Tuesday, 29 April 2014

Seni Retorik dan Gaya Bahasa

SENI RETORIK DAN GAYA BAHASA

KONSEP RETORIK MELAYU KLASIK
Perkataan retorik berasal daripada bahasa Yunani iaitu ‘Rethor’ yang bermaksud pidato. Perkara ini  merujuk kepada seni penggunaan bahasa dalam pertuturan atau penulisan, iaitu dengan tujuan untuk memujuk, mempengaruhi dan meyakinkan orang. Kebiasaannya, kegunaan seni retorik berkisar dalam karya prosa seperti teks pidato.
Menurut Kamus Dewan (2005:1326), retorik ialah kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan dan pertuturan. Retorik juga ialah seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar. Awang Sariyan  (2006:8) menyatakan retorik sebagai satu bentuk strategi komunikasi berbahasa yang menekankan aspek keberkesanan dalam perhubungan. Retorik juga melibatkan soal keterampilan atau kemahiran seseorang mengajukan buah fikiran, idea, atau gagasan. Menurut beliau lagi, dari segi sejarah awal wujudnya, retorik memang dikaitkan dengan kemampuan atau keterampilan seseorang itu menyampaikan pemikiran dalam bentuk hujah atau pidato. Hudson seorang ahli retorik pernah menimbulkan isu ini apabila beliau menyatakan bahawa retorik pada waktu tertentu telah kehilangan konotasi positif kerana salah faham sesetengah orang. Menurut beliau lagi, salah faham ini disebabkan orang tidak faham akan asal usul timbulnya retorik dan fungsi retorik dalam komunikasi.
Terdapat beberapa pandangan dari pemimpin dunia seperti Gorys Keraf dalam Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Idris (2010:1), perkataan retorik diertikan sebagai istilah yang secara tradisional diberikan pada cara pemakaian bahasa sebagai seni didasarkan pada pengetahuan yang tersusun baik. Tokoh retorik klasik seperti Plato pula dalam bukunya, Pheadrus berpendapat, retorik merupakan wacana yang rasional dan diletakkan sebagai seni yang digunakan secara meluas dalam aktiviti pidato yang merupakan satu-satunya saluran penyampaian idea, fikiran dan maklumat. Aristotle pula melihat retorik sebagai seni pemujukan dan merupakan disiplin yang lengkap tentang teknik, kaedah dan amalan menghasilkan pengucapan yang benar dan berkesan (Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Idris, 2010:2).
Adolf Hitler, Benitto Musolini, J.F Kennedy, Abraham Lincorn, Sukarno, dan beberapa orang pemimpin Islam yang dikategorikan sebagai pemidato yang dapat menyampaikan idea, visi atau transformasi kepada rakyat dengan berkesan. Jeniri Amir (2006:15) menyatakan ungkapan tersebut menjadi ikutan umum kerana mudah diingat dan menyerap ke dalam minda pendengar. Hal ini demikian kerana ungkapan tersebut berpaksikan kepada tiga prinsip seperti yang menjadi pegangan pemimpin-pemimpin terdahulu semasa menyampaikan pidato. Prinsip "tiga" atau "tricolon" dapat sahaja dimanfaatkan dalam bentuk perulangan kosa kata, ungkapan, frasa atau ayat. Prinsip ini jika digunakan dengan tepat akan memberikan kesan dramatik dan mampu mengikat perenggan dengan berkesan. Rangkaian bertiga mampu menghasilkan rentak dan ritma. Alat tersebut dapat dikatakan sebagai alat pengucapan dan teks ucapan yang berkesan. Pengucap, pemidato, dan pemimpin terkemuka sering menggunakan prinsip kumpulan bertiga kerana mereka sedar akan kesan penggunaannya.
Berbalik kepada penumpuan pengkajian iaitu retorik dalam karya Melayu terutama karya agung memperlihatkan orang Melayu lebih cenderung untuk menggunakan pelbagai retorik dalam penulisan sebagai daya penarik berbanding isi yang ingin disampaikan. Hal ini dibuktikan dengan pendapat yang dinyatakan oleh Mohd Affandi Hassan dalam Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Idris, (2010:23) bahawa apa juga usaha untuk menarik minat penonton contohnya penglipur lara, Tok Selampit dan Awang Batil memilih retorik seperti cerita-cerita tambahan, penggunaan suara dan sebagainya sebagai elemen retorik. Beliau juga menyatakan bahawa orang Melayu lebih mementingkan retorik daripada genre untuk mencapai sesuatu maksud.
            Dalam konteks moden, retorik dikenali sebagai seni penggunaan bahasa persuratan atau lisan yang melibatkan penyampaian fakta dan idea dengan menggunakan bahasa yang tersusun, menarik dan mampu memberikan impak kepada khalayak pendengar mahu pun pembaca. Oleh itu, retorik sewajarnya dikuasai oleh setiap pengguna bahasa bagi mencapai tujuan berbahasa. (Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd Ra’in Shaari, 2010:30).
Penulis teks atau pengucap yang baik selalunya bijak memilih diksi atau kata-kata. Hal ini  bermaksud kata-kata yang dapat mengungkap kenyataan, memperhalus, memperbesar, bahkan menyembunyikan realiti. Dalam retorik, bahasa yang digunakan hendaklah jelas, tepat, mudah, indah, dan menarik. Pemidato perlu sentiasa berusaha untuk menggunakan kata-kata yang khusus supaya dapat mendukung maksud sebenarnya. Pemidato sering dinasihati agar menggunakan kata-kata yang sederhana dan mengelakkan penggunaan kata-kata yang bombastik. Kata-kata tersebut dimaksudkan sebagai kata yang berdegar-degar dan lebih besar daripada idea yang cuba disampaikan. Dalam hal yang perlu difahami oleh pemidato adalah lebih baik menggunakan fakta dan hujah yang mudah ditafsir dan difahami daripada menggunakan kata-kata yang bombastik ini. Lantas, penggunaan kata-kata yang tepat, jelas, dan menarik lebih menimbulkan kesan yang mendalam dan kuat terhadap pendengar. Perkataan tersebut dapat menggambarkan sikap, perasaan atau keadaan yang dilukiskan oleh pemidato.
Secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa retorik sebenarnya bertujuan mempengaruhi, memujuk dan meyakinkan khalayak pendengar ataupun pembaca. Keutamaan diberikan kepada susunan idea dan penggunaan bahasa yang baik dan tersusun. Hal ini kerana sekiranya ungkapan yang dilontarkan tidak mempunyai sebarang idea maka timbullah ungkapan retorik kosong. (Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd Ra’in Shaari, 2010:30). Bahkan, Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd Ra’in Shaari, (2010:30) menyebut retorik dapat diketahui melalui dua aspek penting iaitu pengatahuan tentang bahasa dan penggunaannya yang baik. Kedua, penggunaan tentang objek tertentu yang akan disampaikan dengan menggunakan bahasa

BENTUK BINAAN AYAT
Ayat boleh terbentuk daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang pengucapannya dimulakan dengan kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan, serta mengandungi intonasi yang sempurna. (Panduan Nahu dan Retorik untuk Penulisan : 2008). Ayat ialah unit pengucapan yang paling tinggi dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap. Dalam struktur tatabahasa, ayat terletak pada kedudukan yang paling tinggi. Struktur tatabahasa ini dimulakan dengan perkataan, diikuti dengan frasa, klausa, dan seterusnya ayat. Keadaan ini bermaksud, ayat terdiri daripada binaan klausa, frasa, dan perkataan. Antara bentuk binaan ayat ialah struktur ayat yang panjang dan berbelit-belit, kerap menggunakan penanda wacana, kaedah penghilangan, penggunaan kata hubung di hadapan ayat dan banyak menggunakan ayat majmuk.
 a) Struktur ayat yang panjang dan berbelit-belit
Struktur ayat yang digunakan adalah panjang dan berbelit-belit. Penggunaan ayat yang panjang sehingga terdiri daripada berpuluh-puluh perkataan dalam satu ayat agak sukar untuk difahami. Selain itu, struktur binaan ayatnya yang agak tunggang-terbalik dan banyak ayat disongsangkan memerlukan pengamatan yang lebih oleh pembaca untuk memahami sesebuah teks. Walhal, jika kita memahami teks tersebut, kita dapat merasakan bahawa perkara yang ingin disampaikan pengarang adalah perkara yang terlalu mudah sebenarnya.

b) Kerap menggunakan penanda wacana
Selain itu, struktur ayat dalam sesebuah teks turut memaparkan banyak penanda wacana berbentuk klasik. Komponen ini berfungsi untuk menunjukkan peranan bahasa dalam melahirkan pengalaman dan fikiran. Dalam hikayat misalnya, pengarang dilihat banyak menggunakan penanda wacana untuk menghubungkan antara satu ayat dengan ayat yang lain. Boleh dikatakan hampir setiap ayat dalam satu perenggan yang sama ada menggunakan penanda wacana seperti syahdan, maka, hal yang sedemikian itu maka dan sebagainya.

