Tuesday, 29 April 2014

Nilai Melayu

Nilai Melayu dalam Karya Agung Bugis I La Galigo

Sinopsis La Galigo
Epik La Galigo dimulakan dengan penciptaan dunia. Ketika dunia ini kosong (merujuk kepada Sulawesi Selatan), Raja Di Langit, La Patiganna, mengadakan suatu perbicangan keluarga daripada beberapa kerajaan termasuklah Senrijawa dan Peretiwi dari alam ghaib. Dalam mesyuarat ini, mereka sepakat untuk melantik anak lelakinya yang tertua, La Toge’ langi’ menjadi Raja Alekawa (Bumi) dan memakai gelaran Batara Guru. La Toge’ langi’ kemudiannya berkahwin dengan sepupunya, We Nyili’timo yang merupakan anak kepada Guru ri Selleng, Raja alam ghaib. Namun begitu, sebelum Batara Guru diisytiharkan sebagai raja di bumi, beliau perlu melalui suatu tempoh ujian selama 40 hari 40 malam. Tidak lama kemudiannya, beliau turun ke bumi, dikatakan turun di Ussu’, sebuah daerah di Luwu’ dan terletak di Teluk Bone. Pengganti Batara Guru iaitu La Tiuleng, anak kepada Batara Guru kemudiannya menjadi pengganti beliau dengan gelaran Batara Lattu’. Beliau kemudiannya memperoleh dua orang anak kembar iaitu Lawe atau La Ma’dukelleng atau Sawerigading (Putera Ware’) dan kembarnya, seorang anak perempuan bernama We Tenriyabeng. Kedua-dua kembar itu tidak membesar bersama. Sawerigading pada mulanya menganggap We Tenriyabeng tidak mempunyai hubungan darah dengannya, ingin berkahwin dengannya. Tetapi disebabkan ini adalah suatu larangan, beliau meninggalkan Luwu’ dengan menuju ke Cina dan bersumpah tidak akan kembali. Dalam perjalanannya ke Cina, beliau diserang dan telah berjaya mengalahkan beberapa pahlawan termasuklah pemerintah Jawa Wolio iaitu Setia Bonga. Di Cina, beliau mengahwini Datu Cina iaitu We Cudai.
Sawerigading dalam La Galigo digambarkan sebagai seorang kapten kapal yang gagah dan beliau pernah melawati beberapa tempat seperto Taranate (Ternate di Maluku), Gima (Bima atau Sumbawa), Jawa Rilau’ dan Jawa Ritengnga (mungkin Jawa Timur dan Tengah), Sunra Rilau’ dan Sunra Riaja (mungkin Sunda Timur dan Sunda Barat) dan Melaka. Beliau juga dikhabarkan oleh masyarakat Bugis, melawat syurga dan alam ghaib. Pengikut-pengikutnya terdiri daripada saudara-mara dari serata rantau dan rombongannya sering didahului oleh kehadiran tetamu yang luar biasa seperti orang bunian, orang berkulit hitam dan orang berambut di dada.
Menjadi manusia atau penghuni Dunia Tengah, adalah saat yang paling menyulitkan dalam riwayat hidup Batara Guru. Hal ini membawa erti bahawa beliau kehilangan hak-hak istimewanya sebagai seorang dewa, sebagai putera sulung dan pangeran mahkota dari Sang Penentu Nasib yang menguasai seisi alam. Namun begitu, ketahanan Batara Guru menjalani nasibnya sebagai manusia pertama di bumi yang kosong, akhirnya memberi pulangan yang sangat indah sehingga hasratnya untuk kembali ke langit dilupakan. Hal ini juga bermakna, hasratnya untuk kembali menjadi dewa dan menikmati keistimewaan yang pernah menjadi miliknya dilupakan sama sekali. Pada akhir kisah panjang ini, Batara Guru kembali juga ke langit dan menggantikan kedudukan Patotoqe’ sebagai penguasa tertinggi. Namun begitu, hal ini terjadi setelah empat generasi keturunan Batara Guru sudah menjelajah ke seluruh dunia, Bumi dipenuhi dengan manusia dan keturunan para dewa sudah berpindah naik ke Kayangan dan ada yang kekal di Bumi. Episod akhir Sureq Galigo memperlihatkan perkahwinan Dunia Atas dan Dunia Bawah untuk melahirkan penghuni Dunia Tengah, diwarnai dengan penyatuan keluarga besar anak cucu Batara Guru. Mereka yang tersebar sampai ke Cina, yang menetap di Langit dan Dunia Bawah Tanah, kesemuanya datang berkumpul. Sawerigading yang berjaya memenuhi Bumi dengan kelahiran anak cucunya tidak lagi dikutuk jika kembali ke tanah asalnya. Patotoqe’ kemudiannya menutup pintu langit dan tidak lagi dibuka untuk manusia. Dengan ini, terputuslah hubungan antara langit dan dunia. Dengan selesainya misi menyebarkan manusia dan memenuhi dunia dengan kehidupan, maka dianggap lengkaplah kisah Sureq Galigo.


Nilai Melayu Dalam La Galigo
Nilai Budaya
Naskhah La Galigo mengandungi beberapa nilai budaya yang telah menjadi pegangan zaman-berzaman bagi masyarakat Melayu Bugis. Nilai budaya ini berkaitan langsung dengan hukum adat yang mesti dipertahankan. Nilai budaya yang pertama dapat dilihat dalam epos La Galigo melalui perbuatan watak utama iaitu Sawerigading yang terpaksa berangkat keluar dari negeri kelahirannya menuju ke Cina. Sawerigading dikatakan telah dibesarkan secara terpisah dengan saudara kembar perempuannya. Apabila sudah dewasa, dia kembali bertemu dan akhirnya jatuh cinta kepada saudaranya sendiri. Apabila perasaan cintanya diketahui oleh orang ramai, beliau telah dinasihatkan oleh para pembesar supaya keinginannya untuk mengahwini saudara perempuannya, We Tenriabeng dilupakan. Sebagai seorang yang menghormati adat dalam masyarakat, dia patuh kepada undang-undang yang tidak membenarkan perkahwinan sesama adik-beradik. Kepatuhannya terhadap adat didorong oleh tegahan daripada masyarakat istana dan rakyat jelata untuk mengelakkan incest atau malapetaka menimpa. Atas saranan We Tenriabeng, Sawerigading telah memperisterikan We Cudaiq yang kecantikannya setanding dengan keayuan We Tenriabeng. Sebelum keberangkatan Sawerigading ke Cina, dia telah berjanji akan mengahwini Sawerigading sekiranya We Cudaiq tidak dapat mencuri hati saudara lelakinya itu. Dalam hal ini, ternyata We Tenriabeng seorang yang bijak kerana telah mencari seorang perempuan secantik dirinya untuk dikahwini oleh Sawerigading.
            Selain itu, nilai budaya yang terakam dalam La Galigo ialah amalan menyabung ayam yang masih lagi menjadi hiburan utama bagi masyarakat Bugis. Masyarakat yang digambarkan dalam La Galigo amat memandang tinggi kejaguhan seseorang di gelanggang sabung ayam. Dalam persabungan ayam di Cina sewaktu perlawanan sedang berlangsung, We Cudaiq menyaksikan kegagahan dan ketampanan sosok  I La Galigo sehingga menimbulkan perasaan ingin tahu dalam hatinya tentang asal usul I La Galigo. Dengan ditemani ayahnya Sawerigading yang pernah berkali-kali ditolak pinangannya oleh We Cudaiq, I La Galigo melangkah masuk ke dalam gelanggang dengan yakin. Pada masa yang sama, pertemuan antara Sawerigading dan We Cudaiq adalah sesuatu peristiwa yang mengharukan kerana melibatkan dua orang yang terpisah jauh. Sawerigading adalah lelaki yang amat dicintai oleh We Cudaiq meskipun pinangannya banyak kali ditolak. Perasaan We Cudaiq ternyata tidak silap kerana Sawerigading sememangnya suaminya manakala I La Galigo adalah anak mereka. Malangnya, nasib yang diterima oleh I La Galigo amat buruk semasa zaman kecilnya kerana setelah lahir, dia telah dibuang ke dalam laut supaya dimakan ikan.
            La Galigo juga memaparkan nilai budaya menghormati tetamu di dalam naskhahnya. Nilai ini dapat dilihat melalui sebuah nasihat yang diberikan oleh Sawerigading kepada anaknya, I La Galigo sebelum perlawanan sabung ayam berlangsung. Sawerigading telah berpesan kepada anaknya supaya menghormati tetamu seperti datu dan tidak memandang enteng orang lain. Malangnya nasihat yang diberikan oleh Sawerigading telah diingkari oleh anaknya. Pada hari pertarungan, semua penonton memenuhi serambi dan jendela istana untuk menyaksikan pertarungan. Sejumlah ayam ditampilkan berlaga dalam penyabungan tetapi semua ayam orang Cina menggelepar mati. Sabungan yang terakhir telah menemukan ayam I La Galigo dengan ayam Karaeng Tompoq yang digelar Sikuriq Linglung Ceppaga Sinting. Dalam pertarungan tersebut, ayam I La Galigo putus terlempar dan serta merta I La Galigo menangkap dan menyembelih kepala ayam Karaeng Tompoq. Peristiwa ini telah menimbulkan perang antara kedua-dua pihak. Tanpa disedari, Karaeng Tompoq Daeng Malino merupakan isteri La Galigo sendiri. Setelah perang selesai, diadakan pesta dengan menjemput semua penduduk di bumi menghadirinya. Peristiwa tersebut jelas menunjukkan sikap I La Galigo yang tidak boleh menerima kekalahan dalam perlawanan sabung ayam sehingga sanggup melakukan kekasaran terhadap lawannya.

