SINOPSIS SULALATUS SALATIN
Sulalatus Salatin merupakan sejarah sastera mengisahkan tentang peraturan segala raja-raja Melayu. Iskandar Zulkarnain berkahwin dengan Puteri Syahrul Bariah dari Benua Hindi. Salah seorang keturunan Iskandar Zulkarnain bernama Raja Suran kemudiannya masuk ke dalam laut menerusi sebuah peti kaca untuk menyaksikan kehidupan di dasar laut. Semasa di dasar laut, Raja Suran berkahwin dengan Puteri Mahtabul Bahri dan melahirkan tiga orang putera bernama Nila Pahlawan, Krisyna Pendeta dan Nila Utama. Ketiga-tiga orang putera berkenaan naik ke daratan di tempat yang bernama Bukit Siguntang yang terletak di Palembang. Nila Utama (Seri Teri Buana) kemudian dilantik menjadi raja di Palembang. Nila Pahlawan (Sang Sapurba) di Minangkabau dan Krisyna Pandita di Tanjung Pura. Kemudian diceritakan tentang Seri Teri Buana yang mahu beristeri. Malangnya, semua anak raja yang ditidurinya mendapat penyakit kedal. Seri Teri Buana telah mendapat tahu akan kecantikan Radin Ratna Cendera Puri anakanda Demang Lebar Daun dan ingin mengahwininya.
Sebelum berkahwin, Demang Lebar Daun telah mohon diadakan perjanjian dahulu. Dia mahu anaknya itu tidak dikeluarkan dari istana kalau dia mendapat penyakit kedal setelah ditiduri Seri Teri Buana. Biarlah dia menjadi tukang masak di dapur atau tukang sapu di istana. Demang Lebar Daun juga mahu supaya raja jangan berlaku zalim dengan memalukan rakyat yang bersalah.
Seri Teri Buana pula mahu rakyat jangan derhaka kepada raja. Jikalau rakyat derhaka rumahnya akan dibalikkan, kaki tiang ke langit dan kiranya raja berlaku zalim kerajaannya akan dimusnahkan oleh Allah. Bagaimanapun setelah ditiduri Seri Teri Buana, Radin Ratna Cendera Puri tidak kedal. Jadi perkahwinan antara mereka pun dilangsungkan. Selepas perkahwinan itu berlaku satu peristiwa pelik berlaku, telah hanyut di sungai buih-buih yang besar dan satu dari antaranya mengandungi seorang budak perempuan. Dia telah dijadikan anak angkat Seri Teri Buana dan dinamakan Puteri Tanjung Buih.
Seri Teri Buana telah keluar dari Palembang untuk membuka negeri baru. Selepas melewati Gunung Lingga, angkatannya telah kehabisan air minuman. Untuk mendapatkan air tawar, Seri Teri Buana telah menyuruh mencampakkan gulungan rotan ke laut dan dia sendiri mencelupkan kakinya ke dalam air laut di tengah gelungan rotan itu. Air laut telah menjadi tawar dan tempat itu dinamakan Selat Air Tawar. Sesampai Seri Teri Buana di Tanjung Bintan, baginda telah dijemput oleh Wan Seri Beni ke istana dan Raden Ratna Cendara Puri dibawa ke istana bondanya iaitu Puteri Iskandar Syah. Seri Teri Buana meneruskan semula perjalananya. Dia bertolak ke Bengkilau dan berburu hingga ke Tanjung Sengkuang. Di sini anjng pemburuan baginda telah terjun ke laut dihambat oleh pelanduk putih. Seri Teri Buana telah memerintahkan tempat itu ditebas untuk dibuka negeri.
Kemudian, diceritakan juga tentang kedatangan Islam ke Alam Melayu. Merah Silu dan Merah Caga tinggal di Gunung Sengkuang. Merah Silu kerjanya menahan lukah tetapi asyik terkena cacing gelang sahaja. Kerana terlalu marah cacing itu direbus. Nasibnya baik, cacing gelang telah bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak. Bila Merah Caga mendengar adiknya dikatakan makan cacing gelang, dia mahu membunuh saudaranya itu. Merah Silu melarikan dirinya ke Rimba Jurun.