c) Kaedah Penghilangan
Kaedah penghilangan ini turut dikenali sebagai elipsis. Kaedah ini berlaku bagi tujuan menjaga unsur-unsur yang membentuk jalinan ayat dan maksudnya. Keadaan ini bermaksud, unsur yang dianggap hilang diperoleh semula melalui konteks kebahasaan atau bukan kebahasaan.

d) Penggunaan Kata Hubung di Hadapan Ayat
 Pengarang dilihat seringkali menggunakan kata hubung di hadapan ayat. Keadaan ini merupakan satu fenomena biasa pada pengarang-pengarang zaman dahulu kerana mereka sangat mementingkan keindahan dan seni kesusasteraan dalam penulisan mereka. Mereka kebiasaannya akan memulakan ayat dengan menggunakan penanda wacana atau kata hubung seperti dan, maka dan sebagainya.

e) Banyak Menggunakan Ayat Majmuk
Ayat majmuk ialah ayat yang terbina daripada dua ayat tunggal atau lebih (Abdul Hamid Mahmood, 2006: 181). Pengarang dilihat cenderung untuk menggunakan ayat majmuk. Keadaan ini disebabkan oleh struktur binaan ayatnya yang panjang dan berbelit-belit.

FRASA DAN KLAUSA

  • Frasa

Frasa secara umumnya merupakan  kumpulan kata yang membentuk unit sintaksis sesuatu klausa. Manakala menurut ahli bahasa tradisional pula frasa merupakan rangkai kata satu atau lebih perkataan yang di gabungkan. Manakala menurut ahli bahasa moden pula, frasa merupakan rangkai kata satu atau lebih perkataan yang berpotensi untuk diperluaskan. Lazimnya, dalam ayat frasa berfungsi sebagai unsur pengisi kepada subjek, predikat, objek dan keterangan.
Antara ciri-ciri frasa ialah, frasa boleh diperluaskan lagi iaitu dengan menambah perkataan lain. Selain itu frasa juga boleh disisipkan dengan unsur lain misalnya menambah perkataan, perkataan lain di tengah-tengah frasa. Malah, frasa juga merupakan konstituen yang longgar kerana boleh digugurkan mengikut konteks ayat. Bahkan frasa juga bersifat produktif kerana frasa boleh diperkembangkan lagi dengan frasa yang lain. Di samping itu, bentuk frasa juga lazimnya dalam bentuk yang umum dan mempunyai kebolehgantian yang tinggi dengan frasa yang lain. Sungguhpun demikian, frasa merupakan bukan leksikal ataupun bukan perkataan. Frasa terdiri daripada empat jenis frasa iaitu Frasa Nama, Frasa Kerja, Frasa Adjektif dan Frasa Sendi Nama.
 Frasa kerja merupakan binaan yang boleh berdiri daripada satu perkataan atau lebih dan kata intinya kata kerja. Lazimnya, kata kerja boleh terdiri daripada kata kerja transitif ataupun kata kerja tak transitif. Kata kerja tak transitif boleh hadir bersendirian atau diikuti oleh satu atau deretan perkataan, manakala kata kerja transitif mesti diikuti oleh objek serta unsur-unsur lain.
            Frasa Adjektif merupakan susunan perkataan yang terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang mengandungi kata adjektif atau kata sifat sebagai kata intinya. Kata inti merupakan bahagian utama dalam susunan frasa tersebut. Frasa adjektif yang dibincangkan berfungsi sebagai predikat dan unsur keterangan dalam predikat. Secara umumnya frasa Adjektif terdiri daripada sembilan jenis iaitu, frasa adjektif sifatan atau keadaan, frasa adjektif warna, frasa adjektif ukuran, frasa adjektif bentuk, frasa adjektif waktu, frasa adjektif jarak, frasa adjektif cara, frasa adjektif perasaan, dan frasa adjektif pancaindera.
Frasa sendi nama merupakan satu binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu sendi nama dan satu frasa nama yang menjadi pelengkap kepada kata sendi tersebut. Lazimnya frasa sendi nama terletak di hadapan frasa nama.  Sungguhpun demikian frasa sendi nama juga boleh didahului oleh kata bantu.  Antara frasa sendi nama yang lazimnya terdapat dalam bahasa Melayu ialah di, ke, dari, daripada, pada, kepada, untuk, akan, bagi, hingga, oleh dengan, sampai, tentang dan sebagainya.
  • Klausa

Klausa merupakan deretan perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang terdiri daripada dua jenis iaitu klausa bebas dan klausa tidak bebas. Klausa bebas merupakan klausa yang boleh berdiri sendiri tanpa memerlukan klausa lain. Manakala klausa tidak bebas merupakan klausa yang memerlukan klausa lain untuk melengkapkan struktur ayat. Lazimnya klausa tidak bebas hadir dalam ayat majmuk.
            Perkataan-perkataan (ayat/klausa) merupakan didefinisikan sebagai lafaz yang memberikan faedah. Contoh yang diberikan dalam teks kitab Bustan al-Katibin adalah “Berdirilah engkau” yang membawa maksud menyuruh seseorang untuk bangun. Istilah kata-kata merujuk kepada frasa pula merupakan kata-kata yang hadir selepas perkataan-perkataan dan ia melengkapi perkataan tersebut. Contohnya, “Si Zaid itu berdirikah ia atau dudukkah ia”. Perkataan tersebut akan menjadi sempurna apabila dijawab dengan “Si Zaid berdiri”.

PENGARUH BAHASA ASING
Pengaruh bahasa asing dalam kitab Bustan al-Katibin dapat dilihat dengan jelas apabila pengarangnya, Raja Ali Haji banyak menggunakan istilah-istilah Arab dalam penulisannya. Pengaruh bahasa Arab dalam penulisan beliau mungkin disebabkan oleh latar belakang pendidikannya yang telah mendalami ilmu pengetahuan di Makkah. Seluruh huraian dalam kitab tersebut yang berkaitan ilmu bahasa Melayu adalah berdasarkan kaedah huraian dan konsep tatabahasa Arab. Istilah-istilah yang digunakan juga dipinjam secara langsung daripada bahasa Arab. Contoh penggunaan bahasa Arab dalam penulisan kitab ini dapat dilihat daripada bab permulaan lagi.
            Raja Ali Haji telah memulakan bahagian Muqaddimah atau pendahuluan dengan ayat Fifadhilati al-‘ilmu wa ‘I-‘aqlu yang bermaksud pendahuluan ini menyatakan tentang kelebihan ilmu dan akal. Selain itu, beliau juga menyatakan hadith Rasullah SAW yang berbunyi:
Kama qala ‘ n-Nabiyi sallal-Lahu’alaihi wa sallam man yarda ‘I-Lahu bihi khairan yafqahahu fi’d-din”.
                                               (Bustan al-Katibin, 2005:4)
Barang siapa dikehendaki Allah untuk membuat kebaikan, maka ia diberi pemahaman kepada ilmu agama”.
Penggunaan kata Arab juga dapat dilihat dalam penyataan lima syarat keberhasilan ilmu yang merangkumi al-himmat, al-mudarasah, al-muhafazat, muzakarah dan mutala’at. Al-himmat merujuk kepada kesungguhan untuk mendapatkan ilmu. Al-mudarasah pula bererti kuat menderas atau mengulang ilmu yang sudah diperoleh. Syarat ketiga, al-muhafazat bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh hendaklah dihafaz.Muzakarah yang merupakan syarat keempat bererti menyebut-nyebut ilmu itu kepada orang lain agar sentiasa saling mengingati. Syarat yang terakhir merupakan mutala’atyang merujuk kepada menilik ilmu yang dikaji dan memikirkan maknanya. 
(Bustan al-Katibin, 2005: 5-6).
            Penggunaan kata Arab juga digunakan untuk merujuk kepada kata nama, kata kerja dan kata partikel. Kata-kata tersebut diterangkan dalam Fasal 10 hingga Fasal 13. Kata Arab yang merujuk kepada kata nama adalah isim, kata kerja (fi’il) dan kata partikel dirujuk kepada harf. Bukti penggunaan bahasa Arab dinyatakan seperti berikut:

“Pertama, pada bahasa ‘Arab isim yakni nama, dan kedua, fi’il yakni perbuatan, dan ketiga harf’.
                                       (Bustan al-Katibin, 2005: 26-26)

