Tuesday 29 April 2014

Estetik dalam Karya Agung

ESTETIK DALAM KARYA AGUNG

Konsep keindahan Melayu Klasik
Karya sastera memang mempunyai nilai estetik, sama ada tahap tinggi atau bertaraf rendah. Nilai estetik ini seharusnya dapat menikmati sebagai nikmat ketika membaca, menghayati dan memahami setiap hasil karya. Begitulah, bagi karya novel, cerpen, puisi (pantun, syair, gurindam, seloka dan sajak) drama dan sebagainya ada terselit nilai-nilai estetika dan keindahan.
Secara umumnya perkataan estetika dalam bahasa Yunani ialah aesthesis yang membawa maksud hal-hal yang dapat diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus lagi membawa maksud ‘kepekaan’ manusia terhadap sesuatu gaya penulisan. Estetik juga boleh diertikan sebagai persepsi pancaindera (sense of perception), iaitu merupakan istilah estetika yang digunakan untuk  kajian falsafah. Selain itu, estetika juga membawa banyak pengertian daripada ramai tokoh falsafah. Ahli falsafah Jerman bernama Alexander Baumgarten (1714-1716) adalah orang pertama yang memperkenalkan perkataan aisthetika.
Estetik adalah rasa indah pada umumnya dan tentang kesenian pada khususnya. Pandangan mengenai falsafah dan estetika sangat berhubung rapat dengan kesenian. Apabila disentuh tentang keindahan, maka secara langsung akan diperkatakan perkara berkaitan seni dan kesenian Estetika secara umumnya bermaksud keindahan. Oleh sebab itu, estetika merupakan satu cabang yang sangat dekat dengan falsafah seni. Nilai estetika itu sendiri melibatkan seni dan  keindahan. Apabila dilihat dari konsep yang berkaitan dengan karya, kita dapat mengaitkan unsure ini dengan karya yang dihasilkan iaitu penghasilan bahasa yang estetik iaitu indah dan berseni. Secara umumnya, estetika dikaitkan dengan karya seni manusia atau mengenai alam semesta.
                William Haverson mengatakan estetika adalah segala hal yang berhubungan dengan sifat dasar nilai-nilai non-moral suatu karya seni. Estetika sering diungkapkan sebagai persamaan makna seni, tetapi ia berbeza dengan ‘falsafah keindahan’, kerana estetika tidak semata-mata menjadi permasalahan falsafah. Di dalamnya menyangkut perbahasan ilmiah berkaitan dengan karya seni, yang merangkumi bidang ilmiah, antaranya meliputi perbincangan tentang keindahan dalam seni atau pengalaman estetik, gaya atau aliran seni, perkembangan seni dan sebagainya. Secara langsung pengkajian falsafah estetika bersangkutan dalam bidang-bidang seperti psikologi, sosiologi, antropologi dan lain-lain yang bersangkutan,
 Selain itu, estetika juga dapat dikaitkan sebagai keindahan yang berdasarkan penglihatan iaitu seni rupa dan keindahan yang boleh didapati melalui pendengaran contohnya, muzik. Oleh sebab itu, keindahan dapat diertikan sebagai keindahan yang meliputi aspek keindahan seni, keindahan alam, keindahan moral, dan keindahan intelektual. Estetika sebagai keindahan dan keagungan. Estetika juga merupakan sebahagian penciptaan simbol- simbol yang wujud dari perasaan manusia sebagai hasil kesenian dan juga sesuatu yang mewakili perasaan amnesia. Maksudnya, estetika bersifat simbolisme iaitu simbol-simbol yang dimaksudkan bukan sahaja hasil karya seni lukis tetapi hasil binaan yang mempunyai simbolik tersendiri hasil ciptaan manusia. Sebagai contoh, seni binaan bangunan yang kaya dengan simbol dan keindahan tersendiri seperti rekaan bangunan Menara Petronas, Kuala Lumpur.