Satu hari Merah Silu pergi berburu. Anjingnya Si Pasai telah menemui seekor semut besar. Semut besar itu telah ditangkap oleh Merah Silu dan dimakannya. Tempat itu dibersihkan dan dinamakan Semudra yang beerti semut besar. Negeri Semudra itu telah terkenal hingga ke Mekah. Syarif Mekah telah memerintahkan seorang nakhoda bernama Sheikh Ismail ke Semudra. Dia disuruh singgah di negeri Mu’tabari untuk mengambil seorang fakir. Sultan Muhamad iaitu Raja Mu’tabari telah turun dari takhta dan mengikut rombongan itu ke negeri Semudra. Sultan Muhammad adalah keturunan dari Abu Bakar al-Siddik r.a.
Sebelum sampai ke Semudra, kapal Sheikh Ismail telah singgah di Fansuri, Lamiri, Haru dan Perlak. Kesemua penduduk di situ telah memeluk agama Islam tetapi tidak ada yang pandai membaca Qur’an. Merah Silu juga telah memeluk Islam di tangan fakir Sultan Muhammad itu. Malamnya Merah Silu telah bermimpi berjumpa Rasulullah. Rasulullah telah meludah ke dalam mulut Merah Silu. Badan Merah Silu menjadi harum dan dia dapat membaca al-Qur’an. Sheikh Ismail telah menabalkan Merah Silu dan namanya ditukar menjadi Sultan Malikul Salleh.
Sultan Malikul Salleh telah berkahwin dengan Puteri Ganggang, anak raja Perlak. Dia mendapat dua orang anak yang diberi nama Sultan Malikul Tahir dan Sultan Malikul Mansur.
Sultan Malikul Salleh telah keluar untuk mencari tempat baru untuk dibuat kerajaan bagi anaknya. Anjing pemburuannya telah menyalak di satu tanah tinggi. Tempat itu dipandang cantik oleh Sultan Malikul Salleh. Ianya ditebas dan diberi nama Pasai sempena nama anjing pemburuan baginda. Sultan Malikul Tahir dirajakan di Pasai itu dengan menterinya bernama Sidi Ali Ghiathu’d Din sebagai mangkubumi. Sultan Malikul Mansur pula dirajakan di Samudra dengan menterinya Sidi Ali Yaumid’d Din.
Pada zaman Raja Kecil Besar, baginda telah bermimpi berjumpa Rasulullah. Rasulullah telah mengajarkannya kalimah tayyibah dan menukarkan namanya menjadi Sultan Muhammad Syah. Rasulullah juga memberitahu pada waktu asar esoknya akan tiba sebuah kapal dari Jeddah. Penumpangnya akan turun solat di pantai. Selepas bangun dari tidur Raja Kecil Besar mendapati tubuhnya berbau harum dan dia asyik mengulang sebut akan kalimah sehingga disangka oleh para dayang yang baginda telah dirasuk oleh syaitan.
Kedatangan Islam ke Melaka.
Raja telah memberitahu Bendahara yang ia bermimpi bertemu Rasulullah. Sebagai buktinya, kalamnya kelihatan telah dikhatankan orang dan akan datang sebuah kapal pada waktu Asar nanti. Pada petang itu datanglah sebuah kapal dari Jeddah, Syed Abdul Aziz makhdum kapal itu telah turun bersembahyang di pantai. Seri Amar Diraja telah dibawa masuk ke istana dan semua orang pun telah memeluk agama Islam. Mereka semuanya berguru pada SAA itu. Raja mengubah namanya menjadi Sultan Muhammad Syah. Bendahara bergelar Seri Wak Raja. Perdana Menteri bergelar Seri Amar Diraja. Penghulu bendahari pula bergelar Seri Nara Diraja.