Menurut Asmah Haji Omar (1991:138), kata pinjaman daripada bahasa Arab merupakan kumpulan yang terbesar daripada kata-kata yang dibawa dari luar alam Melayu. Kata pinjaman daripada bahasa Arab itu boleh dibahagikan kepada dua jenis. Yang pertama ialah kata yang sudah menjadi kebiasaan dalam penggunaan bahasa Melayu, sedangkan yang kedua terdiri daripada kata-kata yang kurang biasa bagi pengguna bahasa Melayu. Ringkasnya, kata-kata jenis kedua ini merupakan kata-kata keagamaan yang sungguh-sungguh “teknikal”. Kata jenis yang pertama terdiri daripada kata sehari-hari serta juga kata-kata yang merupakan istilah dalam agama Islam. Bagaimanapun, istilah keagamaan dalam kategori ini merupakan istilah yang dikenal rata-rata oleh orang Melayu Islam kerana berhadapan dengannya setiap hari. Istilah-istilah itu adalah antara lain seperti nabi, wali, zakat, syarat, tauhid, salih, rukun, halal, haram, khabar, ya ‘ni, hakikat.
Berdasarkan contoh-contoh di atas, terdapat banyak kata daripada bahasa Arab yang tidak berubah dari segi fonologinya, walaupun sudah menjadi kata sehari-hari bagi orang Melayu.  Tegasnya  bunyi sy, gh, z dan yang seperti itu tetap dipertahankan dalam kata-kata tersebut. Kata pinjaman Arab jenis kedua terdiri daripada kata-kata yang kurang biasa dalam penggunaan bahasa Melayu sehari-hari. Kata-kata tersebut betul-betul merupakan istilah pada peringkat yang lebih tinggi daripada jenis pertama tadi. Contoh kata-kata tersebut ialah thabit, mutawatir, jawhar, dharuri, tawajjuh, istidlali, mashaf, jamad, khilafat.
Kata Pinjaman Sanskrit

Menurut Asmah Haji Omar (1991:139), kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit juga dibahagikan kepada dua jenis, tetapi pembahagiannya itu berdasarkan darjat asimilasinya. Dan darjat asimilasi ditentukan berdasarkan ciri fonologi. Unsur-unsur daripada bahasa Sanskrit masuk ke dalam bahasa mereka sebagai satu-satu kata atau istilah dan bukan sebagai bahasa sepenuhnya. Dengan menggunakan ukuran fonologi ini, kita dapat melihat kata-kata yang manakan yang betul-betul sebati dengan bahasa Melayu, dan yang mana belum. Antara kata-kata tersebut ialah  karena, manusya, binyasa, syaksyi, syiksya, pandita, daruhaka, buddi, sattaru.

Gejala yang serupa dapat kita lihat dalam bahasa Melayu sekarang ini dalam menghadapi kata pinjaman. Contoh yang jelas ialah adanya paham dan faham, pikir dan fikir, dan seterusnya. Dalam contoh-contoh ini, paham dan pikir sudah memperlihatkan asimilasi sepenuhnya, sedangkan faham dan fikir belum. Kata pandita belum mengalami asimilasi sepenuhnya dari segi fonologi dalam abad keenam belas. Maknanya sebagai  “orang yang arif dalam agama” dipertahankan. Kata pendeta dalam  bahasa Melayu sekarang sudah memperlihatkan perubahan makna kepada “orang yang pandai dalam ilmu sastera atau bahasa”.

            Sebahagian besar daripada kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit merupakan kata yang sudah mengalami asimilasi ke dalam bahasa Melayu. Bahkan kebanyakan daripada kata-kata tersebut tidak lagi dirasakan sebagai kata pinjaman. Sebagai contoh, diturunkan kata-kata yang seperti kata, mula raja, negeri, acara, antara, bangsa, bahagia, rupa, dosa, pahala,    bahawa, utama, pertama.

Adat Istiadat

Adat Istiadat dan Starata Masyarakat Melayu dalam Sulalatus Salatin

Sulalatus Salatin merupakan judul asal Sejarah Melayu. Karya ini ditulis oleh Tun Seri Lanang pada tahun (1612). Sewaktu karya ini ditulis terdapat pelbagai cerita lisan dan salasilah yang tesebar luas. Karya ini berkemungkinan besar ditulis di Johor setelah Kesultanan Melayu Melaka berpindah dari Bentan setelah diserang Portugis yakni setelah kejatuhan Melaka. Seterusnya, perpecahan politik Melayu telah berlaku sehingga terdapat orang yang menyebelahi Portugis. Bentan beberapa kali menyerang Melaka tetapi gagal. Walau bagaimanapun, kemenangan Belanda di Melaka pada tahun (1641) menjadikan kesultanan Melayu kembali kuat. Berdasarkan situasi inilah, Sulalatus Salatin dari Gowa diperbaiki oleh penyalin-penyalin barunya.
            Karya ini merupakan karya yang sangat istimewa dari segi usia, budaya, bahasa, gaya naratif, ketatanegaraan, pakaian, dan banyak lagi. Oleh itu, Sulalatus Salatin menjadi bahan suntingan, alih aksara, dan terjemahan oleh sarjana Eropah dan pengkaji tempatan. Salah satu judul terbitan berhubung teks dan kajian Sulaltus Salatin ialah Sulalatus Salatin yang disunting oleh A. Samad Ahmad. Adat istiadat dan strata masyarakat pada zaman itu merupakan keistimewaan yang sangat unik untuk ditelusuri bagi menerjah kehidupan dan keagungan kerajaan Melayu pada zaman itu.
            Konsep adat istiadat terbahagi kepada dua iaitu, adat dan istiadat. Adat mewakili undang-undang dan larangan Diraja. Larangan Diraja merupakan pelaksanaan undang-undang berdasarkan hukuman melanggar undang-undang atau melakukan sebarang kesalahan.  Undang–undang pula melibatkan larangan mengenai perhiasan pakaian peralatan raja. Istiadat pula mewakili aturan dalam negeri dan pelaksanaan upacara atau istiadat. Istiadat kebiasaannya dijalankan di istana raja dan mengutamakan kelengkapan dan perjalanan upacara. Seterusnya, aturan dalam negeri ialah istiadat aturan dalam negeri tidak melibatkan denda dan mementingkan protokal.
            Starata atau tingkat kedudukan masyarakat Melayu dalam Sulalatus Salatin. Starata masyarakat Melayu pada zaman kesultanan Melayu terdiri daripada golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Golongan pemerintah terdiri daripada raja dan pembesar. Golongan diperintah pula terdiri daripada rakyat dan hamba. Masyarakat Melayu traditional sememangnya mengamalkan sistem pemerintahan secara mutlak.
Maksud Adat Istiadat dan Strata Masyarakat
Adat istiadat sebahagian adat yang mengatur segala upacara dan kegiatan suci yang perlu menerima penghormatan awam. Adat istiadat berlaku kerana masyarakat mengamal dan menjaganya dengan baik (Abdullah Siddik, 1975). Walau bagaimanapun, adat istiadat bergantung pada prinsip perubahan melalui muafakat dan perundingan serta pengaruh luar. Etimologi perkataan adat berasal daripada bahasa Arab iaitu, ‘Adah’ yang bermaksud kebiasaan atau perbuatan yang dilakukan secara berulang-ulang lalu menjadi kebiasaan yang tetap dan dihormati. Seterusnya, perbuatan kebiasaan ini akan menjadi adat. Kata majmuk adat merupakan adat istiadat. Adat istiadat dalam masyarakat Melayu traditional merupakan segala proses kehidupan manusia bermula daripada kelahiran hingga kematian (Abdul Latif, 2001). Gambaran adat istiadat dan larangan - larangan yang mementingkan protokol dan adat istiadat bertujuan untuk menonjolkan kebesaran raja Melaka.
            Corak pemerintahan dan pentadbiran di negeri Melaka telah mempengaruhi pembentukan susun lapis masyarakat. Setiap lapisan masyarakat mempunyai kedudukan dan fungsinya yang tersendiri. Secara umum, masyarakat Melayu tradisional Melaka dapat dibahagikan kepada dua golongan utama iaitu golongan yang memerintah dan golongan yang diperintah. Golongan pemerintah terdiri daripada raja dan pembesar. Golongan yang diperintah terdiri daripada rakyat dan hamba (Akashah Ismail, 2010). Biasanya golongan yang memerintah ini mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dan istimewa daripada golongan yang diperintah.

Adat Istiadat Dalam Sulalatus Salatin

Aturan dalam Negeri
Aturan dalam negeri ialah istiadat aturan dalam negeri tidak melibatkan denda dan mementingkan protokal.