 Nilai Agama
Orang Bugis telah menganut agama Islam menjelang abad ke-16  apabila Islam telah diwartakan sebagai agama rasmi kerajaan Bugis atau Makassar. Islam tersebar ke Makassar melalui unsur kebudayaan yang sangat mudah meresap ke dalam kehidupan masyarakat Bugis. Hal ini adalah disebabkan ajaran Islam yang universal dan sesuai diamalkan sepanjang zaman. Walaubagaimanapun, terdapat sisa kepercayaan dan tradisi bersumberkan elemen pra-Islam yang masih diamalkan seperti Bissu dan kitab La Galigo yang dianggap suci oleh mereka. Dalam hal ini, pelbagai ajaran Islam dan Bugis yang menyelitkan jiwa dan unsur yang sama telah diaplikasikan dan didialogkan bagi menyerlahkan sisi kebudayaan Islam dengan wajah Bugis, atau kebudayaan Bugis dengan wajah Islam.
            La Galigo memberikan pengaruh yang kuat terhadap kepercayaan masyarakat Bugis. Hal ini dapat dilihat melalui doa yang dibaca oleh Bissu yang menyebut Patotoqe sebagai Dewata Seuawae (dewata yang tunggal) yang diambil daripada konsep Allah Yang Maha Esa, meskipun dalam La Galigo, Dewa tidak tunggal sebaliknya beranak-pinak dan diperanakkan. Konsep siriq juga dapat dilihat dalam naskhah La Galigo. Konsep ini kemudiannya disesuaikan dengan konsep jihad. Pada akhirnya, sistem Pangngaderreng yang menjadi falsafah hidup orang Bugis dikukuhkan melalui Islam.
            Menurut Nurhayati Rahman (2008), terdapat lima unsur yang saling mengukuhkan konsep Pangngaderreng iaitu:
            1. wariq (sistem protokol kerajaan)
            2. adeq (adat-istiadat)
            3. bicara (sistem hukum)
            4. rapang (pengambilan keputusan berdasarkan perbandingan
            5. saraq (syariat Islam)
Empat unsur yang utama dijalankan oleh Pampawa Adeq (pelaksana adat), manakala yang terakhir di bawah tanggungjawab Parewa Saraq (pelaksana syariat).
Dalam struktur kehidupan beragama masyarakat Bugis, terdapat tiga penggolongan yang boleh dilakukan iaitu:
1. Penganut Islam militan yang mengikuti syariat Islam secara konsisten dan benar.
2. Penganut Islam yang konsisten melaksanakan syariat Islam, tetapi pada masa yang sama masih menjalankan amalan yang berkaitan dengan ajaran lama mereka.
3. Penganut agama To ri olo (To Lotang, To Kajang, Toraja yang terbahagi kepada dua iaitu penganut Islam yang masih melaksanakan ajaran nenek moyang mereka dan membataskan pelaksanaan syariat Islam untuk upacara kematian sahaja. Selain itu, terdapat juga penganut To Ri Olo murni yang kemudiannya diterima sebagai agama Hindu.

Dalam La Galigo juga terdapat nilai agama yang ditampilkan melalui watak Sawerigading yang menjadi tumpuan dalam cerita. Setelah Sawerigading mengahwini  So Da 1 di Cina, dia bersama anaknya, La Galigo telah berkunjung ke Mekah untuk mencari berkat dan menetap di sana. Sekembalinya dari Mekah dan menetap di Tompoq Tikkaq, Sawerigading juga telah mencadangkan kepada  masyarakat supaya membangunkan tempat ibadah tersebut yang dikenali sebagai Masigi. Hal ini menunjukkan penerapan nilai agama yang wujud dalam naskhah La Galigo melalui watak dan perwatakan Sawerigading.

Monday, 28 April 2014

Falsafah Melayu

Falsafah dalam Karya Bustan al-Katibin

Raja Ali Haji merupakan penulis berbakat pada zamannya. Sumbangan beliau dalam bidang bahasa persuratan, sejarah dan agama telah menjadi bahan kajian sarjana dan orientalis. Antara beberapa karya beliau yang penting ialah sebuah karya berjudul Bustanul-Katibin Lissubyanil, Muta’alimi atau dalam bahasa Melayu, Kitab Perkebunan Jurutulis bagi kanak-kanak yang baru hendak mempelajarinya. Hasilnya merupakan karya kritis mengenai nahu bahasa Melayu. Buku ini dikarang oleh beliau pada 20 Syaaban 1273 bersamaan 15 April 1857. Buku ini diusahakan dengan menggunakan cap batu di Penyegat. Karya ini diulas dan diterjemahkan ke dalam bahasa Belanda oleh Van Ronkel dalam Tijdschrift Voor Indische Taal Land.en Volkenkunde pada tahun 1901.
            Buku yang terdiri daripada 10 pasal utama ini dimulai dengan sebuah huraian mukadimah yang menjelaskan tentang kaitan antara bahasa dengan adat, adab, dan budi pekerti. Selain itu, tajuk pemikiran Raja Ali Haji dalam mukadimah berkisar seputar fadhilat (keutamaan) ilmu dan akal untuk menjaga dan meningkatkan kualiti moral dan menjadi insan Kamil sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah. Dalam mukadimah, Raja Ali Haji juga mensyaratkan kepada pembaca dalam memahami buku ini untuk memiliki lima perkara iaitu Al-Himmah (kesungguhan), Al- Mudarasah (analisi), Al-Muhafazah (penghafalan). Al-Mudzakarah (kajian lebih lanjut) dan Al-Muthala’ah (kajian lebih mendalam). Sepuluh pasal yang disusun oleh Raja Ali Haji dalam kitab ini berisi kaedah, prinsip, dan tata cara penulisan bahasa Melayu dalam aksara Jawi yang disesuaikan dengan tatabahasa (Nahu dan Saraf) dalam bahasa Arab.
            Bustanul al-Katibin diakui sebagai karya awal mengenai tatabahasa bahasa Melayu yang dihasilkan oleh pengarang dari Nusantara sehingga membolehkan pembaca mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada peringkat awal pembinaannya lagi. Tujuan Raja Ali Haji menghasilkan kitab ini adalah untuk menyebarkan ilmu bahasa dan ilmu tulisan, menghasilkan buku tatabahasa bahasa Melayu serta menerapkan hukum bahasa. Bustan al-Katibin juga mengandungi perbincangan kepentingan mempelajari bahasa dan huraiannya dalam konteks tatabahasa luas dan mendalam.
            Kitab terbabit turut mengandungi perbincangan mengenai aspek ilmu yang terkandung dalam bahasa Melayu, selain pengajaran Raja Ali Haji dalam ilmu dan akal yang bukan sahaja sesuai untuk pembacaan pada zamannya, bahkan masih lagi bermanfaat untuk diketahui serta dikaji oleh sarjana dan pembaca kini. Raja Ali Haji turut mengemukakan 10 adab berguru yang wajar dijadikan ikutan dan teladan kepada pelajar, sekali gus dianggap menjadi peringatan yang berguna kepada mereka yang sedang menuntut ilmu.
             Dalam Islam, pengajian bahasa khususnya bahasa Arab dan bahasa penganut Islam lain, merupakan ilmu alat untuk mencapai makrifat, iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan, memperteguh keimanan dan ketakwaan, dan menyemai adab kesopanan yang mulia, yang mengandungi antara lain ilmu-ilmu nahu (sintaksis), saraf (morfologi), qawa’id (tatabahasa), mantiq (logik), balaghah (retorik), istidlal (pendalilan), kalam (penghujahan) dan sebagainya. Raja Ali Haji dalam buku beliau telah meletakkan tradisi pengajian bahasa Melayu berdasarkan maksud dan matlamat pengajian bahasa yang digariskan oleh tradisi pengajian Islam.
            Raja Ali Haji dengan lantang dan jelas menyatakan bahawa terdapat perkaitan yang erat antara kebolehan berbahasa dan adab sopan yang mulia dengan ilmu yang tinggi. Tegas beliau dalam Bustan al-Katibin (halaman 3) :
“…adab dan sopan itu daripada tutur kata juga asalnya, kemudian baharulah pada kelakuan. Bermula apabila berkehendak kepada menunturkan ‘ilmu atau berkata-kata yang beradab dan sopan, tak dapat tiada mengetahuilah dahulu ‘ilmu yang dua itu, iaitu ‘ilmu wa al-kalam (pengetahuan dan pertuturan).” 
Berdasarkan kepada falsafah dan pegangan demikian terhadap peranan dan kedudukan bahasa dalam usaha melahirkan seorang manusia Melayu yang beradab sopan, berakal dan berbudi bahasa yang mulia, dan berilmu tinggi, maka Raja Ali Haji menghasilkan karya Bustan al-Katibin ini. Mengikut Raja Ali Haji, keturunan dan pangkat yang tinggi tanpa ilmu yang sahih, akal budi yang luhur, dan adab sopan yang mulia, menjadi sia-sia belaka. Oleh hal yang demikian, dalam bahagian Mukadimah Bustan Al-Katibin, beliau telah menerangkan dahulu kelebihan-kelebihan ilmu dan akal untuk meletakkan perspektif dan tujuan sebenar dalam pembelajaran bahasa. Ilmu yang paling penting dan pertama yang harus dipelajari oleh orang Islam ialah ilmu agama Islam.
            Oleh itu, semasa beliau menghuraikan tentang bahasa Melayu, terlebih dahulu beliau telah menghuraikan secara terperinci adab dan syarat menuntut ilmu, iaitu merupakan asas kepada psikologi pendidikan yang mampu melahirkan seorang Melayu yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi juga boleh bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan yang mulia. Penyemaian adab dalam diri seseorang merupakan proses pendidikan yang dapat membawa kepada disiplin jasad, akal dan unsur kerohaniannya yang seterusnya akan membolehkan seseorang itu mencari, memperoleh, dan mengamalkan ilmu yang benar.
Falsafah dalam Bustan Al-Katibin
Ilmu pengetahuan tentang kewujudan Allah S.W.T sebenarnya berkait rapat dan langsung dengan ikrar seorang Muslim dalam kalimah syahadahnya iaitu:
                        “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah”
Oleh itu bagi Raja Ali Haji, ilmu yang utama dan wajib dipelajari ialah ilmu  tentang Allah S.W.T. Matlamat utama dalam pengajian dan pembelajaran bahasa bukan sahaja mengetahui binaan bahasa, bunyi dan ejaannya, perkataan, kosa kata, binaan ayat, klausa dan sebagainya malah lebih daripada itu iaitu mempelajari cara untuk menggunakan bahasa supaya tercapai ilmu yang benar bagi membimbing manusia ke arah keredhaan Allah.
            Di dalam kitab ini juga, Raja Ali Haji mengatakan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa umat Islam terulung di Asia Tenggara. Melalui kitab ini, beliau dapat mewujudkan penghuraian tentang bahasa Melayu yang tepat, padat, ringkas, dan rapi dari segi ejaan dan tata bahasanya yang mewakili sistem medan makna yang diberikan takrif yang jelas berdasarkan autoriti al-Quran dan al-Hadith.
            Berdasarkan kepada pandangan dan hujahan beliau di dalam bukunya, jelaslah bahawa pandangan Raja Ali Haji tentang pengajian, penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu berkait rapat dengan pandangan sejagat beliau sebagai orang Melayu Islam yang melihat hakikat kewujudan dan kejadian alam semesta dan manusia di dalam lingkungan Tuhan.
            Raja Ali Haji dalam kitabnya turut menerangkan kaedah menulis surat kiriman rasmi yang telah menjadi salah satu daripada budaya atau adab orang Melayu Islam. Surat kiriman ini mengukuhkan dan mengesahkan lagi darjat dan martabat ilmu yang membawa kepada kesahihan dan kebenaran ilmu dalam Islam. Beliau dalam tulisannya menerangkan kaedah menulis surat seperti di bawah:

Bermula perkataan pada surat perkiriman itu, maka hendaklah dimulai dengan bismillahirrahman nirrahim dan kemudian Alhamdulillah iaitu memuji-muji Allah Ta’ala mana yang munasabah dan waqi’…kemudian selawatkan Nabi kita serta keluarganya dan sahabatnya, dan kemudian baharulah diiringi dengan salam ta’zim…pada orang-orang yang berkirim dan orang yang dikirim.

Ulasan Karya Agung

Bahasa Melayu Klasik- Hikayat Abdullah
1.0 PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan
Zaman pengunaan bahasa Melayu Klasik melingkungi zaman antara abad ke – 14 hingga abad ke – 19 Masihi. Zaman permulaannya ditandai dengan prasasti Terengganu ( Batu Besurat Terengganu ) yang bertarikh pada 702 H. bersamaan dengan tahun 1303 M. Zaman bahasa Melayu klasik menempuh kemajuan yang pesat berbanding dengan zaman bahasa Melayu kuno. Pada masa ini perkembangan ilmu pengetahuan dan kegiatan intelektual dalam bahasa Melayu mencapai tahap yang tinggi. Pada akhir abad yang ke-16 M, umpamanya, sudah lahir hasil-hasil karya falsafah tasawwuf dalam bahasa Melayu. Bahkan pada awal abad ilmu-ilmu agama yang lain khususnya seperti polemik yang dilakukan oleh Hamzah Fansuri, Syamsudin Pasai, Nurudin Al-Raniri dan Abdul Rauf Singkel. Kelahiran hasil-hasil karya yang bersifat intelektual ini berpunca daripada pengaruh Islam yang meresap ke dalam bahasa dan budaya Melayu.

Banyak hasil karya yang berbahasa Melayu yang bersifat falsafah dan agama setelah wujud pengaruh Islam. Dari sejak itu perkembangan ilmu pengetahuan terutama tentang agama dan pentadbiran begitu pesat berkembang dalam bahasa Melayu. Lantara itulah maka bahasa Melayu telah menjadi bahasa utama di Asia Tenggara untuk urusan pengembangan agama Islam bahkan ia menjadi salah satu di antara enam bahasa dunia Islam iaitu Arab, Farsi, Turki, Inggeris dan Hindi.

1.2 Definisi Bahasa Melayu Klasik Mengikut Pendapat Sarjana

Istilah Klasik merangkumi makna lama, tradisional dan klasik itu sendiri. Menurut Holman :
…. Belonging to established tradition; used especially to designate the Literature or culture of Greece and Roman or later literature which partakes of its qualities … it may mean literature that has gained a lasting recognition, or it may mean literature that exhibits the qualities of classicism. When it is used to describe the attributes of a literary work it usually impies objectivity in the choice and handling of the theme, simplicity of style, clarity, restraint, and formal structure.
      ( Holman, 1972: 99 )
1.3 Ciri-ciri Bahasa Melayu Klasik

Terdapat beberapa ciri khusus bahasa Melayu klasik. Antaranya adalah seperti berikut ;
 Menggunakan tulisan Jawi. Tulisan atau aksara ini dipinjamÜ
daripada bahasa Arab, kemudian ditambah dengan huruf baru seperti pa ( ف), nga ( غ ), ga ( ک ), nya ( ث ) dan ca ( چ ).

 Bahasa Melayu klasik telah menerima beberapa fonem Arab : kh (Ü  ) seperti Khamis, Z (  ) seperti pada zakat, Sy (  ) seperti pada syarat dan lain-lain.

 Bahasa Melayu klasik telah menerima pelbagai jenis kosa kata Arab dan Parsi dalam pelbagai bidang bahasa seperti dalam bidang ilmu kegamaan, undang-undang, kesusasteraan, pemerintahan dan pentadbiran, perubatan, falsafah, tasawuf dan kata-kata umum unstuk bahasa umum.Ü

 Sebelum wujud sistem ejaan Jawi pengaruh Melayu, sistem ejaan Arab yang digunakan itu dengan menggunakan tanda-tanda baris. Contohnya seperti;Ü
( maka ) ﻣَﮓ
( dia ) ِﺩﻱَ

Kemudian tanda-tanda baris itu dihilangkan menjadi;
( maka ) ﻣﮏ
)dia ) ﺪﻱ

Setelah itu baru timbul sistem ejaan pengaruh Melayu. Sistem ini mengandungi dua tahap. Tahap pertama dengan membubuh huruf saksi ( vokal) dan tahap kedua dengan membubuh huruf saksi ( vokal ) pada kedua-dua suku kata.

 Frasa dan ayat pengaruh Arab terutamanya dalam kitab-kitab klasik Melayu seperti frasa “ Ketahuilah olehmu” atau pada ayat “ Sunat berbuka atas tamar” dan lain-lain. Frasa dan ayat bentuk ini wujud hasil daripada terjemahan harfih daripada teks-teks bahasa Arab.Ü

 Unsur-unsur falsafah Islam wujud dalam beberapa banyak tulisan Melayu seperti dalam bidang Ilmu Kalam, Tasawuf, Ilmu Aqa’id al-Iman dan lain-lain. Ini berbeza dengn bahasa Melayu zaman kuno atau Hindu.Ü

 Beberapa genre sastera Islam mula meresap ke dalam bahasa Melayu seperti syair, nazam, ruba’i, tasmil, ibarat dan lain-lain.Ü

 PÜengaruh kesusteraan Islam terutamanya dari Arab dan Farsi banyak didapati dalam zaman bahasa Melayu klasik seperti cerita-cerita Nabi dan para sahabat, sastera agama, sastera sejarah, sastera undang-undang dan pemerintahan dan lain-lain.

1.5 Peranan Bahasa Melayu Klasik

Selain daripada mempunyai ciri-ciri tertentu seperti di atas bahasa Melayu Klasik juga memberi sumbagan pada zaman kegemilangannya. Antaranya ialah;

i. Kebudayaan
- untuk memperkembangkan sesuatu kebudayaan yang
dimiliki oleh sesuatu bangsa.
ii. Peranan Kemasyarakatan
- sebagai lambang jati diri bangsa dan sebagai alat penyatuan sesuatu bangsa atau kaum.
iii. Pendidikan
- sebagai alat untuk pengajaran, panduan dan tatacara.
- sebagai alat untuk menyebarkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang agama, kesusesteraan dan perundangan.