Baginda membuat beberapa pantang larang termasuk melarang rakyat menggunakan kain warna kuning melainkan untuk dibuat kain, baju dan destar. Rakyat juga tidak boleh berbuat rumah tiang gantung, Perahu tidak boleh bertingkap dan berpenghadapan. Tidak boleh memakai penduk dan teterapan keris. Tidak boleh bergelang emas di kaki. Tidak boleh berkeroncong emas kepala perak. Barangan emas tidak boleh dipakai kecuali dianugerahkan oleh raja. Jika hendak masuk ke istana perlu memakai kain berpancung, berkeris di hadapan dan bersebai. Jika keris di belakang akan dirampas. Payung putih khusus untuk raja. Payung kuning pula untuk putera raja.
Pemerintahan Sultan Mansur Syah.
Setelah memerintah selama 42 tahun, Sultan Muzaffar Syah pun meninggal dunia. Beliau telah digantikan oleh anaknya Raja Abdullah yang bergelar Sultan Mansur. Pada masa menaiki takhta berumur 27 tahun. Isterinya ialah Tun Putih, anak Seri Nara Diraja. Mempunyai seorang anak gundik bernama Puteri Bakal.
Baginda memerintahkan Bendahara Paduka raja dan Seri Bija Diraja menyerang negeri Inderapura yang diperintah oleh Maharaja Dewa yang berada di bawah taklukan Siam. Bendahara pula dapat menawan Puteri Onang Sari.
Sultan Mansur Syah berkeinginan bersahabat dengan Siam dan Menteri Jana Putera serta Tun Telanai dititahkan ke Siam. Orang tua dari Melaka berjaya menunjukkan kebolehannya sehingga mengagumkan raja Siam. Tun Telanai dan Menteri Jana Putera juga berjaya membuat tipu helah sehingga berjaya mengelakkan daripada menentang musuh Siam yang kuat di sebelah matahari mati.
Bab 6
Sultan Mansur Syah ingin meminang Puteri Raden Galuh Cendera Kirana, anak Sang Aji Jaya Ningrat dengan Puteri Raden Galoh Awi Kesuma. Rombongan Melaka sampai ke Majapahit dan dapat menunjukkan kepandaian. Tun Bijaya Nara dapat menyelamatkan keris, mencuri keris Betara Majapahit, menari "sapu-sapu rengit", dan menggertak anjing yang ditambat berhampiran utusan Melaka. Sultan Mansur Syah berkahwin dengan Raden Galuh Cendera Kirana. Kuda Sultan jatuh ke dalam telaga tahi dan diselamatkan oleh Hang Tuah.
Orang-orang Melaka yang diketuai oleh Tun Perpatih Putih dapat melihat wajah raja China setelah makan kangkung yang dibelah tetapi tidak dikerat. Puteri Hang Liu berkahwin dengan Sultan Mansur Syah. Sultan Mansur Syah menyuruh Tun Telanai dan Menteri Jana Putera menghantar sembah baginda kepada raja China. Tun Telanai dan Menteri Jana Putera terpesong ke Brunei dan dapat menipu raja Brunei dengan mengatakan Sultan Mansur Syah tidak menyembah China.
Raja China mendapat sakit kedal setelah disembah oleh Sultan Mansur Syah dan ubatnya ialah air basuh kaki Sultan Mansur Syah. Raja China sembuh daripada penyakitnya setelah menyantap dan membasuh muka dengan air basuh kaki raja Melaka.
Bab 7
Hang Jebat mengamuk di istana Melaka kerana membalas dendam atas kematian Hang Tuah. Sultan Mansur Syah mengenang-ngenang akan Hang Tuah memandangkan tidak ada sesiapa yang berjaya menewaskan Hang Jebat. Seri Nara Diraja menjelaskan bahawa Hang Tuah masih hidup dan Hang Tuah dibawa pulang.
Hang Tuah bertikam dengan Hang Jebat dan beliau berjaya membunuh Hang Jebat. Hang Tuah diberikan gelaran Laksamana oleh Sultan Mansur Syah. Sultan Mansur Syah berpindah istana tetapi istana yang baru dibina itu terbakar dan banyak harta tidak dapat diselamatkan. Sultan Mansur Syah menitahkan Bendahara agar dibuat istana baru dan istana itu disiapkan dengan kerjasama rakyat. Seri Nara Diraja sakit dan mewasiatkan agar Bendahara Paduka Raja menjaga anak-anaknya.