 Adat Penganugerahan Gelaran
Adat ini dimulakan dengan menjemput orang yang bakal menerima gelaran ke istana. Jemputan pula penganugerahan adalah mengikut pangkat dan gelaran yang bakal diterima. Orang besar-besar akan menjemputnya jika mendapat penganugerahan ‘Perserian’. Bagi anugerah ‘Persangan’ hanya orang kecil-kecil sahaja yang akan menjemput orang yang bakal menerima anugerah. Orang yang akan menerima anugerah akan dijemput dengan menggunakan gajah atau kuda. Mereka akan diiringi dengan payung dan gendang se­runai ke istana. Ketika tiba di istana, riwayat mereka akan dibaca dan diberi persalinan mengikut gelaran yang diberikaan oleh raja. Sebagai contoh, anugerah bendahara akan diberi lima ceper persalinan. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.
Jika baginda menggelar orang, maka raja dihadap orang di balairung, orang beradat. Maka dijemput orang itu: jika "Perserian ", Orang Besar-besar menjemput dia; jika "Per­sangan", orang kecil menjemput dia; jika "Pertuanan" orang sedang menjemput dia; dan jika orang bergelar itu patut bergajah, dibawakan gajah; yang patut berkuda, dibawakan kuda; dan jikalau tiada patut bergajah dan berkuda, dibawa berjalan dengan bingkisan, dengan payung dan gendang se­runai, tetapi payung itu, ada hijau, ada yang biru, ada yang merah, dan sebesar-besamya payung kuning; dan payung putih dengan nagara itu mahal adanya, sebaik-baiknya nafiri. Dan payung kuning itu payung anak raja-raja dan orang besar-besar; dan payung ungu dan merah dan hijau itu payung sida-sida dan ben tara hulubalang sekalian. Adapun payung biru dan hitam itu akan payung barang orang bergelar juga.
                                                                                                                                    (A. Samad Ahmad,1979: 76)

Adat Mengadap Raja di Balairung

Semasa mengadap raja terdapat adat istiadat mengadap raja di balairung. Pembesar-pembesar akan di susun mengikut pangkat kebesaran tersendiri seperti bendahara, penghulu bendahari, dan temenggung akan duduk di seri balai. Anak- anak raja akan duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Sida- sida yang muda akan duduk berselang-seli dengan bentara dan hulubalang yang berdiri di ketapakan balai memikul pedang. Petikan di bawah menggambarkan aturan mengadap raja di balairung.  Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.
Kemudian dari­pada itu maka Raja Iskandar pun keluarlah ke penghadapan, dihadap oleh segala raja-raja dan ulama dan pendita dan segala Orang Besar-besar, dan segala pahlawan yang gagah-gagah mengelilingi takhta kerajaan baginda, dan dan belakang ba­ginda segala Hamba yang khas dan segala yang kepercayaannya.
                                                                                                                                 (A. Samad Ahmad, 1979:5)

 Istiadat Raja ke Istana

Institusi beraja dalam Sulalatus Sulatin mempunyai kepelbagaian adat istiadat yang mengikut aturan termasuklah adat istiadat raja masuk ke istana. Ketika raja akan ke istana gendang akan dipalu sebanyak tujuh ragam dan nafiri akan dibunyikan. Setelah selesai palukan gendang kali ketujuh, raja keluar bergajah diarak ke istana. Rakyat yang hadir akan duduk bersila di tanah. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.

Syahadan di Bintan gajah memangku puan baginda, dan Demang Mangku Raja, saudara Demang Lebar Daun, menyan­dang pedang badram belawa, dengan segala penjawat baginda berjalan di hadapan gajah baginda; Menteri Bupala memegang gading kanan, Aria Bupala memegang gading kiri. Maka pa­yung iram-iram kerajaan putih pun terkembanglah empat, serta cogan kerajaan panji-panji alam pun terdirilah. Maka diarak oranglah baginda masuk ke dalam kota Bintan dengan segala bunyi-bunyian diiringkan oleh segala menteri hulu­balang kedua buah negeri itu, terlalu sabur rupanya. Mereka yang melihat bersesak bertindih-tindih sepanjang pasar itu. Maka disuruh arak oleh Wan Seri Beni langsung sekali ke dalam; maka diarak oranglah masuk ke dalam rong sekali, terkepil di atas rong dalam.
                                                                                                                    (A. Samad Ahmad, 1979:25)

            Berdasarkan sulalatus sulatin ini, Raja Iskandar berjalan dihadapan gajah baginda berserta dengan menteri baginda iaitu, Menteri Bupala memegang gading kanan manakala Aria Bupala memegang gading kiri. Orang suruhan baginda akan berjalan dihadapan gajah baginda. Payung iram-iram putih kerajaan juga turut digunakan semasa perarakan tersebut. Segala bunyi-bunyian dimainkan dan diiringi menteri kedua-dua buah negeri melalui pasar sebelum masuk ke balai rong.

Adat Menjunjung Duli

Adat menjunjung duli juga terdapat dalam Sulalatus Sulatin. Adat istiadat ini diadakan apabila empat atan lima orang kepala bentara yang terdiri daripada sida-sida akan duduk di Seri Balai. Segala perkakas seperti ketur, kendi, kipas, dan barang yang diselang kedudukannya. Pedang pula berada di sebelah kiri dan kanan. Pedang kerajaan dipikul oleh Laksamana atau Seri Bija Diraja. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.

Syahadan jika menjunjung duli, dahulu kepala bentara yang empat lima orang itu daripada sida-sida yang duduk di Seri balai itu, melainkan segala menteri yang besar-besar. Ada­pun nakhoda Cempa yang pilihan duduk di seri balai; maka segala anak tuan-tuan yang bersahaja-sahaja duduk di selasar balai. Adapun segala perkakas raja, seperti ketur dan kendi, kipas dan barang sebagainya diselang-selang duduknya; me­lainkan puan dan pedang dikelek-kelekan kiri dan kanan; pedang kerajaan itu, Laksamana atau Seri Bija Diraja memi­kul pedang itu.
                                                                                                        (A.Samad Ahmad, 1979:75)

Starata Masyarakat Melayu dalam Sulalatus Salatin
Raja merupakan golongan yang merintah dan rakyat merupakan golongan yang diperintah. Persetujuan ini hasil dari waadat antara Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun. Sehubungan itu, strata masyarakat dibahagikan kepada dua iaitu, golongan pemerintah dan golongan yang diperintah.
  • ·         Golongan pemerintah
  • ·          Raja Atau Sultan

Golongan pemerintah yang paling tinggi dalam susun lapis masyarakat dikenali sebagai ‘raja’. Walau bagaimanapun, setelah kedatangan Islam maka gelaran tersebut telah bertukar kepada gelaran ‘sultan’. Sulalatus Salatin memaparkan golongan pemerintah sebelum dan ketika kewujudan Kesultanan Melayu Melaka. Nama pemerintah tertinggi atau raja sebelum wujudnya Kesultanan Melayu Melaka ialah Raja Iskandar, Raja Suran, dan Demang Lebar Daun. Selain itu, nama-nama sultan yang memegang taktha kerajaan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pula iaitu, Sultan Muhammad Syah, Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alau’d-Din Riayat Syah, dan Sultan Mahmud Syah. Karya Sulalatus Sulatin istimewa kerana memberi pandangan terhadap pembaca mengenai paparan sikap setiap pemerintah dalam pemerintahannya. Pembaca dapat menilai sendiri setiap tindakan pemerintah yang membawa kebaikan dan keburukan dalam masyarakat. Terdapat pemerintah yang bertanggungjawab tentang nasib dan masa depan puterinya dan menjaga kebajikan rakyatnya daripada teraniaya. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.
Barang maklum duli tuanku Yang Maha Mulia, jikalau anak patik telah terambil ke bawah duli, jikalau ia kena penyakit seperti patik-patik yang lain, telah maklum ke bawah duli tuanku itu, jikalau ada ampun kumia duli Yang Maha Mulia, janganlah tuanku keluarkan dari bawah istana tuanku. Biarlah ia menjadi gembala dapur Yang Maha Mulia, dan menyapu sampah di bawah per­aduan duli tuanku. Seperkara lagi, perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan ia difadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuanku aibi."
                                                                                                                         (A.Samad Ahmad :1979: 25)

Maka titah Seri Teri Buana, "Kabullah hamba akan janji paman itu; tetapi hamba pun hendak minta janji juga pada paman. "Maka sembah Demang Lebar Daun, "Janji yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia." Maka titah Seri Teri Buana, "Hendaklah oleh segala anak cucu Hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala Haru ba Melayu itu derhaka dan menitikkan darah­nya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga. "
                                                                                                                             (A.Samad Ahmad :1979:25)

            Walau bagaimanapun, terdapat juga sultan yang tidak bermoral sebagai pemerintah. Sebagai contoh, Sultan Mahmud Syah yang suka berfoya-foya, kuat nafsu, dan terlibat dengan perkara maksiat. Antara sikap sultan mahmud yang menunjukkan baginda mengetepikan nilai moral melalui peristiwa baginda berjahat degan isteri Tun Biajid ketika suaminya tiada di rumah. Namun, ketika usia baginda meningkat tua, baginda telah mengubah sikapnya menjadi seorang yang memegang nilai-nilai positif. Keinsafan baginda jelas terpancar apabila baginda meninggalkan banyak wasiat berunsurkan nasihat.
  • ·         Bendahara