2.0 KARYA YANG DIPILIH DAN BIODATA PENULISNYA.
2.1 Hikayat Abdullah

Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi dapat dianggap sebagai bapa kesusasteraan Melayu moden, berdasarkan karya-karyanya yang terkenal, iaitu Syair Singapura Terbakar (1830), Kisah Pelayaran Abdullah, Hikayat Abdullah (1849), Dewa-ul-kulub (1883), dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Judah (1920). Beliau membawa perubahan dalam tema, plot, latar cerita, dan sudut pandangan, yang ketara perbezaannya dengan karya-karya sastera sebelumnya, walaupun masih dalam gaya bahasa lama.

Abdullah dilahirkan pada tahun 1796 di kampong Pali, Melaka daripada keluarga India Muslim keturunan Arab. Sejak kecil lagi “ Munsyi” ini memperlihatkan keistimewaannya sebagai pelajar yang bijak dan gigih mencari ilmu. Beliau mempunyai minat yang mendalam mempelajari pelbagai bahasa selain bahasa Melayu. Beliau dilantik menjadi jurutulis dan penterjemah kepada Raffles dan pembesar-pembesar Inggeris, menyebabkan hubungannya begitu rapat dan mesra dengan orang-orang Inggeris. Keadaan ini mempengaruhi pemikiran dan tindakannya.

Abdullah seorang pemerhati yang teliti terhadap keadaan zamannya. Kritikannya kepada orang Melayu melalui karya-karyanya terasa sangat pedas. Beliau begitu lantang mengkritik sikap raja-raja Melayu. Beliau mencuba membuka pemikiran orang Melayu ke arah kebaikan dan kemajuan secara membandingkannya dengan orang Inggeris. Sikap berat sebelah inilah yang sering dipersoalkan dalam perbincangan mengenai ketokohannya.

Abdullah Munsyi meninggal dunia di Jeddah pada tahun 1854 dalam perjalanannya menunai fardhu haji.

3.0 ANALISIS KANDUNGAN KARYA [ASPEK BUDAYA DAN KEMASYARAKATAN

Karangan Abdullah jauh berbeza dengan karangan orang yang terdahulu daripadanya atau sezaman dengannya seperti Thufata’n-Nafis (1865) karangan Raja Ali Haji yang berkisar tentang raja-raja.
Pendeta Za’ba dalam karangannya “ Moden Development” menyatakan bahawa “ kesusasteraan Melayu moden bermula dengan Abdullah bin Abdul Kadir” ( Hassan, 1988:236). Kenyataan ini didasarkan daripada karya-karya Abdullah yang tidak lagi menulis tentang dongeng, alam ghaib dan ajaib. Gagasan utama dalam karya-karyanya ditimba daripada pengamatan, pengalaman dan pengetahuan. Dengan pemikiran yang kritis semuanya diolah hingga menjadi karya autobiografi yang penting. Karyanya dicipta sendiri untuk dinikmati oleh masyarakat. Ini adalah ciri sastera baru yang bersifat individualistik.
Dalam karya autobiografinya memang terlihat ciri-ciri sastera moden seperti intelek, emosi, imiginasi, dan teknik. Sehubungan dengan itu Zuber Usman (1966:9) menyebut;

“Abdullah ialah pemgarang Melayu yang mula-mula keluar dari kebiasaan lama, yang melanggar dan memetahkan tradisi yang sudah turun-temurun, yang memelingkan penanya dari menceritakan kisah-kisah yang ghaib-ghaib atau khayal ke dunia kenyataan.”

Sesebuah karya bukan hanya sebagai bahan hiburan, tetapi juga sebagai bahan untuk pembaca merenung dan memikir serta mendapatkan panduan dan pengetahuan daripadanya. Pemikiran yang menyentuh soal-soal masyarakat, agama, politik, ekonomi dan moral ditimbulkan dan karya-karya Abdullah Munsyi banyak menyentuh hal-hal tersebut. Contohnya pada halaman 119 Hikayat Abdullah yang menjelaskan sikap masyarakat Melayu terhadap bahasa Inggeris pada waktu itu;

Bermula maka adalah telah berpuluh-puluh kali aku ini disuruhkan oleh tuan-tuan itu memanggil dan mencari anak-anak Melayu, supaya boleh ia belajar dan mengetahui membaca dan menulis, baik bahasa Melayu baik bahasa Inggeris, maka oleh sebab bodohnya dan sangka mereka itu nanti dimasukkan Inggeris, tiadalah ia mau datang, kerana fikiran mereka itu, dengan kekerasan nanti ditangkap dimasukkan Inggeris: maka beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu, serta memberitahu aku mereka itu, “Bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang kedalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka; melainkan supaya kamu boleh belajar dan mengetahui bahasa kamu dan bahasa Inggeris kelak, nanti dibelakang bnyak gunanya.”

Selain daripada contoh diatas dalam buku yang sama halaman 348, Abdullah membuat kesimpulan bahawa adat yang diamalkan orang Melayu dikatakan tidak cerdik dan tidak menambah ilmu kerana tidak mahu membuang karut-marut.
Berbeza dengan adat-adat yang diamalkan orang-orang bukan Melayu yang ditemui semasa belayar ke Judah. Dia hanya menyebut adapt itu tanpa memberi sebarang kritikan. Seperti kebiasaan yang dilihatnya (Kassim, (peny.) 1960):

Maka adalah yang pertama menjadikan ajaib kepadaku sebab melihatkan adap orang dalam negeri itu, tiadalah menjadi aib bagi mereka itu segala perampuan beratus-ratus dan beribu-ribu semuanya bertelanjang, yakni dengan tiada memakai baju sekali-kali, kuntal-kantil sahaja susunya, baik yang muda yang tua; iaitu semuanya perampuan Hindu.

Dia tidak mengkritik perbuatan tersebut, hanya menceritakan apa yang dilihatnya. Dalam buku yang sama pada halaman 141 pula disebutkan;

Maka adalah adat negeri itu terlalu aib, iaitu tiada berjamban; semua orang pergi buang air ketepi laut berbnjar-banjar duduk dengan tiada bermalu seorang dengan seorang.


Abdullah membuat sedikit ulasan bahawa adat ini sesuatu yang aib dan memalukan. Walaupun persoalan mengutuk dan menganggap bodoh adat dan kepercayaan orang Melayu tidak banyak dikemukakan tetapi ia memberi kesan yang jelas kepada pembaca.

Tidak dapat dinafikan bahawa kemajuan-kemajuan barat telah meresap ke dalam diri Abdullah lantas membuatkan dia mencela budaya Melayu. Oleh itu dalam karyanya perbandingan antara timur dan barat adalah menjadi persoalan yang penting dan secara tidak lansung mendedahkan kemunduran-kemunduran orang-orang Melayu, antara lain disebabkan oleh kepercayaan dan budaya yang terdapat dalam masyarakat Melayu itu sendiri.

4.0 ASPEK BAHASA DAN TULISAN
i. Jenis Aksara

Dalam memperkatakan bahasa Melayu Klasik ini tidak dapat seseorang itu mengimbas kembali teks Melayu lama yang tertulis dalam bentuk puisi, prosa, surat perdagangan, surat perjanjian, batu bersurat, batu nisan dan sebagainya. Dalam melihat pada sudut aksara dan sistem ejaan yang digunakan dalam penulisan karya Hikayat Abdullah pengkaji hanya dapat berpegang kepada ciri-ciri khusus bahasa Melayu klasik iaitu menggunakan tulisan Jawi. Tulisan atau aksara ini dipinjam daripada bahasa Arab, kemudian ditambah dengan huruf baru seperti pa ( ف), nga ( غ ), ga ( ک ), nya ( ث ) dan ca ( چ ).Ini beerti tulisan tersebut mesih dalam bentuk asalnya dengan menggunakan tulisan dan sistem ejaan Jawi. Berikut adalah beberapa contoh aksara yang digunakan dalam penulisan karya Hikayat Abdullah.

ii. Sistem Ejaan

Sebelum wujud sistem ejaan Jawi pengaruh Melayu, sistem ejaan Arab yang digunakan itu dengan menggunakan tanda-tanda baris. Contohnya seperti;
( maka) ﻣَﮓ
( dia ) ِﺩﻱَ
Kemudian tanda-tanda baris itu dihilangkan menjadi;
( maka ) ﻣﮏ
)dia ) ﺪﻱ
Setelah itu baru timbul sistem ejaan pengaruh Melayu. Sistem ini mengandungi dua tahap. Tahap pertama dengan membubuh huruf saksi ( vokal) dan tahap kedua dengan membubuh huruf saksi ( vokal ) pada kedua-dua suku kata.
Daripada beberapa contoh aksara asal Hikayat Abdullah diatas dapat dilihat beliau tidak menggunkan tanda-tanda baris pada tulisannya.