Bendahara Paduka Raja terlihat suatu cahaya dari langit turun ke kepala Tun Mutahir. Tun Tahir dijadikan Seri Nara Diraja, iaitu Penghulu Bendahari manakala, Tun Mutahir menjadi Temenggung bergelar Seri Maharaja. Melaka menyerang Kampar dan Maharaja Jaya dapat dibunuh oleh Seri Nara Diraja manakala, Khoja Baba dapat membunuh Tun Demang, mangkubumi Kampar.
Melaka menyerang Siak dan Siak dapat dikalahkan. Maharaja Parameswara dibunuh oleh Akhtiar Muluk manakala, Megat Kudu, anak Maharaja Parameswara ditawan. Sultan Mansur Syah mengahwinkan anak baginda, Raja Mahadewi dengan Megat Kudu kemudian Megat Kudu dirajakan di Siak dengan gelaran Sultan Ibrahim. Tun Muhammad membunuh Tun Besar, anak Bendahara Paduka Raja kerana bola sepak raga yang disepak oleh Tun Besar jatuh menimpa destar Raja Muhammad. Anak-anak buah Bendahara Paduka Raja ingin membalas dendam tetapi ditegah oleh Bendahara.
Sultan Mansur Syah merajakan Raja Muhammad di Pahang memandangkan tidak ada yang menyembah Raja Muhammad di Melaka. Semerluki jatuh hati kepada ibu saudaranya dan dihalang oleh ayahnya Keraeng Majiko. Keraeng Majiko menyuruh Semerluki merompak mencari perempuan di Ujung Tanah. Semerluki merosakkan jajahan Melaka dan diketahui oleh Sultan Mansur Syah lalu menyuruh Laksamana menghalang Semerluki.
Orang-orang Melaka berperang dengan tentera Semerluki dan ramai orang Melaka mati. Laksamana berjaya menewaskan Semerluki.
Mauiana Abu Bakar membawa kitab Duri'l-mazlum ke Melaka. Sultan Mansur Syah dan ramai pembesar Melaka berguru dengan Maulana Abu Bakar. Sebelum itu kitab itu dirujuk dan diterjemahkan di Pasai.
Sultan Mansur Syah menyuruh Tun Bija Wangsa ke Pasai merujuk masalah agamadan masalah itu diselesaikan oleh Makhdum Mua.
Bab 8
Sultan Mansur Syah gering dan memberi wasiat kepada anakanda baginda sebelum mangkat. Sultan Mansur Syah mangkat dan digantikan oleh Raja Hussain dengan gelaran Sultan Alau'd Din Riayat Syah.
Melaka diancam pencuri sehingga Sultan Alau'd-Din Riayat Syah bertindak menyamar diri untuk membanteras pencuri-pencuri.
Temenggung Seri Maharaja bertindak keras dengan mengetatkan undang-undang setelah beliau disindir oleh Sultan Alau'd-Din Riayat Syah. Sultan Alau'd-Din Riayat Syah membuat undang-undang mencuri dikudungkan tangan manakala, di simpang empat di tengah negeri dibuat sebuah balai untuk diletakkan harta kecurian yang dijumpai.
Raja Pahlawan dari Haru mengamuk di Pasai setelah surat yang bertulis 'salam' disebut 'sembah'. Ramai orang Pasai mati. Sultan Alau'd-Din Riayat Syah menyuruh pahlawan Melaka menghalang orang-orang Haru. Pertempuran berlaku antara orang-orang Melaka dengan orang-orang Haru. Berlaku perdamaian antara Melaka dengan Haru. Raja Maluku dan Telanai Terengganu datang ke Melaka.
Selepas Telanai Terengganu pulang, Sultan Muhammad, iaitu Raja Pahang menitahkan Seri Akar Raja membunuh Telanai Terengganu kerana pergi ke Melaka tanpa memberitahu baginda. Sultan Alau'd-Din Riayat Syah mendapat tahu perkara itu dan menitahkanpahlawan-pahlawannya menyerang Pahang kerana Sultan Muhammad membunuh Telanai Terengganu tanpa pengetahuan Melaka dan Raja Muhammad juga ingin menyerang Melaka. Bendahara tidak membenarkan keinginan Sultan Alau'd-Din Riayat Syah untuk menyerang Pahang.