Bendahara merupakan pembesar negeri yang paling kanan dan menjadi ketua penasihat kepada sultan dalam starata masyarakat Melayu yang terdapat dalam karya agung Sulalatus Salatin. Bendahara juga memegang tugas sebagai pemangku sultan jika sultan masih kecil. Sebagai contoh, Bendahara Paduka Raja Tun Perak melaksanakan pemerintahan sewaktu Sultan Mahmud Syah Masih kecil.
            Selain itu, bendahara memegang beberapa tugas lain seperti berkuasa menyelesaikan masalah tertentu tanpa merujuk sultan. Misalnya, Bendahara Seri Maharaja menyelesaikan perselisihan antara Raja Mendaliar dengan Nina Ura Dewana. Bendahara turut berkuasa memberi arahan tanpa perintah raja dalam starata masyarakat Melayu dalam Sulalatus Salatin. Seseorang bendahara merupakan orang yang penting dalam organisasi masyarakat apabila bertindak sebagai pemimpin apabila berlaku peperangan dan berpengaruh dalam memilih pengganti sultan.
            Antara beberapa orang bendahara dalam karya agung yang memegang pucuk kepimpinan keagungan Kesultanan Melayu Melaka iaitu, Tun Perak, Tun Ali, dan Tun Mutahir. Tun perak merupakan salah seorang bendahara yang berwibawa kerana beliau merupakan seorang yang pintar, cekap, berani dan sangat rapat dengan sultan.      Oleh itu, beliau memegang jawatan di bawah empat pemerintahan iaitu, zaman Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alau’d-Din Riayat Syah, dan Sultan Mahmud Syah.
            Kebijaksanaan Tun Perak dapat dilihat apabila beliau bijak mengatur strategi perang untuk mencapai kejayaan tanpa pertumpahan darah. Beliau bijak kerana menggunakan tipu helah dengan menambat puntung api pada kayu-kayu di sepanjang sungai. Sehubungan itu, pihak Siam menggangap angkatan Melaka sangat ramai untuk menyerangnya. Bendahara berkuasa dan berpengaruh dalam melantik dan memilih pengganti sultan. Situasi ini dapat dilihat apabla Bendahara Paduka Raja Tun Perak enggan menyembah Raja Muhammad (Raja Muda) setelah tragedi pembunuhan Tun Besar menyebabkan Sultan Mansur Syah terpaksa "mengalah" dan menyingkirkan Raja Muhammad dari takhta Melaka dan dirajakan di Pahang.
·         Penghulu Bendahari
Seterusnya, penghulu bendahari merupakan orang ketiga terpenting dalam starata masyarakat dalam  Sulalatus Sulatin. Penghulu bendahari bertindak sebagai bendahari raja dalam melaksanakan tugas dalam negeri. Penghulu bendahari melaksanakan tugasnya dalam masyrakat sebagai pemmungut hasil  negeri termasuk hasil yang ddipungut oleh syahbandar. Beliau juga menyimpan daftar bilangan hamba dan mengurus kelengkapan dalam istana.
Oleh itu, beliau bertanggungjawab menyuruh penghulu balai menghias balai, membentang tikar, menggantung tabir, dan langit-langit. Bukan itu sahaja, penghulu bendahari memegang usungan di sebelah kanan apabila raja berangkat secar berusungan pada hari raya. Gelaran yang diberikan terhadap penghulu bendahari ialah Seri Nara Diraja.
Berdasarkan sulalatus salatin jawatan Seri Nara Diraja dipegang oleh tun ali. Tun ali ialah Anak Mani Puridan bersama Tun Ratna Sari. Pengaruh Seri Nara Diraja sangat kuat dalam institusi Kesultanan Melayu Melaka kerana beliau merupakan pembesar terpenting dalam rancangan merampas taktha Melaka yang dikuasai Raja Rekan. Rampasan ini berhasil disebabkan oleh kebijaksaannya tokoh ini. Seri Nara Diraja sangat berpengaruh semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah. Tokoh ini mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan sultan menyebabkan segala kemahuannya dituruti sehingga Seri Wak Maharaja terasa tersingir dan tidak dipedulikan. Situasi ini dapat dilihat melalui petikan teks di bawah.

Hatta maka Bendahara Seri Amar Diraja pun hilanglah, maka Tun Perpatih Sedang, anak Bendaharalah pula jadi Bendahara bergelar Bendahara Seri Wak Raja juga, tetapi sungguhpun jadi Bendahara sekadar nama sahaja, yang orang besamya Seri Nara Diraja juga; barang suatu katanya tiada dilalui raja,                                                                                                 (A.  Samad Ahmad, 1979: 87)
  • ·         Temenggung

Temenggung bertanggungjawab sebagai pelaksana undang-undang dan peraturan negeri dalam starata masyarakat Melayu dalam Sulalatus Salatin. Beliau bertugas sebagai orang yang bertanggungjawab menjaga keselamatan, menangkap orang yang bersalah, dan menjalani hukuman. Temenggung melaksanakan kawalan dalam negeri. Keadaan ini jelas dilihat dalam karya Sulalatus Salatin apabila Melaka diancam pencuri ketika pemerintahan Sultan Alau’d-Din Riayat Syah. Selain itu, temenggung juga bertanggungjawab dalam hal-hal yang melibatkan protokol seperti mengatur tempat pembesar mengikut status. Temenggung turut bertugas mengepalai gajah ketika raja menaiki gajah.
  • ·         Syahbandar

Syahbandar merupakan orang yang mengawal aktiviti segala dagang dalam starata masyarakat sulalatus masyarakat. Beliau bertanggungjawab atas urusan di kuala seperti memeriksa perahu masuk dan keluar. Syahbandar juga melaksanakan tugas dengan menyelia pedagang-pedagang yang menurun barang dari kapal dan memungut cukai daripada pedagang.
  • ·         Laksamana

Laksamana dilantik daripada keturunan hulubalang. Laksamana bertanggungjawab menjaga negeri daripada ancaman di laut dan darat. Sebagai contoh, laksaman Hang Tuah menghalang Semerluki dari Makasar yang datang merosakkan tanah jajahan Melaka. Laksamana juga berperanan memikul pedang kerajaan dalam istiadat rasmi. Berdasarkan Sulalatus Salatin menceritakan cara Hang Tuah diberi pengiktirafan yang tinggi setelah berjaya membunuh hang jebat yang dianggap pengkhianat.
Selain itu, laksamana turut menjaga keselamatan dan maruah bendahara sekiranya terdapat orang yang menghina atau biadap kepada bendahara. Misalnya, Laksamana Khoja Hassan tidak teragak-aagak membunuh Tun Perpatih Hitam yang berkelakuan kurang sopan iaitu, menguis tikar dengan kaki di hadapan Bendahara Seri Maharaja. Laksamana juga bertugas sebagai pengawal istana.
Keperwiraan seorang laksamana dapat ditelusuri melalui tokoh laksamana yang bernama hang tuah. Asal keturunan hang tuah berasal daripada anak raja bajung yang menetap di negeri bajung dari kepulauan mengkasar. Nama sebenar hang tuah ilah daeng mempawah. Gelaran Hang Tuah diberikan oleh Sultan Mansur Syah. Ketika Hang Tuah dibawa ke Melaka umur tokoh ini hanyalah berusia 12 tahun. Beliau merupakan seorang yang hebat dalam bermain senjata dan ilmu hulubalang.
Hang tuah telah memegang jawatan sebagai laksamana ketika pemerintahan kerajaan Melayu Melaka dengan membantu sultan dalam peperangan. Tokoh ini telah menyertai angkatan perang melaka menyerang dan menakluk negeri-negeri lain bagi meluaskan tanah jajahan takluk. Situasi ini dapat dilihat dalam karya Sulaltus Salatin apabila beliau mengiringi Bendahara Paduka Tuan dan Seri Bija Diraja menentang angkatan perang Haru yang merosakkan jajahan Pasai dan tanah jajahan Melaka. Hang Tuah juga turut mengiringi Sultan Mansur Syah dalam rombongan diraja ke Majapahit. Hal ini demikian kerana tugasnya bertanggungjawab ke atas keselamatan sultan.
Tambahan lagi, ketokohan Hang Tuah dalam sistem pemerintah dalam susun lapis masyarakat sesuah kerajaan dapat dilihat dalam karya Sulaltus Salatin apabila beliau mengetui angkatan perang melaka menumpaskan kegiatan lanun yang mengancam keselamatan Melaka. Kegiatan ini dilakukan oleh anak Raja Mengkasar yang menjalankan kegiatan lanun di tanah jajahan Melaka. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.
Maka sembah Seri Bija Pikrama, "Tiada tuanku, raja Mengkasar bertanya kepada patik akan kegemaran duli tuanku maka patik katakan gemar akan budak yang baik rupa." Mala semuanya perihal ehwalnya habis dipersembahkannya ke bawah duli Sultan Mansur Syah. Maka baginda pun suka, serta Seri Bija Pikrama dipuji baginda. Maka Daeng Merupawah itu dinamai baginda Hang Tuah, itulah asal Hang Tuah; maka dipeliharakan oleh baginda dengan sepertinya, terlalu kasih baginda akan Hang Tuah, maka dianugerahi akan dia sebilah keris terupa Melaka dengan selengkap perhiasannya.
                                                                                                                 (A.  Samad Ahmad, 1979: 105)