4.1 Aspek bahasa
i. Morfologi

Morfologi adalah bidang yang mengkaji proses pembentukan kata-kata dalam sesuatu bahasa. Ia meliputi penggolongan perkataan atau kata-kata dalam sesuatu bahasa. Sebagai contohnya dari aspek imbuhan, penulisan karya Hikayat Abdullah telahpun menggunakan imbukan meN-. Hal ini dapat diperhatihan pada petikan karya Hikayat Abdullah seperti dibawah;

Contoh 1

Maka jawabnya, “ Tuan, sahayalah cakap membawa jalan kepada susunan itu, akan tetapi tuan sekarang ada penuh kapal-kapal Inggeris pada segenap jajahan tanah Jawa itu menjaga, tiadalah boleh masuk dan keluar barang perahu atau kapal keci; dan lagi pula Holanda itu pun terlalu keras kawalnya, serta dengan cemburunya.”
( halaman 69)

Contoh 2

Bermula maka adalah telah berpuluh-puluh kali aku ini disuruhkan oleh tuan-tuan itu memanggil dan mencari anak-anak Melayu, supaya boleh ia belajar dan mengetahui membaca dan menulis, baik bahasa Melayu baik bahasa Inggeris, maka oleh sebab bodohnya dan sangka mereka itu nanti dimasukkan Inggeris, tiadalah ia mau datang, kerana fikiran mereka itu, dengan kekerasan nanti ditangkap dimasukkan Inggeris: maka beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu, serta memberitahu aku mereka itu, “Bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang kedalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka; melainkan supaya kamu boleh belajar dan mengetahui bahasa kamu dan bahasa Inggeris kelak, nanti dibelakang bnyak gunanya.” (Halaman 119)

Selain daripada aspek penggunaan imbuhan meN-, banyak lagi aspek morfologi yang terdapat dalam penulisan karya Hikayat Abdullah.

ii. Sintaksis

Daripada pemerhatian yang dibuat adakalanya Abdullah gemar menggunakan ayat yang panjang-panjang dan menyulitkan pembaca untuk memahaminya. Ayat-ayat daripada hikayatnya ini boleh dijadikan contoh;

Contoh 1

Maka jikalau sekiranya tiada suluh itu tanganku, dan cermin mata itu kupakai, nescaya banyak kali sudah aku terperosok ke dalam limbah dan parit yang penuh pada tiap-tiap lorong dan jalan; seperti kecuali kebanyakan kelakuan orang yang tiada memegang suluh itu terperosok ia kesana ke mari, jatuh bangun coreng-coreng berlumur dengan Lumpur dan orang, dan patah riuk kaki tangannya di hadapanku.
( halaman 16)

Contoh 2

Maka jawabnya, “ Tuan, sahayalah cakap membawa jalan kepada susunan itu, akan tetapi tuan sekarang ada penuh kapal-kapal Inggeris pada segenap jajahan tanah Jawa itu menjaga, tiadalah boleh masuk dan keluar barang perahu atau kapal keci; dan lagi pula Holanda itu pun terlalu keras kawalnya, serta dengan cemburunya.”
( halaman 69)

Ayat-ayat yang panjang begini mengganggu pemahaman pembaca kerana ada watunya pembaca terpaksa mengulangi pembacaan. Jelas dari segi bahasa (ayat) Abdullah masih lagi tidak membawa apa-apa pembaharuan.

iii. Semantik

Secara umum kita berpendapat bahawa makna sesuatu bahasa akan mudah difahami apabila dalam bentuk ayat. Andaian ini tidak selamanya tepat kerana kehadiran ayat yang dibina daripada kata dan kelompok kata, dan tidak semuanya hanya memiliki satu makna. Dalam bahasa Melayu seringkali apa yang kita ucapkan atau tuliskan tidak serupa dengan pa yang dimaksudkan.

Dapat diperhatikan dalam karya Hikayat Abdullah maksud atau pun perkara yang disampaikan melalui makna tersurat. Makna tersurat yang dimaksudkan ialah makna yang diperolehi semata-mata daripada makna yang tertulis atau makna yang diujarkan sahaja. Dimana dalam penulisannya banyak menyatakan terus atau secara lansung apa yang hendak disampaikan kepada masyarakat Melayu ketika itu. Umpamanya ;

Bermula maka adalah telah berpuluh-puluh kali aku ini disuruhkan oleh tuan-tuan itu memanggil dan mencari anak-anak Melayu, supaya boleh ia belajar dan mengetahui membaca dan menulis, baik bahasa Melayu baik bahasa Inggeris, maka oleh sebab bodohnya dan sangka mereka itu nanti dimasukkan Inggeris, tiadalah ia mau datang, kerana fikiran mereka itu, dengan kekerasan nanti ditangkap dimasukkan Inggeris: maka beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu, serta memberitahu aku mereka itu, “Bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang kedalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka; melainkan supaya kamu boleh belajar dan mengetahui bahasa kamu dan bahasa Inggeris kelak, nanti dibelakang bnyak gunanya.”

Dari contoh diatas perkara pokok disampaikan secara terus tanpa menggunakan sebarang simbolik ataupun kiasan.

iv. Kosa Kata
a) Kata asli

Sebagai karya di peringkat awal, Abdullah masih tidak dapat melepaskan penggunaan kata asli dalam tulisannya. Bukan sahaja bahasa yang digunakan itu bahasa lama tetapi struktur ayatnya juga masih seperti cerita hikayat. Sebagai contoh dalam Hikayat Abdullah pada halaman 9 dan 10;

Maka beberapa lamanya dalam hal yang sedemikian, maka datanglah seorang orang Arab Syaid yang bernama Habib Abdullah, bangsanya Haddad, maka adalah ia itu aulia, mak sangatlah dipermulia orang akan dia dalam Melaka; maka segala laki-laki dan perampuan pun pergilah berguru kepadanya darihal perkara agama Islam. Maka bondaku juga tiada pergi, sentiasa duduk menangis terkenangkan anak-anaknya yang mati itu. Maka adalah rumahku itu berhadapan dengan rumah tempat tuan itu tinggal; maka disuruhnya panggil bapaku, diperiksanya akan hal bondaku itu duduk menangis-nangis. Maka oleh bapaku segala hal anak-anaknya habis mati itu; maka kata tuan itu, “ Baiklah, pergi engkau katakan kepada isterimu janganlah ia menangis, insya-Allah nanti diberi Allah kepadanya seorang anak laki-laki; maka apabila beranak kelak, engkau namakan dengan namaku.” Maka pulanglah bapaku serta mengatakan kepada bondaku akan segala perkataan tuan itu; maka bondaku pun berhentilah daripada menangis dan dukacita.

Struktur ayat lama ini dikutkan lagi dengan penggunan kata-kata asli seperti ‘maka’, ‘beberapa lamanya’, ‘maka adalah’, ‘akan dia’ dan ‘maka apabila. Dalam Hikayat Abdullah banyak terdapat kata nasihat. Hal ini menunjukkan bahwa Abdullah masih terikut-ikut struktur penulisan sastera lama. Begitu juga apabila dia menggunakan pentun dan syair dalam karyanya. Penggunaan perkataan hikayat itu sendiri membayangkan bahawa Abdullah masih cenderung meneruskan tradisi penulisan lama.

b) Kata pinjaman

Daripada penelitian yang dibuat dalam penghasilan karya-karya Abdullah Munsyi banyak menggunakan kata pinjaman Bahasa Inggeris, misalnya dalam Hikayat Abdullah digunakan diksi character (halaman 5), enjineer (halaman 6), secretaries governments (halaman 6), electricity (halaman 115), arithmetic (halaman 117), commission (halaman 165).

Selain daripada penggunaan kata pinjaman Bahasa Inggeris terdapat juga penggunan kata pinjaman bahasa Arab dalam penulisan karyanya, misalnya perkataan syaaban (halaman 1), khatib ( halaman 4 ), sayid (halaman 35) dan banyak lagi.

5.0 Kesimpulan
5.1` Penutup

Abdullah Munsyi menggunakan bentuk laporan dalam membina karya-karyanya. Dia melaporkan apa saja yang terjadi pada dirinya, yang dilihat dan dialami. Walau bagaimanpun, dia bukanlah seperti wartawan kerana dia juga mengemukakan cadangan dan nasihat dalam karya-karyanya. Bentuk penulisan kritikan juga terlihat dalam karyanya terutama kritik terhadap raja-raja Melayu. Seperti karya cereka, Abdullah juga menggunakan dialog dalam penceritaan di samping diksi watak-watak bagi menyampaikan maksud atau persoalan yang dikemukakan.

Diteliti karya-karya Abdullah Munsyi, dapat dibuat kesimpulan bahawa Abdullah telah jauh meninggalkan bentuk penulisan sastera lama. Ini tergambar pada persoalan atau tema yang dikemukakan, pada plot cerita, perwatakan, latar cerita dan sudut pandangan. Hanya gaya bahasa yang masih kekal seperti gaya bahasa sastera lama. Buah tangannya ini boleh dijadikan bahan rujukan dan bahan dokumentasi yang penting.




