ESTETIK DALAM KARYA AGUNG
Konsep keindahan
Melayu Klasik
Karya sastera
memang mempunyai nilai estetik, sama ada tahap tinggi atau bertaraf rendah.
Nilai estetik ini seharusnya dapat menikmati sebagai nikmat ketika membaca,
menghayati dan memahami setiap hasil karya. Begitulah, bagi karya novel,
cerpen, puisi (pantun, syair, gurindam, seloka dan sajak) drama dan sebagainya
ada terselit nilai-nilai estetika dan keindahan.
Secara
umumnya perkataan estetika dalam bahasa Yunani ialah aesthesis yang membawa
maksud hal-hal yang dapat diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus lagi
membawa maksud ‘kepekaan’ manusia terhadap sesuatu gaya penulisan. Estetik juga
boleh diertikan sebagai persepsi pancaindera (sense of perception), iaitu
merupakan istilah estetika yang digunakan untuk
kajian falsafah. Selain itu, estetika juga membawa banyak pengertian
daripada ramai tokoh falsafah. Ahli falsafah Jerman bernama Alexander
Baumgarten (1714-1716) adalah orang pertama yang memperkenalkan perkataan
aisthetika.
Estetik
adalah rasa indah pada umumnya dan tentang kesenian pada khususnya. Pandangan
mengenai falsafah dan estetika sangat berhubung rapat dengan kesenian. Apabila
disentuh tentang keindahan, maka secara langsung akan diperkatakan perkara
berkaitan seni dan kesenian Estetika secara umumnya bermaksud keindahan. Oleh
sebab itu, estetika merupakan satu cabang yang sangat dekat dengan falsafah
seni. Nilai estetika itu sendiri melibatkan seni dan keindahan. Apabila dilihat dari konsep yang
berkaitan dengan karya, kita dapat mengaitkan unsure ini dengan karya yang
dihasilkan iaitu penghasilan bahasa yang estetik iaitu indah dan berseni.
Secara umumnya, estetika dikaitkan dengan karya seni manusia atau mengenai alam
semesta.
William
Haverson mengatakan estetika adalah segala hal yang berhubungan dengan sifat
dasar nilai-nilai non-moral suatu karya seni. Estetika sering diungkapkan
sebagai persamaan makna seni, tetapi ia berbeza dengan ‘falsafah keindahan’,
kerana estetika tidak semata-mata menjadi permasalahan falsafah. Di dalamnya
menyangkut perbahasan ilmiah berkaitan dengan karya seni, yang merangkumi
bidang ilmiah, antaranya meliputi perbincangan tentang keindahan dalam seni
atau pengalaman estetik, gaya atau aliran seni, perkembangan seni dan
sebagainya. Secara langsung pengkajian falsafah estetika bersangkutan dalam
bidang-bidang seperti psikologi, sosiologi, antropologi dan lain-lain yang
bersangkutan,
Selain itu, estetika juga dapat dikaitkan
sebagai keindahan yang berdasarkan penglihatan iaitu seni rupa dan keindahan
yang boleh didapati melalui pendengaran contohnya, muzik. Oleh sebab itu,
keindahan dapat diertikan sebagai keindahan yang meliputi aspek keindahan seni,
keindahan alam, keindahan moral, dan keindahan intelektual. Estetika sebagai
keindahan dan keagungan. Estetika juga merupakan sebahagian penciptaan simbol-
simbol yang wujud dari perasaan manusia sebagai hasil kesenian dan juga sesuatu
yang mewakili perasaan amnesia. Maksudnya, estetika bersifat simbolisme iaitu
simbol-simbol yang dimaksudkan bukan sahaja hasil karya seni lukis tetapi hasil
binaan yang mempunyai simbolik tersendiri hasil ciptaan manusia. Sebagai
contoh, seni binaan bangunan yang kaya dengan simbol dan keindahan tersendiri
seperti rekaan bangunan Menara Petronas, Kuala Lumpur.