  • ·         Golongan Diperintah
  • ·         Rakyat

Rakyat merupakan orang yang diperintah dalam sebuah pemerintahan. Mereka mengamalkan kehidupan dengan aktiviti perniagaan, aktiviti di laut, dan bertani. Salah satu peristiwa yang memaparkan aktiviti masyarakat dalam Sulalatus Salatin ialah aktiviti berniaga. Sitausi ini digambarkan apabila seorang perempuan yang ingin membuka kedai namun terlihat tangan orang yang ingin mencuri lalu menjerit. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.
       Telah hari siang maka perempuan yang punya kedai itu pun hendak membuka kedai, maka di­lihatnya lengan orang tersampai pada alang kedainya itu; maka ia pun terkejut, lalu menjerit. Maka daripada hari itulah datang kepada akhirnya, tiada pencuri lagi dalam negeri Melaka.
                                                                                                  ( A.Samad Ahmad, 1979:175)
         
·         Hulubalang
Hulubalalng memegang peranan yang penting susun lapis masyarakat dalam Sulalatus Salatin. Hulubalang sangat berperanan dalam sesebuah pemerintahan beraja. Hulubalang bertanggungjawab sebagai ketua utusan Melaka. Situasi ini dipapar dalam Sulalatus Salatin melalui watak Tun Bijaya Sura. Tun Wijaya Sura merupakan orang yang diberi tanggungjawab oleh sultan untuk menjadi ketua utusan dalam rombongan melaka ke majapahit. Tokoh ini mempunyai kehebatannya yang tersendiri sebagai hulubalang melalui permainan keris dan   mengatasi pahlawan Majapahit. Tun Wijaya Sura juga berperanan mempertahankan maruah sultan dan kerajaan Melaka. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.
                 Maka Tun Bijaya  Sura pun menyembah, lalu bangkit berlayam menari. Setelah   hampir dengan anjing itu, maka dikirapnya utar-utar itu; maka gemerincinglah bunyi segala genta itu. Maka anjing itu pun terkejut, putus rantai emas itu, lalu lari ke hutan, terus hilang. Maka tun bijaya sura pun bermainlah sapu-sapu rengit. Maka seri bitara pun tersenyum melihat penjenaka Tun Bijaya Sura itu; dalam hatinya berkata , “sangat bijaksana raja melayu ini, semua hambanya cerdik belaka;ia membalas akan tuannya mengadap anjing, maka kakinya pula disuruh hadap kepada kita.”
                                                                                                              (A. Samad Ahmad: 1979:122)

            Keistimewaan hulubalang yang bernama Tun Wijaya Sura ini juga digambarkan melalui tindakan pintar membuat helah, cepat berfikir, dan hebat menjawab setiap persoalan. Beliau juga mahir dalam adat jawa dan menjaga 40 keris yang diaugerahkan dengan selamat.

·         Hamba
Strata masyarakat paling rendah dalam masyarakat yang terdapat dalam Sulalatus Salatin ialah hamba. Kebiasaannya, hamba akan menjadi milik raja untuk membantunya dalam sistem pemerintahan dan hidupan seharian. Semasa pemerintahan Sultan Iskandar, hamba digunakan untuk membantu baginda dalam sistem kehidupan seharian. Baginda sangat menaruh kepercayaan terhadap hambanya. Salah seorang hamba raja ialah Badang. Badang merupakan hamba kepada Seri Rakna Wikrama. Baginda menjadikan Badang sebagai hamba kerana terpesona dengan kebaikannya. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.
                       Kemudian dari­pada itu maka Raja Iskandar pun keluarlah ke penghadapan, dihadap oleh segala raja-raja dan ulama dan pendita dan segala Orang Besar-besar, dan segala pahlawan yang gagah-gagah mengelilingi takhta kerajaan baginda, dan dan belakang ba­ginda segala Hamba yang khas dan segala yang kepercayaannya.
                                                                                                      (A. Samad Ahmad,1979:5)



Nilai Melayu

Nilai Melayu dalam Karya Agung Bugis I La Galigo

Sinopsis La Galigo
Epik La Galigo dimulakan dengan penciptaan dunia. Ketika dunia ini kosong (merujuk kepada Sulawesi Selatan), Raja Di Langit, La Patiganna, mengadakan suatu perbicangan keluarga daripada beberapa kerajaan termasuklah Senrijawa dan Peretiwi dari alam ghaib. Dalam mesyuarat ini, mereka sepakat untuk melantik anak lelakinya yang tertua, La Toge’ langi’ menjadi Raja Alekawa (Bumi) dan memakai gelaran Batara Guru. La Toge’ langi’ kemudiannya berkahwin dengan sepupunya, We Nyili’timo yang merupakan anak kepada Guru ri Selleng, Raja alam ghaib. Namun begitu, sebelum Batara Guru diisytiharkan sebagai raja di bumi, beliau perlu melalui suatu tempoh ujian selama 40 hari 40 malam. Tidak lama kemudiannya, beliau turun ke bumi, dikatakan turun di Ussu’, sebuah daerah di Luwu’ dan terletak di Teluk Bone. Pengganti Batara Guru iaitu La Tiuleng, anak kepada Batara Guru kemudiannya menjadi pengganti beliau dengan gelaran Batara Lattu’. Beliau kemudiannya memperoleh dua orang anak kembar iaitu Lawe atau La Ma’dukelleng atau Sawerigading (Putera Ware’) dan kembarnya, seorang anak perempuan bernama We Tenriyabeng. Kedua-dua kembar itu tidak membesar bersama. Sawerigading pada mulanya menganggap We Tenriyabeng tidak mempunyai hubungan darah dengannya, ingin berkahwin dengannya. Tetapi disebabkan ini adalah suatu larangan, beliau meninggalkan Luwu’ dengan menuju ke Cina dan bersumpah tidak akan kembali. Dalam perjalanannya ke Cina, beliau diserang dan telah berjaya mengalahkan beberapa pahlawan termasuklah pemerintah Jawa Wolio iaitu Setia Bonga. Di Cina, beliau mengahwini Datu Cina iaitu We Cudai.
Sawerigading dalam La Galigo digambarkan sebagai seorang kapten kapal yang gagah dan beliau pernah melawati beberapa tempat seperto Taranate (Ternate di Maluku), Gima (Bima atau Sumbawa), Jawa Rilau’ dan Jawa Ritengnga (mungkin Jawa Timur dan Tengah), Sunra Rilau’ dan Sunra Riaja (mungkin Sunda Timur dan Sunda Barat) dan Melaka. Beliau juga dikhabarkan oleh masyarakat Bugis, melawat syurga dan alam ghaib. Pengikut-pengikutnya terdiri daripada saudara-mara dari serata rantau dan rombongannya sering didahului oleh kehadiran tetamu yang luar biasa seperti orang bunian, orang berkulit hitam dan orang berambut di dada.
Menjadi manusia atau penghuni Dunia Tengah, adalah saat yang paling menyulitkan dalam riwayat hidup Batara Guru. Hal ini membawa erti bahawa beliau kehilangan hak-hak istimewanya sebagai seorang dewa, sebagai putera sulung dan pangeran mahkota dari Sang Penentu Nasib yang menguasai seisi alam. Namun begitu, ketahanan Batara Guru menjalani nasibnya sebagai manusia pertama di bumi yang kosong, akhirnya memberi pulangan yang sangat indah sehingga hasratnya untuk kembali ke langit dilupakan. Hal ini juga bermakna, hasratnya untuk kembali menjadi dewa dan menikmati keistimewaan yang pernah menjadi miliknya dilupakan sama sekali. Pada akhir kisah panjang ini, Batara Guru kembali juga ke langit dan menggantikan kedudukan Patotoqe’ sebagai penguasa tertinggi. Namun begitu, hal ini terjadi setelah empat generasi keturunan Batara Guru sudah menjelajah ke seluruh dunia, Bumi dipenuhi dengan manusia dan keturunan para dewa sudah berpindah naik ke Kayangan dan ada yang kekal di Bumi. Episod akhir Sureq Galigo memperlihatkan perkahwinan Dunia Atas dan Dunia Bawah untuk melahirkan penghuni Dunia Tengah, diwarnai dengan penyatuan keluarga besar anak cucu Batara Guru. Mereka yang tersebar sampai ke Cina, yang menetap di Langit dan Dunia Bawah Tanah, kesemuanya datang berkumpul. Sawerigading yang berjaya memenuhi Bumi dengan kelahiran anak cucunya tidak lagi dikutuk jika kembali ke tanah asalnya. Patotoqe’ kemudiannya menutup pintu langit dan tidak lagi dibuka untuk manusia. Dengan ini, terputuslah hubungan antara langit dan dunia. Dengan selesainya misi menyebarkan manusia dan memenuhi dunia dengan kehidupan, maka dianggap lengkaplah kisah Sureq Galigo.