Analisis Karya Agung

SINOPSIS SULALATUS SALATIN

Sulalatus Salatin merupakan sejarah sastera mengisahkan tentang peraturan segala raja-raja Melayu. Iskandar Zulkarnain berkahwin dengan Puteri Syahrul Bariah dari Benua Hindi. Salah seorang keturunan Iskandar Zulkarnain bernama Raja Suran kemudiannya masuk ke dalam laut menerusi sebuah peti kaca untuk menyaksikan kehidupan di dasar laut. Semasa di dasar laut, Raja Suran berkahwin dengan  Puteri Mahtabul Bahri dan melahirkan tiga orang putera bernama Nila Pahlawan, Krisyna Pendeta dan Nila Utama. Ketiga-tiga orang putera berkenaan naik ke daratan di tempat yang bernama Bukit Siguntang yang terletak di Palembang. Nila Utama (Seri Teri Buana) kemudian dilantik menjadi raja di Palembang. Nila Pahlawan (Sang Sapurba) di Minangkabau dan Krisyna Pandita di Tanjung Pura.  Kemudian diceritakan tentang Seri Teri Buana yang mahu beristeri. Malangnya, semua anak raja yang ditidurinya mendapat penyakit kedal. Seri Teri Buana telah mendapat tahu akan kecantikan Radin Ratna Cendera Puri anakanda Demang Lebar Daun dan ingin mengahwininya.
    Sebelum berkahwin, Demang Lebar Daun telah mohon  diadakan perjanjian dahulu. Dia mahu anaknya itu tidak dikeluarkan dari istana kalau dia mendapat penyakit kedal setelah ditiduri Seri Teri Buana. Biarlah dia menjadi tukang masak di dapur atau tukang sapu di istana. Demang Lebar Daun juga mahu supaya raja jangan berlaku zalim dengan memalukan rakyat yang bersalah.

Seri Teri Buana pula mahu rakyat jangan derhaka kepada raja. Jikalau rakyat derhaka rumahnya akan dibalikkan, kaki tiang ke langit dan kiranya raja berlaku zalim kerajaannya akan dimusnahkan oleh Allah. Bagaimanapun setelah ditiduri Seri Teri Buana, Radin Ratna Cendera Puri tidak kedal. Jadi perkahwinan antara mereka pun dilangsungkan. Selepas perkahwinan itu berlaku satu peristiwa pelik berlaku, telah hanyut di sungai buih-buih yang besar dan satu dari antaranya mengandungi seorang budak perempuan. Dia telah dijadikan anak angkat Seri Teri Buana dan dinamakan Puteri Tanjung Buih.

          Seri Teri Buana telah keluar dari Palembang untuk membuka negeri baru. Selepas melewati Gunung Lingga, angkatannya telah kehabisan air minuman. Untuk mendapatkan air tawar, Seri Teri Buana telah menyuruh mencampakkan gulungan rotan ke laut dan dia sendiri mencelupkan kakinya ke dalam air laut di tengah gelungan rotan itu. Air laut telah menjadi tawar dan tempat itu dinamakan Selat Air Tawar.  Sesampai Seri Teri Buana di Tanjung Bintan, baginda telah dijemput oleh Wan Seri Beni ke istana dan Raden Ratna Cendara Puri dibawa ke istana bondanya iaitu Puteri Iskandar Syah. Seri Teri Buana meneruskan semula perjalananya. Dia bertolak ke Bengkilau dan berburu hingga ke Tanjung Sengkuang. Di sini anjng pemburuan baginda telah terjun ke laut dihambat oleh pelanduk putih. Seri Teri Buana telah memerintahkan tempat itu ditebas untuk dibuka negeri.
       Kemudian, diceritakan juga tentang kedatangan Islam ke Alam Melayu. Merah Silu dan Merah Caga tinggal di Gunung Sengkuang. Merah Silu kerjanya menahan lukah tetapi asyik terkena cacing gelang sahaja. Kerana terlalu marah cacing itu direbus. Nasibnya baik, cacing gelang telah bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.  Bila Merah Caga mendengar adiknya dikatakan makan cacing gelang, dia mahu membunuh saudaranya itu. Merah Silu melarikan dirinya ke Rimba Jurun.

     Satu hari Merah Silu pergi berburu. Anjingnya Si Pasai telah menemui seekor semut besar. Semut besar itu telah ditangkap oleh Merah Silu dan dimakannya. Tempat itu dibersihkan dan dinamakan Semudra yang beerti semut besar. Negeri Semudra itu telah terkenal hingga ke Mekah. Syarif Mekah telah memerintahkan seorang nakhoda bernama Sheikh Ismail ke Semudra. Dia disuruh singgah di negeri Mu’tabari untuk mengambil seorang fakir. Sultan Muhamad iaitu Raja Mu’tabari telah turun dari takhta dan mengikut rombongan itu ke negeri Semudra. Sultan Muhammad adalah keturunan dari Abu Bakar al-Siddik r.a.

Sebelum sampai ke Semudra, kapal Sheikh Ismail telah singgah di Fansuri, Lamiri, Haru dan Perlak. Kesemua penduduk di situ telah memeluk agama Islam tetapi tidak ada yang pandai membaca Qur’an. Merah Silu juga telah memeluk Islam di tangan fakir Sultan Muhammad itu. Malamnya Merah Silu telah bermimpi berjumpa Rasulullah. Rasulullah telah meludah ke dalam mulut Merah Silu. Badan Merah Silu menjadi harum dan dia dapat membaca al-Qur’an. Sheikh Ismail telah menabalkan Merah Silu dan namanya ditukar menjadi Sultan Malikul Salleh.

Sultan Malikul Salleh telah berkahwin dengan Puteri Ganggang, anak raja Perlak. Dia mendapat dua orang anak yang diberi nama Sultan Malikul Tahir dan Sultan Malikul Mansur.

Sultan Malikul Salleh telah keluar untuk mencari tempat baru untuk dibuat kerajaan bagi anaknya. Anjing pemburuannya telah menyalak di satu tanah tinggi. Tempat itu dipandang cantik oleh Sultan Malikul Salleh. Ianya ditebas dan diberi nama Pasai sempena nama anjing pemburuan baginda. Sultan Malikul Tahir dirajakan di Pasai itu dengan menterinya bernama Sidi Ali Ghiathu’d Din sebagai mangkubumi.  Sultan Malikul Mansur pula dirajakan di Samudra dengan menterinya Sidi Ali Yaumid’d Din.

Pada zaman Raja Kecil Besar, baginda telah bermimpi berjumpa Rasulullah. Rasulullah  telah mengajarkannya kalimah tayyibah dan menukarkan namanya menjadi Sultan Muhammad Syah. Rasulullah juga memberitahu pada waktu asar esoknya akan tiba sebuah kapal dari Jeddah. Penumpangnya akan turun solat di pantai. Selepas bangun dari tidur Raja Kecil Besar mendapati tubuhnya berbau harum dan dia asyik mengulang sebut akan kalimah sehingga disangka oleh para dayang yang baginda telah dirasuk oleh syaitan.

Kedatangan Islam ke Melaka.
Raja telah memberitahu Bendahara yang ia bermimpi bertemu Rasulullah. Sebagai buktinya, kalamnya kelihatan telah dikhatankan orang dan akan datang sebuah kapal pada waktu Asar nanti. Pada petang itu datanglah sebuah kapal dari Jeddah, Syed Abdul Aziz makhdum kapal itu telah turun bersembahyang di pantai. Seri Amar Diraja telah dibawa masuk ke istana dan semua orang pun telah memeluk agama Islam. Mereka semuanya berguru pada SAA itu. Raja mengubah namanya menjadi Sultan Muhammad Syah. Bendahara bergelar Seri  Wak Raja. Perdana Menteri bergelar Seri Amar Diraja. Penghulu bendahari pula bergelar Seri Nara Diraja.

Baginda membuat beberapa pantang larang termasuk melarang rakyat menggunakan kain warna kuning melainkan untuk dibuat kain, baju dan destar. Rakyat juga tidak boleh berbuat rumah tiang gantung, Perahu tidak boleh bertingkap dan berpenghadapan. Tidak boleh memakai penduk dan teterapan keris. Tidak boleh bergelang emas di kaki. Tidak boleh berkeroncong emas kepala perak. Barangan emas tidak boleh dipakai kecuali dianugerahkan oleh raja. Jika hendak masuk ke istana perlu memakai kain berpancung, berkeris di hadapan dan bersebai. Jika keris di belakang akan dirampas. Payung putih khusus untuk raja. Payung kuning pula untuk putera raja.

Pemerintahan Sultan Mansur Syah.
Setelah memerintah selama 42 tahun, Sultan Muzaffar Syah pun meninggal dunia. Beliau telah digantikan oleh anaknya Raja Abdullah yang bergelar Sultan Mansur. Pada masa menaiki takhta berumur 27 tahun. Isterinya ialah Tun Putih, anak Seri Nara Diraja. Mempunyai seorang anak gundik bernama Puteri Bakal.

Baginda memerintahkan Bendahara Paduka raja dan Seri Bija Diraja menyerang negeri Inderapura yang diperintah oleh Maharaja Dewa yang berada di bawah taklukan Siam. Bendahara pula dapat menawan Puteri Onang Sari.
           
Sultan Mansur Syah berkeinginan bersahabat dengan Siam dan Menteri Jana Putera serta  Tun Telanai dititahkan ke Siam. Orang tua dari Melaka berjaya menunjukkan kebolehannya sehingga mengagumkan raja Siam. Tun Telanai dan Menteri Jana Putera juga berjaya membuat tipu helah sehingga berjaya mengelakkan daripada menentang musuh Siam yang kuat di sebelah matahari mati.