Laksamana telah dititahkan ke Pahang untuk menyelesaikan masalah itu. Laksamana Hang Tuah ke Pahang dan menyuruh orangnya membunuh salah seorang keluarga Seri Akar Raja. Apabila ditanya tentang pembunuhan ke atas Telanai Terengganu, Sultan Muhammad berdalih dengan mengatakan Telanai Terengganu berlaku biadap.
Bab 9
Laksamana Hang Tuah dihantar ke Siak dan di sana beliau mencerca Tun Jana Pakibul kerana membunuh orang tanpa memberitahu ke Melaka. Raja Mamad dilantik sebagai Sultan Melaka setelah Sultan Alaud'-Din Riayat Syah mangkat.
Sultan Mahmud gering dan dijaga oleh Bendahara Paduka Raja dan Laksamana Hang Tuah. Apabila sembuh, Bendahara dan Laksamana dianugerahkan usungan tetapi Bendahara tidak menggunakannya. Bendahara Paduka Raja sakit dan memberi wasiat kepada anak cucunya. Kepada Sultan Mahmud Syah, beliau menasihatkan agar jangan ikut nafsu dan jangan mendengar fitnah. Bendahara Paduka Raja mati dan digantikan oleh Bendahara Tun Perpatih Putih.
Sultan Mahmud Syah mengganggu isteri Tun Biajid dan baginda hampir-hampir dibunuh oleh Tun Biajid. Sultan Mahmud Syah juga mengganggu Tun Dewi tetapi oleh sebab Tun Ali Sandang berada di sana. Sultan Mahmud menyuruh Tun Isap membunuh Tun Ali Sandang. Seri Wak Raja ingin membunuh Tun Isap tetapi Sultan Mahmud menyuruh Tun Isap melarikan diri. Tun Isap pulang ke Melaka dan dibunuh oleh Seri Wak Raja.
Seri Bija Diraja dibunuh oleh Sultan Mahmud kerana lambat datang pada hari raya. Sultan Mahmud menitahkan Paduka Tuan menyerang Manjong manakala, Seri Maharaja menyerang Kelantan. Kedua-dua serangan itu berhasil.
Bab 10
Bendahara Putih mati dan digantikan oleh Bendahara Seri Maharaja atau Tun Mutahir. Bonda Sultan Mahmud yang memilih beliau menjadi Bendahara. Kedatangan Patih Adam dari Surabaya akhirnya telah menimbulkan krisis di Melaka kerana ingin berkahwin dengan Tun Minda, anak Seri Nara Diraja. Patih Adam menuntut janji daripada Seri Nara Diraja yang dikatakan mahu menjodohkan Patih Adam dengan Tun Minda tetapi Seri Nara Diraja menafikannya.
Setelah kemangkatan permaisurinya, Sultan Mahmud menitahkan agar dipinang Puteri Gunung Ledang. Tun Mamad, Laksamana, dan Sang Setia ke Gunung Ledang. Tun Mamad berjumpa Dang Raya Rani lalu Tun Mamad memberitahu tujuannya ke Gunung Ledang itu. Seorang perempuan tua berjumpa dengan Tun Mamad dan menjelaskan syarat yang dikenakan untuk meminang Puteri Gunung Ledang.
Apabila diberitahu kepada Sultan Mahmud, Sultan Mahmud membatalkan niatbaginda meminang Puteri Gunung Ledang. Baginda tidak sanggup menumpahkandarah anakanda baginda. Orang-orang Melaka menjadikan orang Inderagiri di Melaka sebagai hamba sehingga mereka ingin pulang ke negeri mereka. Akhirnya, Sutan Nara Singa pulang ke Inderagiri.
Hang Nadim diarahkan ke benua Keling untuk membeli kain serasah. Kepandaian Hang Nadim melukis sendiri corak kain dikagumi. Hang Nadim pulang ke Melaka tetapi kapal yang dinaikinya tenggelam kerana kapal Hang Isap disumpah oleh seorang wali. Sultan Mahmud murka kepada Hang Nadim kerana tidak banyak membawa balik kain yang diingini baginda. Hang Tuah meninggal dunia dan digantikan oleh Laksamana Khoja Hassan.