Nilai Melayu Dalam La Galigo
Nilai Budaya
Naskhah La Galigo mengandungi beberapa nilai budaya yang telah menjadi pegangan zaman-berzaman bagi masyarakat Melayu Bugis. Nilai budaya ini berkaitan langsung dengan hukum adat yang mesti dipertahankan. Nilai budaya yang pertama dapat dilihat dalam epos La Galigo melalui perbuatan watak utama iaitu Sawerigading yang terpaksa berangkat keluar dari negeri kelahirannya menuju ke Cina. Sawerigading dikatakan telah dibesarkan secara terpisah dengan saudara kembar perempuannya. Apabila sudah dewasa, dia kembali bertemu dan akhirnya jatuh cinta kepada saudaranya sendiri. Apabila perasaan cintanya diketahui oleh orang ramai, beliau telah dinasihatkan oleh para pembesar supaya keinginannya untuk mengahwini saudara perempuannya, We Tenriabeng dilupakan. Sebagai seorang yang menghormati adat dalam masyarakat, dia patuh kepada undang-undang yang tidak membenarkan perkahwinan sesama adik-beradik. Kepatuhannya terhadap adat didorong oleh tegahan daripada masyarakat istana dan rakyat jelata untuk mengelakkan incest atau malapetaka menimpa. Atas saranan We Tenriabeng, Sawerigading telah memperisterikan We Cudaiq yang kecantikannya setanding dengan keayuan We Tenriabeng. Sebelum keberangkatan Sawerigading ke Cina, dia telah berjanji akan mengahwini Sawerigading sekiranya We Cudaiq tidak dapat mencuri hati saudara lelakinya itu. Dalam hal ini, ternyata We Tenriabeng seorang yang bijak kerana telah mencari seorang perempuan secantik dirinya untuk dikahwini oleh Sawerigading.
            Selain itu, nilai budaya yang terakam dalam La Galigo ialah amalan menyabung ayam yang masih lagi menjadi hiburan utama bagi masyarakat Bugis. Masyarakat yang digambarkan dalam La Galigo amat memandang tinggi kejaguhan seseorang di gelanggang sabung ayam. Dalam persabungan ayam di Cina sewaktu perlawanan sedang berlangsung, We Cudaiq menyaksikan kegagahan dan ketampanan sosok  I La Galigo sehingga menimbulkan perasaan ingin tahu dalam hatinya tentang asal usul I La Galigo. Dengan ditemani ayahnya Sawerigading yang pernah berkali-kali ditolak pinangannya oleh We Cudaiq, I La Galigo melangkah masuk ke dalam gelanggang dengan yakin. Pada masa yang sama, pertemuan antara Sawerigading dan We Cudaiq adalah sesuatu peristiwa yang mengharukan kerana melibatkan dua orang yang terpisah jauh. Sawerigading adalah lelaki yang amat dicintai oleh We Cudaiq meskipun pinangannya banyak kali ditolak. Perasaan We Cudaiq ternyata tidak silap kerana Sawerigading sememangnya suaminya manakala I La Galigo adalah anak mereka. Malangnya, nasib yang diterima oleh I La Galigo amat buruk semasa zaman kecilnya kerana setelah lahir, dia telah dibuang ke dalam laut supaya dimakan ikan.
            La Galigo juga memaparkan nilai budaya menghormati tetamu di dalam naskhahnya. Nilai ini dapat dilihat melalui sebuah nasihat yang diberikan oleh Sawerigading kepada anaknya, I La Galigo sebelum perlawanan sabung ayam berlangsung. Sawerigading telah berpesan kepada anaknya supaya menghormati tetamu seperti datu dan tidak memandang enteng orang lain. Malangnya nasihat yang diberikan oleh Sawerigading telah diingkari oleh anaknya. Pada hari pertarungan, semua penonton memenuhi serambi dan jendela istana untuk menyaksikan pertarungan. Sejumlah ayam ditampilkan berlaga dalam penyabungan tetapi semua ayam orang Cina menggelepar mati. Sabungan yang terakhir telah menemukan ayam I La Galigo dengan ayam Karaeng Tompoq yang digelar Sikuriq Linglung Ceppaga Sinting. Dalam pertarungan tersebut, ayam I La Galigo putus terlempar dan serta merta I La Galigo menangkap dan menyembelih kepala ayam Karaeng Tompoq. Peristiwa ini telah menimbulkan perang antara kedua-dua pihak. Tanpa disedari, Karaeng Tompoq Daeng Malino merupakan isteri La Galigo sendiri. Setelah perang selesai, diadakan pesta dengan menjemput semua penduduk di bumi menghadirinya. Peristiwa tersebut jelas menunjukkan sikap I La Galigo yang tidak boleh menerima kekalahan dalam perlawanan sabung ayam sehingga sanggup melakukan kekasaran terhadap lawannya.

 Nilai Agama
Orang Bugis telah menganut agama Islam menjelang abad ke-16  apabila Islam telah diwartakan sebagai agama rasmi kerajaan Bugis atau Makassar. Islam tersebar ke Makassar melalui unsur kebudayaan yang sangat mudah meresap ke dalam kehidupan masyarakat Bugis. Hal ini adalah disebabkan ajaran Islam yang universal dan sesuai diamalkan sepanjang zaman. Walaubagaimanapun, terdapat sisa kepercayaan dan tradisi bersumberkan elemen pra-Islam yang masih diamalkan seperti Bissu dan kitab La Galigo yang dianggap suci oleh mereka. Dalam hal ini, pelbagai ajaran Islam dan Bugis yang menyelitkan jiwa dan unsur yang sama telah diaplikasikan dan didialogkan bagi menyerlahkan sisi kebudayaan Islam dengan wajah Bugis, atau kebudayaan Bugis dengan wajah Islam.
            La Galigo memberikan pengaruh yang kuat terhadap kepercayaan masyarakat Bugis. Hal ini dapat dilihat melalui doa yang dibaca oleh Bissu yang menyebut Patotoqe sebagai Dewata Seuawae (dewata yang tunggal) yang diambil daripada konsep Allah Yang Maha Esa, meskipun dalam La Galigo, Dewa tidak tunggal sebaliknya beranak-pinak dan diperanakkan. Konsep siriq juga dapat dilihat dalam naskhah La Galigo. Konsep ini kemudiannya disesuaikan dengan konsep jihad. Pada akhirnya, sistem Pangngaderreng yang menjadi falsafah hidup orang Bugis dikukuhkan melalui Islam.
            Menurut Nurhayati Rahman (2008), terdapat lima unsur yang saling mengukuhkan konsep Pangngaderreng iaitu:
            1. wariq (sistem protokol kerajaan)
            2. adeq (adat-istiadat)
            3. bicara (sistem hukum)
            4. rapang (pengambilan keputusan berdasarkan perbandingan
            5. saraq (syariat Islam)
Empat unsur yang utama dijalankan oleh Pampawa Adeq (pelaksana adat), manakala yang terakhir di bawah tanggungjawab Parewa Saraq (pelaksana syariat).
Dalam struktur kehidupan beragama masyarakat Bugis, terdapat tiga penggolongan yang boleh dilakukan iaitu:
1. Penganut Islam militan yang mengikuti syariat Islam secara konsisten dan benar.
2. Penganut Islam yang konsisten melaksanakan syariat Islam, tetapi pada masa yang sama masih menjalankan amalan yang berkaitan dengan ajaran lama mereka.
3. Penganut agama To ri olo (To Lotang, To Kajang, Toraja yang terbahagi kepada dua iaitu penganut Islam yang masih melaksanakan ajaran nenek moyang mereka dan membataskan pelaksanaan syariat Islam untuk upacara kematian sahaja. Selain itu, terdapat juga penganut To Ri Olo murni yang kemudiannya diterima sebagai agama Hindu.

Dalam La Galigo juga terdapat nilai agama yang ditampilkan melalui watak Sawerigading yang menjadi tumpuan dalam cerita. Setelah Sawerigading mengahwini  So Da 1 di Cina, dia bersama anaknya, La Galigo telah berkunjung ke Mekah untuk mencari berkat dan menetap di sana. Sekembalinya dari Mekah dan menetap di Tompoq Tikkaq, Sawerigading juga telah mencadangkan kepada  masyarakat supaya membangunkan tempat ibadah tersebut yang dikenali sebagai Masigi. Hal ini menunjukkan penerapan nilai agama yang wujud dalam naskhah La Galigo melalui watak dan perwatakan Sawerigading.