Bab 6

Sultan  Mansur Syah ingin meminang Puteri Raden Galuh Cendera Kirana, anak Sang Aji Jaya Ningrat dengan Puteri Raden Galoh Awi Kesuma. Rombongan Melaka sampai ke Majapahit dan dapat menunjukkan kepandaian. Tun Bijaya Nara dapat menyelamatkan keris, mencuri keris Betara Majapahit, menari "sapu-sapu rengit", dan menggertak anjing yang ditambat berhampiran utusan Melaka. Sultan Mansur Syah berkahwin dengan Raden Galuh Cendera Kirana. Kuda Sultan jatuh ke dalam telaga tahi dan diselamatkan oleh Hang Tuah.

Orang-orang Melaka yang diketuai oleh Tun Perpatih Putih dapat melihat wajah raja China setelah makan kangkung yang dibelah tetapi tidak dikerat. Puteri Hang Liu berkahwin dengan Sultan Mansur Syah. Sultan Mansur Syah menyuruh Tun Telanai dan Menteri Jana Putera menghantar sembah baginda kepada raja China. Tun Telanai dan Menteri Jana Putera terpesong ke Brunei dan dapat menipu raja Brunei dengan mengatakan Sultan Mansur Syah tidak menyembah China.

Raja China mendapat sakit kedal setelah disembah oleh Sultan Mansur Syah dan ubatnya ialah air basuh kaki Sultan Mansur Syah. Raja China sembuh daripada penyakitnya setelah menyantap dan membasuh muka dengan air basuh kaki raja Melaka.


Bab 7

Hang Jebat mengamuk di istana Melaka kerana membalas dendam atas kematian Hang Tuah. Sultan Mansur Syah mengenang-ngenang akan Hang Tuah memandangkan tidak ada sesiapa yang berjaya menewaskan Hang Jebat. Seri Nara Diraja menjelaskan bahawa Hang Tuah masih hidup dan Hang Tuah dibawa pulang.

Hang Tuah bertikam dengan Hang Jebat dan beliau berjaya membunuh Hang Jebat. Hang Tuah diberikan gelaran Laksamana oleh Sultan Mansur Syah. Sultan Mansur Syah berpindah istana tetapi istana yang baru dibina itu terbakar dan banyak harta tidak dapat diselamatkan. Sultan Mansur Syah menitahkan Bendahara agar dibuat istana baru dan istana itu disiapkan dengan kerjasama rakyat. Seri Nara Diraja sakit dan mewasiatkan agar Bendahara Paduka Raja menjaga anak-anaknya.

Bendahara Paduka Raja terlihat suatu cahaya dari langit turun ke kepala Tun Mutahir. Tun Tahir dijadikan Seri Nara Diraja, iaitu Penghulu Bendahari manakala, Tun Mutahir menjadi Temenggung bergelar Seri Maharaja. Melaka menyerang Kampar dan Maharaja Jaya dapat dibunuh oleh Seri Nara Diraja manakala, Khoja Baba dapat membunuh Tun Demang, mangkubumi Kampar.

Melaka menyerang Siak dan Siak dapat dikalahkan. Maharaja Parameswara dibunuh oleh Akhtiar Muluk manakala, Megat Kudu, anak Maharaja Parameswara ditawan. Sultan Mansur Syah mengahwinkan anak baginda, Raja Mahadewi dengan Megat Kudu kemudian Megat Kudu dirajakan di Siak dengan gelaran Sultan Ibrahim. Tun Muhammad membunuh Tun Besar, anak Bendahara Paduka Raja kerana bola sepak raga yang disepak oleh Tun Besar jatuh menimpa destar Raja Muhammad. Anak-anak buah Bendahara Paduka Raja ingin membalas dendam tetapi ditegah oleh Bendahara.

Sultan Mansur Syah merajakan Raja Muhammad di Pahang memandangkan tidak ada yang  menyembah Raja Muhammad di Melaka. Semerluki jatuh hati kepada ibu saudaranya dan dihalang oleh ayahnya Keraeng Majiko. Keraeng Majiko menyuruh Semerluki merompak mencari perempuan di Ujung Tanah. Semerluki merosakkan jajahan Melaka dan diketahui oleh Sultan Mansur Syah lalu menyuruh Laksamana menghalang Semerluki.

Orang-orang Melaka berperang dengan tentera Semerluki dan ramai orang Melaka mati. Laksamana berjaya menewaskan Semerluki.

Mauiana Abu Bakar membawa kitab Duri'l-mazlum ke Melaka. Sultan Mansur Syah dan ramai pembesar Melaka berguru dengan Maulana Abu Bakar. Sebelum itu kitab itu dirujuk dan diterjemahkan di Pasai.

Sultan Mansur Syah menyuruh Tun Bija Wangsa ke Pasai merujuk masalah agamadan masalah itu diselesaikan oleh Makhdum Mua.

Bab 8
Sultan Mansur Syah gering dan memberi wasiat kepada anakanda baginda sebelum mangkat.  Sultan Mansur Syah mangkat dan digantikan oleh Raja Hussain dengan gelaran Sultan Alau'd Din Riayat Syah.

Melaka diancam pencuri sehingga Sultan Alau'd-Din Riayat Syah bertindak menyamar diri untuk membanteras pencuri-pencuri.

Temenggung Seri Maharaja bertindak keras dengan mengetatkan undang-undang setelah beliau disindir oleh Sultan Alau'd-Din Riayat Syah.  Sultan Alau'd-Din Riayat Syah membuat undang-undang mencuri dikudungkan tangan manakala, di simpang empat di tengah negeri dibuat sebuah balai untuk diletakkan harta kecurian yang dijumpai.

Raja Pahlawan dari Haru mengamuk di Pasai setelah surat yang bertulis 'salam' disebut 'sembah'. Ramai orang Pasai mati. Sultan Alau'd-Din Riayat Syah menyuruh pahlawan Melaka menghalang orang-orang Haru. Pertempuran berlaku antara orang-orang Melaka dengan orang-orang Haru. Berlaku perdamaian antara Melaka dengan Haru. Raja Maluku dan Telanai Terengganu datang ke Melaka.

Selepas Telanai Terengganu pulang, Sultan Muhammad, iaitu Raja Pahang menitahkan Seri Akar Raja membunuh Telanai Terengganu kerana pergi ke Melaka tanpa memberitahu baginda. Sultan Alau'd-Din Riayat Syah mendapat tahu perkara itu dan menitahkanpahlawan-pahlawannya menyerang Pahang kerana Sultan Muhammad membunuh Telanai Terengganu tanpa pengetahuan Melaka dan Raja Muhammad juga ingin menyerang Melaka. Bendahara tidak membenarkan keinginan Sultan Alau'd-Din Riayat Syah untuk menyerang Pahang.

Laksamana telah dititahkan ke Pahang untuk menyelesaikan masalah itu. Laksamana Hang Tuah ke Pahang dan menyuruh orangnya membunuh salah seorang keluarga Seri Akar Raja. Apabila ditanya tentang pembunuhan ke atas Telanai Terengganu, Sultan Muhammad berdalih dengan mengatakan Telanai Terengganu berlaku biadap.

Bab 9
Laksamana Hang Tuah dihantar ke Siak dan di sana beliau mencerca Tun Jana Pakibul kerana membunuh orang tanpa memberitahu ke Melaka. Raja Mamad dilantik sebagai Sultan Melaka setelah Sultan Alaud'-Din Riayat Syah mangkat.

Sultan Mahmud gering dan dijaga oleh Bendahara Paduka Raja dan Laksamana Hang Tuah. Apabila sembuh, Bendahara dan Laksamana dianugerahkan usungan tetapi Bendahara tidak menggunakannya. Bendahara Paduka Raja sakit dan memberi wasiat kepada anak cucunya. Kepada Sultan Mahmud Syah, beliau menasihatkan agar jangan ikut nafsu dan jangan mendengar fitnah. Bendahara Paduka Raja mati dan digantikan oleh Bendahara Tun Perpatih Putih.

Sultan Mahmud Syah mengganggu isteri Tun Biajid dan baginda hampir-hampir dibunuh oleh Tun Biajid. Sultan  Mahmud Syah juga mengganggu Tun Dewi tetapi oleh sebab Tun Ali Sandang berada di sana. Sultan Mahmud menyuruh Tun Isap membunuh Tun Ali Sandang. Seri Wak Raja ingin membunuh Tun Isap tetapi Sultan Mahmud menyuruh Tun Isap melarikan diri. Tun Isap pulang ke Melaka dan dibunuh oleh Seri Wak Raja.

Seri Bija Diraja dibunuh oleh Sultan Mahmud kerana lambat datang pada hari raya. Sultan Mahmud menitahkan Paduka Tuan menyerang Manjong manakala,  Seri Maharaja menyerang Kelantan. Kedua-dua serangan itu berhasil.

Bab 10
Bendahara Putih mati dan digantikan oleh Bendahara Seri Maharaja atau Tun Mutahir. Bonda Sultan Mahmud yang memilih beliau menjadi Bendahara. Kedatangan Patih Adam dari Surabaya akhirnya telah menimbulkan krisis di Melaka kerana ingin berkahwin dengan Tun Minda, anak Seri Nara Diraja. Patih Adam menuntut janji daripada Seri Nara Diraja yang dikatakan mahu menjodohkan Patih Adam dengan Tun Minda tetapi Seri Nara Diraja menafikannya.