Bab 11
Sultan Abdul Jamal menyuruh Seri Wangsa Diraja ke Melaka untuk memberitahu kemangkatan ayahanda baginda. Sultan Mahmud berasa sedih dan menitahkan Seri Wak Raja ke Pahang untuk menobatkan Sultan Abdul Jamal Syah. Setelah Seri Wak Raja pulang dan memberitahu kecantikan Tun Teja, Sultan Mahmud inginkan Tun Teja walaupun Tun Teja sudah bertunang dengan Sultan Abdul Jamal.
Hang Nadim ke Pahang untuk membawa pulang Tun Teja ke Melaka. Hang Nadim berjaya melarikan Tun Teja setelah berbaik-baik dengan perempuan tua tukang urut. Hang Nadim berjaya mengalahkan serangan Pahang di laut. Sultan Abdul Jamal ingin menyerang Melaka dengan gajah Ai Kening. Laksamana Khoja Hassan ke Pahang dan melarikan gajah Ai Kening, dan sebelum itu Laksamana Khoja Hassan dapat menewaskan angkatan Pahang yang menyerangnya di laut. Sultan Abdul Jamal begitu marah dan turun dari takhta. Baginda digantikan oleh anakanda baginda, Sultan Mansur Syah.
Raja Zainal, iaitu adinda kepada Sultan Mahmud mengambil kesempatan atas ketampanannya untuk merosakkan gadis dan perempuan di Melaka. Sultan Mahmud mahu supaya Raja Zainal dibunuh sahaja dan tugas ini disempurnakan oleh Hang Berkat. Setelah Hang Berkat digelar Sang Sura, isteri Sang Sura bermukah dengan Sang Guna. Sang Sura ingin membunuh Sang Guna tetapi ditegah oleh Sultan Mahmud. Sultan Mahmud menitahkan agar Sang Guna tidak boleh keluar rumah.
Bab 12
Raja Legor ingin menyerang Pahang atas suruhan raja Siam. Bendahara Seri Maharaja dititahkan ke Pahang untuk membantu Pahang. Orang-orang Melaka menyiapkan kubu pertahanan di Pahang. Terjadi peperangan antara orang Legor dengan Pahang tetapi Pahang tidak dapat ditewaskan.
Tun Perpatih Hitam dan Tun Hussain dibunuh kerana bersikap biadap di hadapan Bendahara. Cau Seri Bangsa memeluk Islam setelah berjaya menewaskan Raja Sulaiman Syah di Kota Mahligai. Cau Seri Bangsa menjumpai Petani dan menjadi raja di sana. Cau Seri Bangsa memohonkan nobat di Melaka. Raja Kedah juga datang ke Melaka dan memohonkan nobat.
Kedatangan Peringgi ke Melaka dan bentuk fizikal mereka menghairankan orang-orang Melaka. Peringgi menyerang Melaka di bawah pimpinan Gonsalo Periera tetapi gagal menewaskan Melaka. Maulana Sadar Jahan datang ke Melaka. Sultan Mahmud berguru dengan maulana itu. Tun Mai Ulat Bulu berguru dengan Maulana Sadar Jahan tetapi Maulana Sadar Jahan memarahi beliau yang susah menyebut perkataan bahasa Arab. Sultan Mahmud menitahkan Orang Kaya Tun Muhammad ke Pasai merujuk soal agama dan masalah itu diselesaikan oleh Tun Hassan.
Bab 13
Bendahara Seri Maharaja hendak mengahwinkan anaknya Tun Fatimah dengan Tun Ali. Raja Dibaruh menasihatkan agar Bendahara menunjukkan Tun Fatimah kepada Sultan Mahmud terlebih dahulu tetapi Bendahara enggan kerana darjat keluarganya rendah jika dibandingkan dengan Sultan Mahmud. Bendahara mengahwinkan anaknya dengan Tun Ali. Sultan Mahmud berdendam dengan Bendahara setelah melihat kecantikan Tun Fatimah. Ali Manu Nayan ingin memberi rasuah kepada Tun Hassan Temenggung tetapi ditolak oleh beliau.