Monday, 28 April 2014

Falsafah Melayu

Falsafah dalam Karya Bustan al-Katibin

Raja Ali Haji merupakan penulis berbakat pada zamannya. Sumbangan beliau dalam bidang bahasa persuratan, sejarah dan agama telah menjadi bahan kajian sarjana dan orientalis. Antara beberapa karya beliau yang penting ialah sebuah karya berjudul Bustanul-Katibin Lissubyanil, Muta’alimi atau dalam bahasa Melayu, Kitab Perkebunan Jurutulis bagi kanak-kanak yang baru hendak mempelajarinya. Hasilnya merupakan karya kritis mengenai nahu bahasa Melayu. Buku ini dikarang oleh beliau pada 20 Syaaban 1273 bersamaan 15 April 1857. Buku ini diusahakan dengan menggunakan cap batu di Penyegat. Karya ini diulas dan diterjemahkan ke dalam bahasa Belanda oleh Van Ronkel dalam Tijdschrift Voor Indische Taal Land.en Volkenkunde pada tahun 1901.
            Buku yang terdiri daripada 10 pasal utama ini dimulai dengan sebuah huraian mukadimah yang menjelaskan tentang kaitan antara bahasa dengan adat, adab, dan budi pekerti. Selain itu, tajuk pemikiran Raja Ali Haji dalam mukadimah berkisar seputar fadhilat (keutamaan) ilmu dan akal untuk menjaga dan meningkatkan kualiti moral dan menjadi insan Kamil sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah. Dalam mukadimah, Raja Ali Haji juga mensyaratkan kepada pembaca dalam memahami buku ini untuk memiliki lima perkara iaitu Al-Himmah (kesungguhan), Al- Mudarasah (analisi), Al-Muhafazah (penghafalan). Al-Mudzakarah (kajian lebih lanjut) dan Al-Muthala’ah (kajian lebih mendalam). Sepuluh pasal yang disusun oleh Raja Ali Haji dalam kitab ini berisi kaedah, prinsip, dan tata cara penulisan bahasa Melayu dalam aksara Jawi yang disesuaikan dengan tatabahasa (Nahu dan Saraf) dalam bahasa Arab.
            Bustanul al-Katibin diakui sebagai karya awal mengenai tatabahasa bahasa Melayu yang dihasilkan oleh pengarang dari Nusantara sehingga membolehkan pembaca mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada peringkat awal pembinaannya lagi. Tujuan Raja Ali Haji menghasilkan kitab ini adalah untuk menyebarkan ilmu bahasa dan ilmu tulisan, menghasilkan buku tatabahasa bahasa Melayu serta menerapkan hukum bahasa. Bustan al-Katibin juga mengandungi perbincangan kepentingan mempelajari bahasa dan huraiannya dalam konteks tatabahasa luas dan mendalam.
            Kitab terbabit turut mengandungi perbincangan mengenai aspek ilmu yang terkandung dalam bahasa Melayu, selain pengajaran Raja Ali Haji dalam ilmu dan akal yang bukan sahaja sesuai untuk pembacaan pada zamannya, bahkan masih lagi bermanfaat untuk diketahui serta dikaji oleh sarjana dan pembaca kini. Raja Ali Haji turut mengemukakan 10 adab berguru yang wajar dijadikan ikutan dan teladan kepada pelajar, sekali gus dianggap menjadi peringatan yang berguna kepada mereka yang sedang menuntut ilmu.
             Dalam Islam, pengajian bahasa khususnya bahasa Arab dan bahasa penganut Islam lain, merupakan ilmu alat untuk mencapai makrifat, iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan, memperteguh keimanan dan ketakwaan, dan menyemai adab kesopanan yang mulia, yang mengandungi antara lain ilmu-ilmu nahu (sintaksis), saraf (morfologi), qawa’id (tatabahasa), mantiq (logik), balaghah (retorik), istidlal (pendalilan), kalam (penghujahan) dan sebagainya. Raja Ali Haji dalam buku beliau telah meletakkan tradisi pengajian bahasa Melayu berdasarkan maksud dan matlamat pengajian bahasa yang digariskan oleh tradisi pengajian Islam.
            Raja Ali Haji dengan lantang dan jelas menyatakan bahawa terdapat perkaitan yang erat antara kebolehan berbahasa dan adab sopan yang mulia dengan ilmu yang tinggi. Tegas beliau dalam Bustan al-Katibin (halaman 3) :
“…adab dan sopan itu daripada tutur kata juga asalnya, kemudian baharulah pada kelakuan. Bermula apabila berkehendak kepada menunturkan ‘ilmu atau berkata-kata yang beradab dan sopan, tak dapat tiada mengetahuilah dahulu ‘ilmu yang dua itu, iaitu ‘ilmu wa al-kalam (pengetahuan dan pertuturan).” 
Berdasarkan kepada falsafah dan pegangan demikian terhadap peranan dan kedudukan bahasa dalam usaha melahirkan seorang manusia Melayu yang beradab sopan, berakal dan berbudi bahasa yang mulia, dan berilmu tinggi, maka Raja Ali Haji menghasilkan karya Bustan al-Katibin ini. Mengikut Raja Ali Haji, keturunan dan pangkat yang tinggi tanpa ilmu yang sahih, akal budi yang luhur, dan adab sopan yang mulia, menjadi sia-sia belaka. Oleh hal yang demikian, dalam bahagian Mukadimah Bustan Al-Katibin, beliau telah menerangkan dahulu kelebihan-kelebihan ilmu dan akal untuk meletakkan perspektif dan tujuan sebenar dalam pembelajaran bahasa. Ilmu yang paling penting dan pertama yang harus dipelajari oleh orang Islam ialah ilmu agama Islam.
            Oleh itu, semasa beliau menghuraikan tentang bahasa Melayu, terlebih dahulu beliau telah menghuraikan secara terperinci adab dan syarat menuntut ilmu, iaitu merupakan asas kepada psikologi pendidikan yang mampu melahirkan seorang Melayu yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi juga boleh bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan yang mulia. Penyemaian adab dalam diri seseorang merupakan proses pendidikan yang dapat membawa kepada disiplin jasad, akal dan unsur kerohaniannya yang seterusnya akan membolehkan seseorang itu mencari, memperoleh, dan mengamalkan ilmu yang benar.
Falsafah dalam Bustan Al-Katibin
Ilmu pengetahuan tentang kewujudan Allah S.W.T sebenarnya berkait rapat dan langsung dengan ikrar seorang Muslim dalam kalimah syahadahnya iaitu:
                        “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah”
Oleh itu bagi Raja Ali Haji, ilmu yang utama dan wajib dipelajari ialah ilmu  tentang Allah S.W.T. Matlamat utama dalam pengajian dan pembelajaran bahasa bukan sahaja mengetahui binaan bahasa, bunyi dan ejaannya, perkataan, kosa kata, binaan ayat, klausa dan sebagainya malah lebih daripada itu iaitu mempelajari cara untuk menggunakan bahasa supaya tercapai ilmu yang benar bagi membimbing manusia ke arah keredhaan Allah.
            Di dalam kitab ini juga, Raja Ali Haji mengatakan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa umat Islam terulung di Asia Tenggara. Melalui kitab ini, beliau dapat mewujudkan penghuraian tentang bahasa Melayu yang tepat, padat, ringkas, dan rapi dari segi ejaan dan tata bahasanya yang mewakili sistem medan makna yang diberikan takrif yang jelas berdasarkan autoriti al-Quran dan al-Hadith.
            Berdasarkan kepada pandangan dan hujahan beliau di dalam bukunya, jelaslah bahawa pandangan Raja Ali Haji tentang pengajian, penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu berkait rapat dengan pandangan sejagat beliau sebagai orang Melayu Islam yang melihat hakikat kewujudan dan kejadian alam semesta dan manusia di dalam lingkungan Tuhan.
            Raja Ali Haji dalam kitabnya turut menerangkan kaedah menulis surat kiriman rasmi yang telah menjadi salah satu daripada budaya atau adab orang Melayu Islam. Surat kiriman ini mengukuhkan dan mengesahkan lagi darjat dan martabat ilmu yang membawa kepada kesahihan dan kebenaran ilmu dalam Islam. Beliau dalam tulisannya menerangkan kaedah menulis surat seperti di bawah:

Bermula perkataan pada surat perkiriman itu, maka hendaklah dimulai dengan bismillahirrahman nirrahim dan kemudian Alhamdulillah iaitu memuji-muji Allah Ta’ala mana yang munasabah dan waqi’…kemudian selawatkan Nabi kita serta keluarganya dan sahabatnya, dan kemudian baharulah diiringi dengan salam ta’zim…pada orang-orang yang berkirim dan orang yang dikirim.