Setelah kemangkatan permaisurinya, Sultan Mahmud menitahkan agar dipinang Puteri Gunung Ledang. Tun Mamad, Laksamana, dan Sang Setia ke Gunung Ledang. Tun Mamad berjumpa Dang Raya Rani lalu Tun Mamad memberitahu tujuannya ke Gunung Ledang itu. Seorang perempuan tua berjumpa dengan Tun Mamad dan menjelaskan syarat yang dikenakan untuk meminang Puteri Gunung Ledang.

Apabila diberitahu kepada Sultan Mahmud, Sultan Mahmud membatalkan niatbaginda meminang Puteri Gunung Ledang. Baginda tidak sanggup menumpahkandarah anakanda baginda. Orang-orang Melaka menjadikan orang Inderagiri di Melaka sebagai hamba sehingga mereka ingin pulang ke negeri mereka. Akhirnya, Sutan Nara Singa pulang ke Inderagiri.

Hang Nadim diarahkan ke benua Keling untuk membeli kain serasah. Kepandaian Hang Nadim melukis sendiri corak kain dikagumi. Hang Nadim pulang ke Melaka tetapi kapal yang dinaikinya tenggelam kerana kapal Hang Isap disumpah oleh seorang wali. Sultan Mahmud murka kepada Hang Nadim kerana tidak banyak membawa balik kain yang diingini baginda. Hang Tuah meninggal dunia dan digantikan oleh Laksamana Khoja Hassan.
                                                                                                                                   
Bab 11
Sultan Abdul Jamal menyuruh Seri Wangsa Diraja ke Melaka untuk memberitahu kemangkatan ayahanda baginda. Sultan Mahmud berasa sedih dan menitahkan Seri Wak Raja ke Pahang untuk menobatkan Sultan Abdul Jamal Syah. Setelah Seri Wak Raja pulang dan memberitahu kecantikan Tun Teja, Sultan Mahmud inginkan Tun Teja walaupun Tun Teja sudah bertunang dengan Sultan Abdul Jamal.

 Hang Nadim ke Pahang untuk membawa pulang Tun Teja ke Melaka.  Hang Nadim berjaya melarikan Tun Teja setelah berbaik-baik dengan perempuan tua tukang urut. Hang Nadim berjaya mengalahkan serangan Pahang di laut. Sultan Abdul Jamal ingin menyerang Melaka dengan gajah Ai Kening. Laksamana Khoja Hassan ke Pahang dan melarikan gajah Ai Kening, dan sebelum itu Laksamana Khoja Hassan dapat menewaskan angkatan Pahang yang menyerangnya di laut.  Sultan Abdul Jamal begitu marah dan turun dari takhta. Baginda digantikan oleh anakanda baginda, Sultan Mansur Syah.

            Raja Zainal, iaitu adinda kepada Sultan Mahmud mengambil kesempatan atas ketampanannya untuk merosakkan gadis dan perempuan di Melaka. Sultan Mahmud mahu supaya Raja Zainal dibunuh sahaja dan tugas ini disempurnakan oleh Hang Berkat.   Setelah Hang Berkat digelar Sang Sura, isteri Sang Sura bermukah dengan Sang Guna.  Sang Sura ingin membunuh Sang Guna tetapi ditegah oleh Sultan Mahmud. Sultan Mahmud menitahkan agar Sang Guna tidak boleh keluar rumah.

Bab 12
Raja Legor ingin menyerang Pahang atas suruhan raja Siam. Bendahara Seri Maharaja dititahkan ke Pahang untuk membantu Pahang. Orang-orang Melaka menyiapkan kubu pertahanan di Pahang. Terjadi peperangan antara orang Legor dengan Pahang tetapi Pahang tidak dapat ditewaskan.

    Tun Perpatih Hitam dan Tun Hussain dibunuh kerana bersikap biadap di hadapan Bendahara.  Cau Seri Bangsa memeluk Islam setelah berjaya menewaskan Raja Sulaiman Syah di Kota Mahligai. Cau Seri Bangsa menjumpai Petani dan menjadi raja di sana.  Cau Seri Bangsa memohonkan nobat di Melaka. Raja Kedah juga datang ke Melaka dan memohonkan nobat.

    Kedatangan Peringgi ke Melaka dan bentuk fizikal mereka menghairankan orang-orang Melaka. Peringgi menyerang Melaka di bawah pimpinan Gonsalo Periera tetapi gagal menewaskan Melaka. Maulana Sadar Jahan datang ke Melaka. Sultan Mahmud berguru dengan maulana itu. Tun Mai Ulat Bulu berguru dengan Maulana Sadar Jahan tetapi Maulana Sadar Jahan memarahi  beliau yang susah menyebut perkataan bahasa Arab. Sultan Mahmud menitahkan Orang Kaya Tun Muhammad ke Pasai merujuk soal agama dan masalah itu diselesaikan oleh Tun Hassan.

Bab 13
Bendahara Seri Maharaja hendak mengahwinkan anaknya Tun Fatimah dengan Tun Ali. Raja Dibaruh menasihatkan agar Bendahara menunjukkan Tun Fatimah kepada Sultan Mahmud terlebih dahulu tetapi Bendahara enggan kerana darjat keluarganya rendah jika dibandingkan dengan Sultan Mahmud. Bendahara mengahwinkan anaknya dengan Tun Ali. Sultan Mahmud berdendam dengan Bendahara setelah melihat kecantikan Tun Fatimah. Ali Manu Nayan ingin memberi rasuah kepada Tun Hassan Temenggung tetapi ditolak oleh beliau.

Anak-anak buah Tun Hassan Temenggung selalu meminta rasuah daripada saudagar-saudagar kaya di Melaka. Nina Sura Dewana dan Raja Mendaliar bertelagah dan meminta Bendahara menyelesaikannya tetapi disuruh pulang terlebih dahulu kerana hari sudah petang. Nina Sura Dewana memberi hadiah kepada Bendahara Seri Maharaja dan perkara ini dilihat oleh Si Kitul. Si Kitul memberitahu Raja Mendaliar bahawa Nina Sura Dewana memberi emas kepada Bendahara supaya Bendahara membunuh Raja Mendaliar.

Raja Mendeliar memberi hadiah kepada Laksamana Khoja Hassan dan memberitahu bahawa Bendahara Seri Maharaja ingin menderhaka. Laksamana Khoja Hassan memberitahu Sultan Mahmud dan Sultan Mahmud bercadang untuk membunuh Bendahara kerana selama ini baginda memangberdendam dengan Bendahara kerana  Tun Fatimah.

Bendahara Seri Maharaja, Seri Nara Diraja, Tun Hassan Temenggung, dan Tun Alidi bunuh oleh Sultan Mahmud. Paduka Tuan dilantik menjadi Bendahara walaupun sudah tua dan uzur. Tun Fatimah tidak pernah senyum, malah menggugurkan kandungan selepas berkahwin dengan Sultan Mahmud. Sultan Mahmud turun dari takhta dan digantikan dengan Sultan Ahmad Syah dan Sultan Ahmad pula merupakan seorang sultan yang mengamalkan sikap pilih kasih.

Bab 14
Peringgi menyerang Melaka di bawah pimpinan Alfonso d'Albuquerque tetapiserangan kali pertama Peringgi ke atas Melaka gagal. Orang-orang Melaka membaca Hikayat Muhammad Hanafiah untuk menaikkan semangat kerana Peringgi akan menyerang lagi. Berlaku pertempuran hebat antara tentera Peringgi dengan orang-orang Melaka sehingga orang Melaka tidak dapat bertahan. Sultan Ahmad dan Sultan Mahmud meiarikan diri hingga ke Pahang. Sultan Ahmad dibunuh atas arahan ayahandanya kerana baginda tidak menghormati pembesar-pembesar dan digantikan oleh Raja Muzaffar. Tun Fatimah melahirkan seorang anak lelaki, iaitu Tun Ali dan diberi gelaran Sultan Alau'd Din Ri'ayat Syah. Peringgi menyerang Bintan dan Sultan Mahmud terpaksa berundur hingga ke Kampar.

Bab 15
Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah ditabalkan menjadi raja selepas kemangkatan Sultan Mahmud Syah dan baginda meninggalkan Kampar menuju ke Pahang dan berkahwin dengan Raja Kesuma Dewi, anak Sultan Mansur Syah. Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah membuka sebuah negeri di Kuala Johor. Raja Omar, iaitu cucu Sultan Mansur Syah di Pahang berkahwin dengan Raja Fatimah, anak Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah.

Sultan Muzzafar Syah menggantikan Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah yang mangkat dan baginda membuka sebuah negeri bernama Seluyut. Raja Omar menceraikan isteri pertamanya setelah Raja Fatimah hamil, manakala Sultan Muzaffar Syah jatuh hati dan berkahwin dengan bonda Raja Mansur. Kemangkatan Sultan Muzaffar dan digantikan oleh Sultan Abdul Jalil Syahkemudian digantikan pula oleh Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Ri'ayat Syah. Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Ri'ayat Syah membuka negeri di Batu Sawar dan kemudiannya ke negeri Makam Tauhid. Sultan Ala Jalla Abdul Jalil mangkat dan digantikan oleh Raja Mangsur dengan gelaran Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah. Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah kemudiannya memindahkan pusat pentadbiran negeri dari Makam Tauhid ke negeri di Pasir Raja.

Sumber: A. Samad Ahmad (2013), (peny.) Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.