Sanskrit masuk ke dalam bahasa mereka sebagai satu-satu kata atau
istilah dan bukan sebagai bahasa sepenuhnya. Dengan menggunakan ukuran fonologi
ini, kita dapat melihat kata-kata yang manakan yang betul-betul sebati dengan
bahasa Melayu, dan yang mana belum. Antara kata-kata tersebut ialah karena, manusya, binyasa, syaksyi, syiksya,
pandita, daruhaka, buddi, sattaru.
Gejala yang
serupa dapat kita lihat dalam bahasa Melayu sekarang ini dalam menghadapi kata
pinjaman. Contoh yang jelas ialah adanya paham dan faham, pikir dan fikir, dan
seterusnya. Dalam contoh-contoh ini, paham dan pikir sudah memperlihatkan
asimilasi sepenuhnya, sedangkan faham dan fikir belum. Kata pandita belum
mengalami asimilasi sepenuhnya dari segi fonologi dalam abad keenam belas.
Maknanya sebagai “orang yang arif dalam
agama” dipertahankan. Kata pendeta dalam
bahasa Melayu sekarang sudah memperlihatkan perubahan makna kepada
“orang yang pandai dalam ilmu sastera atau bahasa”.
Sebahagian besar daripada kata
pinjaman daripada bahasa Sanskrit merupakan kata yang sudah mengalami asimilasi
ke dalam bahasa Melayu. Bahkan kebanyakan daripada kata-kata tersebut tidak
lagi dirasakan sebagai kata pinjaman. Sebagai contoh, diturunkan kata-kata yang
seperti kata, mula raja, negeri, acara, antara, bangsa, bahagia, rupa, dosa,
pahala, bahawa, utama, pertama.
Assalammualaikum. "Seni retorik dan gaya bahasa". Jujur kedua-dua aspek ini sangat indah apabila dikaji. Saya pernah mengkaji Novel Dalam Mihrab Cinta menggunakan kedua-dua aspek ini.
ReplyDeleteTahniah kepada admin blog yang sangat berusaha memuat naik nota berkaitan aspek ini. Terbaik!
Waalaikumussalam. Terima kasih atas perkongsian dan pandangan anda terhadap blog ini. Sesebuah karya yang telah diangkat sebagai karya agung semestinya mengandungi nilai estetika yang menarik yang mampu meletakkan sesebuah karya yang ulung yang mampu dijadikan sebagai warisan kepada masyarakat umum. Diharapkan anda terus menerus memberi pandangan yang membina tentang semua entri yang terdapat pada blog ini agar kami dapat membuat penambahbaikan supaya dapat menjawab segala pertanyaan yang anda ingin ajukan.
ReplyDelete