Perkataan
keindahan atau kata dasarnya indah merupakan salah satu istilah pokok dalam
sistem estetika kesusasteraan Melayu. Konsep keindahan dalam tradisi dan budaya
Melayu menurut V.I. Braginsky dalam Aminudin Mansor ialah terdapat tiga aspek
yang jelas dinyatakan dalam karya sastera menerusi penggantian perkataan indah dengan
kata yang sama maksud. Menurutnya lagi, keindahan sesuatu karya sastera
dipercayai mampu mempengaruhi jiwa seseorang, mempunyai kuasa penyembuh tetapi
akibat daripada keindahan itu lebih penting iaitu manfaat yang terselindung di
sebaliknya. Misalnya, pembaca akan berasa tenang atau sebaliknya bergantung
kepada keadaan jiwa seseorang itu ketika menghayatinya.
Aspek
pertama yang akan dibincangkan ialah berhubung dengan asal usul keindahan.
Pengertian indah dipadankan dengan cara tertentu melalui kuasa Tuhan atau
kekayaan Allah. Ianya meliputi kekuasaan Allah mencipta sesuatu yang tidak
terbatas. Contohnya kehadiran pelbagai kehidupan di muka bumi, sistem
cakerawala, keindahan alam semula jadi dan sebagainya sehinggakan yang tidak
mampu ditanggapi oleh akal manusia biasa.
Kedua,
estetika Islam juga membezakan keindahan mutlak daripada keindahan fenomena
dengan menggunakan perkataan elok dan indah dalam karya sastera dan karangan
tasawuf Melayu. Manakala, aspek keindahan ketiga ialah estetik atau keindahan tersembunyi,
tetapi bentuk iaitu susunan kata yang baik, makna yang berlapis-lapis mampu
menyerlahkan keindahan sehingga dapat dihayati. Tanpa bentuk yang baik pasti
isi kandungan dalam sesebuah karya tidak mempunyai daya tarikan. (Aminudin
Mansor, 2012).
Estetik dalam Sulalatus Salatin
Unsur estetik
merupakan satu unsur keindahan dalam berbahasa iaitu dengan memberikan sifat
manusia kepada benda lain. Unsur personafikasi yang dapat dilihat dalam karya
Sulalatus Salatin ialah:
“rupa tunggul
panji-panji seperti awan berarak; rupa payung segala raja-raja”
(Muhammad Haji Salleh, 1997: 26)
Dalam ayat di
atas, pengarang telah menggunakan kata kerja berarak yang dilambangkan sebagai
unsur personafikasi kepada awan. Awan merupakan kata nama yang tidak bernyawa,
tetapi diberi sifat manusia kepadanya. Unsur ini digunakan untuk menunjukkan
keindahan bahasa.
·
Penggunaan Bahasa Istana
Tidak dinafikan
penggunaan bahasa istana di dalam karya bahasa Melayu Klasik kerap berlaku
berbanding dalam karya Melayu Moden. Watak utama di dalam karya bahasa Melayu
klasik adalah terdiri daripada watak istana yang melibatkan sultan, permaisuri,
anakanda, dayang, pembesar, dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, penggunaan
bahasa istana amat diperlukan untuk mewarnai karya sastera tersebut agar lebih
menarik dengan keindahan bahasa istana yang sangat lembut dan berlapik. Penggunaan bahasa istana juga diperlukan
dalam karya bahasa Melayu klasik bagi mengisahkan cerita-cerita yang membabitkan
keluarga diraja. Perkara ini dapat dijelaskan lagi menerusi contoh ayat yang
dipetik daripada Hikayat hang Tuah yang dikemukakan oleh Kassim Ahmad yang
berbunyi:
Maka pada ketika
itu juga baginda pun melengkapi anakanda baginda itu dengan inang pengasuh dan
dayang-dayang sepertinya. Maka tuan putera Kemala ratna Pelingan dipeluk cium
dan ditangisinya oleh ayahanda baginda.
(Kassim Ahmad, 1997 :5)
Namun begitu,
penggunaan bahasa istana ini kurang digunakan di dalam bahasa Melayu Moden. Hal
ini telah dibuktikan apabila karya yang ditulis menggunakan bahasa Melayu Moden
kurang menggunakan tema keluarga diraja. Kebanyakan penulis akan menggunakan
tema berkaitan dengan masyarakat moden yang tidak akan dikaitkan dengan
keluarga diraja seterusnya penggunaan bahasa yang indah seperti bahasa istana
tidak dapat dikekalkan dan semakin ditinggalkan oleh masyarakat Melayu Moden.
Penggunaan
ayat yang panjang juga merupakan salah satu unsur estetik dalam karya agung
iaitu salah satu aspek yang dapat membezakan bahasa Melayu Klasik dengan bahasa
Melayu Moden. Ciri ini boleh dilihat melalui beberapa ayat yang terkandung di
dalam Hikayat Hang Tuah iaitu:
Apabila tuan
puteri dan segala isi istana itu mendengar bunyi-bunyian dan melihat segala
perintah dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakainnya terlalu
indah-indah- rata terang itu pun dengan perhiasannya keemasan-datang
mendapatkan Sang Perta Dewa itu bertatahkan ratna munu manikam, maka Tuan
Puteri Pelinggam pun tahulah akan Sang Perta Dewa itu anaknya besar turun dari
keinderaan (Kassim Ahmad, 1997: 6)
Contoh ayat di
atas jelas menunjukkan penggunaan bahasa yang meleret-leret dalam Hikayat Hang
Tuah. Ayat yang panjang merupakan satu unsur seni bahasa yang mampu menjadikan
sesebuah karya menjadi menarik. Ianya juga dipercayai berpunca daripada gaya
bahasa hiperbola yang biasa terdapat di dalam hasil sastera klasik. Gaya bahasa
hiperbola bermaksud sesuatu perkara itu diceritakan secara berlebih-lebihan.
Tujuan utama penggunaan gaya bahasa ini adalah untuk menekankan keistimewaan
sesuatu benda atau perkara. Selain itu, penggunaannya juga dapat meninggalkan
kesan yang mendalam kepada pembaca kerana melalui penggunaan hiperbola, pembaca
akan dibawa bersama untuk menghayati sesuatu cerita kerana penggunaan gaya
bahasa hiperbola dapat membantu pembaca menghayati sesuatu peristiwa dengan
lebih mendalam. Melalui contoh yang diberi di bawah, jelas kelihatan daripada
keindahan bahasa atau unsur estetik yang digarap oleh pengarang bagi mewarnai
hikayat Hang Tuah menggunakan unsur hiperbola.
“Segala perintah
dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakaian terlalu indah-indah-rata
terbang itu pun dengan perhiasannya keemasan”.
(Kassim Ahmad, 1997: 6)
Selain itu, dalam karya klasik atau karya
agung juga turut menggunakan penggunaan imbuhan ‘nya’ untuk mengekalkan unsur
estetik dalam karya. Penggunaan imbuhan ‘nya’ boleh digunakan bagi menggantikan
ganti nama yang diulang beberapa kali. Ganti nama tunjuk atau
perkataan-perkataan yang tidak diperlukan boleh diabaikan bagi tujuan
meringkaskan sesebuah ayat. Penggunaan
imbuhan ‘nya’ ini bertujuan mengelakkan daripada kekerapan menggunakan ayat
yang panjang seterusnya menjadikan karya tersebut suatu karya yang tidak
menarik, menyebabkan pembaca menjadi bosan untuk meminati sesebuah karya.
Sebagai contoh ayat yang menggunakan imbuhan ‘nya’ dalam hikayat Hang Tuah
ialah:
Maka Sang
Sapurba terlalu sukacita melihat isterinya hamil itu. Setelah genaplah
bulannya, maka tuan puteri pun berputeralah seorang lelaki, terlalu elok
rupanya sikapnya.
(Kassim Ahmad, 1997: 11)
Berdasarkan
contoh ayat di atas, menunjukkan penulis telah mengulang sebanyak empat kali imbuhan
‘nya’ dalam satu ayat. Ayat tersebut ditulis sebegitu bagi menjelaskan kepada
pembaca bahawa Sang Sapurba mempunyai anak seramai empat orang. Penggunaan ayat
yang panjang dan berulang-ulang ini akan menjadikan sesebuah ayat itu
berbelit-belit dan sukar difahami. Keadaan ini menunjukkan bahawa penulis
sangat bijak menggunakan bahasa dan memperlihatkan unsur estetik dalam karya
tersebut. Keindahan karya juga terletak kepada kebijaksanaan penulis untuk
menterjemahkan jalan cerita menggunakan seni bahasa yang dapat menarik minat
pembaca.
No comments:
Post a Comment