Anak-anak buah Tun Hassan Temenggung selalu meminta rasuah daripada saudagar-saudagar kaya di Melaka. Nina Sura Dewana dan Raja Mendaliar bertelagah dan meminta Bendahara menyelesaikannya tetapi disuruh pulang terlebih dahulu kerana hari sudah petang. Nina Sura Dewana memberi hadiah kepada Bendahara Seri Maharaja dan perkara ini dilihat oleh Si Kitul. Si Kitul memberitahu Raja Mendaliar bahawa Nina Sura Dewana memberi emas kepada Bendahara supaya Bendahara membunuh Raja Mendaliar.
Raja Mendeliar memberi hadiah kepada Laksamana Khoja Hassan dan memberitahu bahawa Bendahara Seri Maharaja ingin menderhaka. Laksamana Khoja Hassan memberitahu Sultan Mahmud dan Sultan Mahmud bercadang untuk membunuh Bendahara kerana selama ini baginda memangberdendam dengan Bendahara kerana Tun Fatimah.
Bendahara Seri Maharaja, Seri Nara Diraja, Tun Hassan Temenggung, dan Tun Alidi bunuh oleh Sultan Mahmud. Paduka Tuan dilantik menjadi Bendahara walaupun sudah tua dan uzur. Tun Fatimah tidak pernah senyum, malah menggugurkan kandungan selepas berkahwin dengan Sultan Mahmud. Sultan Mahmud turun dari takhta dan digantikan dengan Sultan Ahmad Syah dan Sultan Ahmad pula merupakan seorang sultan yang mengamalkan sikap pilih kasih.
Bab 14
Peringgi menyerang Melaka di bawah pimpinan Alfonso d'Albuquerque tetapiserangan kali pertama Peringgi ke atas Melaka gagal. Orang-orang Melaka membaca Hikayat Muhammad Hanafiah untuk menaikkan semangat kerana Peringgi akan menyerang lagi. Berlaku pertempuran hebat antara tentera Peringgi dengan orang-orang Melaka sehingga orang Melaka tidak dapat bertahan. Sultan Ahmad dan Sultan Mahmud meiarikan diri hingga ke Pahang. Sultan Ahmad dibunuh atas arahan ayahandanya kerana baginda tidak menghormati pembesar-pembesar dan digantikan oleh Raja Muzaffar. Tun Fatimah melahirkan seorang anak lelaki, iaitu Tun Ali dan diberi gelaran Sultan Alau'd Din Ri'ayat Syah. Peringgi menyerang Bintan dan Sultan Mahmud terpaksa berundur hingga ke Kampar.
Bab 15
Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah ditabalkan menjadi raja selepas kemangkatan Sultan Mahmud Syah dan baginda meninggalkan Kampar menuju ke Pahang dan berkahwin dengan Raja Kesuma Dewi, anak Sultan Mansur Syah. Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah membuka sebuah negeri di Kuala Johor. Raja Omar, iaitu cucu Sultan Mansur Syah di Pahang berkahwin dengan Raja Fatimah, anak Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah.
Sultan Muzzafar Syah menggantikan Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah yang mangkat dan baginda membuka sebuah negeri bernama Seluyut. Raja Omar menceraikan isteri pertamanya setelah Raja Fatimah hamil, manakala Sultan Muzaffar Syah jatuh hati dan berkahwin dengan bonda Raja Mansur. Kemangkatan Sultan Muzaffar dan digantikan oleh Sultan Abdul Jalil Syahkemudian digantikan pula oleh Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Ri'ayat Syah. Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Ri'ayat Syah membuka negeri di Batu Sawar dan kemudiannya ke negeri Makam Tauhid. Sultan Ala Jalla Abdul Jalil mangkat dan digantikan oleh Raja Mangsur dengan gelaran Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah. Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah kemudiannya memindahkan pusat pentadbiran negeri dari Makam Tauhid ke negeri di Pasir Raja.
Sumber: A. Samad Ahmad (2013), (peny.) Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sumber: A. Samad Ahmad (2013), (peny.) Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment