Falsafah dalam Karya Bustan al-Katibin
Raja Ali Haji
merupakan penulis berbakat pada zamannya. Sumbangan beliau dalam bidang bahasa
persuratan, sejarah dan agama telah menjadi bahan kajian sarjana dan
orientalis. Antara beberapa karya beliau yang penting ialah sebuah karya
berjudul Bustanul-Katibin Lissubyanil, Muta’alimi atau dalam bahasa Melayu,
Kitab Perkebunan Jurutulis bagi kanak-kanak yang baru hendak mempelajarinya.
Hasilnya merupakan karya kritis mengenai nahu bahasa Melayu. Buku ini dikarang
oleh beliau pada 20 Syaaban 1273 bersamaan 15 April 1857. Buku ini diusahakan
dengan menggunakan cap batu di Penyegat. Karya ini diulas dan diterjemahkan ke
dalam bahasa Belanda oleh Van Ronkel dalam Tijdschrift Voor Indische Taal
Land.en Volkenkunde pada tahun 1901.
Buku yang terdiri daripada 10 pasal
utama ini dimulai dengan sebuah huraian mukadimah yang menjelaskan tentang
kaitan antara bahasa dengan adat, adab, dan budi pekerti. Selain itu, tajuk
pemikiran Raja Ali Haji dalam mukadimah berkisar seputar fadhilat (keutamaan)
ilmu dan akal untuk menjaga dan meningkatkan kualiti moral dan menjadi insan
Kamil sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah. Dalam mukadimah, Raja
Ali Haji juga mensyaratkan kepada pembaca dalam memahami buku ini untuk
memiliki lima perkara iaitu Al-Himmah (kesungguhan), Al- Mudarasah (analisi),
Al-Muhafazah (penghafalan). Al-Mudzakarah (kajian lebih lanjut) dan
Al-Muthala’ah (kajian lebih mendalam). Sepuluh pasal yang disusun oleh Raja Ali
Haji dalam kitab ini berisi kaedah, prinsip, dan tata cara penulisan bahasa Melayu
dalam aksara Jawi yang disesuaikan dengan tatabahasa (Nahu dan Saraf) dalam
bahasa Arab.
Bustanul al-Katibin diakui sebagai
karya awal mengenai tatabahasa bahasa Melayu yang dihasilkan oleh pengarang
dari Nusantara sehingga membolehkan pembaca mempelajari pelbagai aspek struktur
bahasa pada peringkat awal pembinaannya lagi. Tujuan Raja Ali Haji menghasilkan
kitab ini adalah untuk menyebarkan ilmu bahasa dan ilmu tulisan, menghasilkan
buku tatabahasa bahasa Melayu serta menerapkan hukum bahasa. Bustan al-Katibin
juga mengandungi perbincangan kepentingan mempelajari bahasa dan huraiannya
dalam konteks tatabahasa luas dan mendalam.
Kitab terbabit turut mengandungi
perbincangan mengenai aspek ilmu yang terkandung dalam bahasa Melayu, selain
pengajaran Raja Ali Haji dalam ilmu dan akal yang bukan sahaja sesuai untuk
pembacaan pada zamannya, bahkan masih lagi bermanfaat untuk diketahui serta
dikaji oleh sarjana dan pembaca kini. Raja Ali Haji turut mengemukakan 10 adab
berguru yang wajar dijadikan ikutan dan teladan kepada pelajar, sekali gus
dianggap menjadi peringatan yang berguna kepada mereka yang sedang menuntut
ilmu.
Dalam Islam, pengajian bahasa
khususnya bahasa Arab dan bahasa penganut Islam lain, merupakan ilmu alat untuk
mencapai makrifat, iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan, memperteguh
keimanan dan ketakwaan, dan menyemai adab kesopanan yang mulia, yang
mengandungi antara lain ilmu-ilmu nahu (sintaksis), saraf (morfologi), qawa’id
(tatabahasa), mantiq (logik), balaghah (retorik), istidlal (pendalilan), kalam
(penghujahan) dan sebagainya. Raja Ali Haji dalam buku beliau telah meletakkan
tradisi pengajian bahasa Melayu berdasarkan maksud dan matlamat pengajian
bahasa yang digariskan oleh tradisi pengajian Islam.
Raja Ali Haji dengan lantang dan
jelas menyatakan bahawa terdapat perkaitan yang erat antara kebolehan berbahasa
dan adab sopan yang mulia dengan ilmu yang tinggi. Tegas beliau dalam Bustan
al-Katibin (halaman 3) :
“…adab dan sopan
itu daripada tutur kata juga asalnya, kemudian baharulah pada kelakuan. Bermula
apabila berkehendak kepada menunturkan ‘ilmu atau berkata-kata yang beradab dan
sopan, tak dapat tiada mengetahuilah dahulu ‘ilmu yang dua itu, iaitu ‘ilmu wa
al-kalam (pengetahuan dan pertuturan).”
Berdasarkan
kepada falsafah dan pegangan demikian terhadap peranan dan kedudukan bahasa
dalam usaha melahirkan seorang manusia Melayu yang beradab sopan, berakal dan
berbudi bahasa yang mulia, dan berilmu tinggi, maka Raja Ali Haji menghasilkan
karya Bustan al-Katibin ini. Mengikut Raja Ali Haji, keturunan dan pangkat yang
tinggi tanpa ilmu yang sahih, akal budi yang luhur, dan adab sopan yang mulia,
menjadi sia-sia belaka. Oleh hal yang demikian, dalam bahagian Mukadimah Bustan
Al-Katibin, beliau telah menerangkan dahulu kelebihan-kelebihan ilmu dan akal
untuk meletakkan perspektif dan tujuan sebenar dalam pembelajaran bahasa. Ilmu
yang paling penting dan pertama yang harus dipelajari oleh orang Islam ialah
ilmu agama Islam.
Oleh itu, semasa beliau
menghuraikan tentang bahasa Melayu, terlebih dahulu beliau telah menghuraikan
secara terperinci adab dan syarat menuntut ilmu, iaitu merupakan asas kepada
psikologi pendidikan yang mampu melahirkan seorang Melayu yang bukan sahaja
fasih bercakap tetapi juga boleh bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan
yang mulia. Penyemaian adab dalam diri seseorang merupakan proses pendidikan
yang dapat membawa kepada disiplin jasad, akal dan unsur kerohaniannya yang
seterusnya akan membolehkan seseorang itu mencari, memperoleh, dan mengamalkan
ilmu yang benar.
Falsafah dalam Bustan Al-Katibin
Ilmu pengetahuan
tentang kewujudan Allah S.W.T sebenarnya berkait rapat dan langsung dengan
ikrar seorang Muslim dalam kalimah syahadahnya iaitu:
“Aku bersaksi bahawa
tiada Tuhan melainkan Allah”
Oleh itu bagi
Raja Ali Haji, ilmu yang utama dan wajib dipelajari ialah ilmu tentang Allah S.W.T. Matlamat utama dalam
pengajian dan pembelajaran bahasa bukan sahaja mengetahui binaan bahasa, bunyi
dan ejaannya, perkataan, kosa kata, binaan ayat, klausa dan sebagainya malah
lebih daripada itu iaitu mempelajari cara untuk menggunakan bahasa supaya
tercapai ilmu yang benar bagi membimbing manusia ke arah keredhaan Allah.
Di dalam kitab ini juga, Raja Ali
Haji mengatakan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa umat Islam terulung di Asia
Tenggara. Melalui kitab ini, beliau dapat mewujudkan penghuraian tentang bahasa
Melayu yang tepat, padat, ringkas, dan rapi dari segi ejaan dan tata bahasanya
yang mewakili sistem medan makna yang diberikan takrif yang jelas berdasarkan
autoriti al-Quran dan al-Hadith.
Berdasarkan kepada pandangan dan
hujahan beliau di dalam bukunya, jelaslah bahawa pandangan Raja Ali Haji
tentang pengajian, penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu berkait rapat
dengan pandangan sejagat beliau sebagai orang Melayu Islam yang melihat hakikat
kewujudan dan kejadian alam semesta dan manusia di dalam lingkungan Tuhan.
Raja Ali Haji dalam kitabnya turut
menerangkan kaedah menulis surat kiriman rasmi yang telah menjadi salah satu
daripada budaya atau adab orang Melayu Islam. Surat kiriman ini mengukuhkan dan
mengesahkan lagi darjat dan martabat ilmu yang membawa kepada kesahihan dan
kebenaran ilmu dalam Islam. Beliau dalam tulisannya menerangkan kaedah menulis
surat seperti di bawah:
Bermula
perkataan pada surat perkiriman itu, maka hendaklah dimulai dengan
bismillahirrahman nirrahim dan kemudian Alhamdulillah iaitu memuji-muji Allah
Ta’ala mana yang munasabah dan waqi’…kemudian selawatkan Nabi kita serta
keluarganya dan sahabatnya, dan kemudian baharulah diiringi dengan salam
ta’zim…pada orang-orang yang berkirim dan orang yang dikirim.
No comments:
Post a Comment