Perkataan keindahan atau kata dasarnya indah merupakan salah satu istilah pokok dalam sistem estetika kesusasteraan Melayu. Konsep keindahan dalam tradisi dan budaya Melayu menurut V.I. Braginsky dalam Aminudin Mansor ialah terdapat tiga aspek yang jelas dinyatakan dalam karya sastera menerusi penggantian perkataan indah dengan kata yang sama maksud. Menurutnya lagi, keindahan sesuatu karya sastera dipercayai mampu mempengaruhi jiwa seseorang, mempunyai kuasa penyembuh tetapi akibat daripada keindahan itu lebih penting iaitu manfaat yang terselindung di sebaliknya. Misalnya, pembaca akan berasa tenang atau sebaliknya bergantung kepada keadaan jiwa seseorang itu ketika menghayatinya.
Aspek pertama yang akan dibincangkan ialah berhubung dengan asal usul keindahan. Pengertian indah dipadankan dengan cara tertentu melalui kuasa Tuhan atau kekayaan Allah. Ianya meliputi kekuasaan Allah mencipta sesuatu yang tidak terbatas. Contohnya kehadiran pelbagai kehidupan di muka bumi, sistem cakerawala, keindahan alam semula jadi dan sebagainya sehinggakan yang tidak mampu ditanggapi oleh akal manusia biasa.
Kedua, estetika Islam juga membezakan keindahan mutlak daripada keindahan fenomena dengan menggunakan perkataan elok dan indah dalam karya sastera dan karangan tasawuf Melayu. Manakala, aspek keindahan ketiga ialah estetik atau keindahan tersembunyi, tetapi bentuk iaitu susunan kata yang baik, makna yang berlapis-lapis mampu menyerlahkan keindahan sehingga dapat dihayati. Tanpa bentuk yang baik pasti isi kandungan dalam sesebuah karya tidak mempunyai daya tarikan. (Aminudin Mansor, 2012).
Estetik dalam Sulalatus Salatin
Unsur estetik merupakan satu unsur keindahan dalam berbahasa iaitu dengan memberikan sifat manusia kepada benda lain. Unsur personafikasi yang dapat dilihat dalam karya Sulalatus Salatin ialah:
“rupa tunggul panji-panji seperti awan berarak; rupa payung segala  raja-raja”
                                                          (Muhammad Haji Salleh, 1997: 26)
Dalam ayat di atas, pengarang telah menggunakan kata kerja berarak yang dilambangkan sebagai unsur personafikasi kepada awan. Awan merupakan kata nama yang tidak bernyawa, tetapi diberi sifat manusia kepadanya. Unsur ini digunakan untuk menunjukkan keindahan bahasa.
·         Penggunaan Bahasa Istana
Tidak dinafikan penggunaan bahasa istana di dalam karya bahasa Melayu Klasik kerap berlaku berbanding dalam karya Melayu Moden. Watak utama di dalam karya bahasa Melayu klasik adalah terdiri daripada watak istana yang melibatkan sultan, permaisuri, anakanda, dayang, pembesar, dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, penggunaan bahasa istana amat diperlukan untuk mewarnai karya sastera tersebut agar lebih menarik dengan keindahan bahasa istana yang sangat lembut dan berlapik.  Penggunaan bahasa istana juga diperlukan dalam karya bahasa Melayu klasik bagi mengisahkan cerita-cerita yang membabitkan keluarga diraja. Perkara ini dapat dijelaskan lagi menerusi contoh ayat yang dipetik daripada Hikayat hang Tuah yang dikemukakan oleh Kassim Ahmad yang berbunyi:
Maka pada ketika itu juga baginda pun melengkapi anakanda baginda itu dengan inang pengasuh dan dayang-dayang sepertinya. Maka tuan putera Kemala ratna Pelingan dipeluk cium dan ditangisinya oleh ayahanda baginda.                             
                                                                                              (Kassim Ahmad, 1997 :5)
Namun begitu, penggunaan bahasa istana ini kurang digunakan di dalam bahasa Melayu Moden. Hal ini telah dibuktikan apabila karya yang ditulis menggunakan bahasa Melayu Moden kurang menggunakan tema keluarga diraja. Kebanyakan penulis akan menggunakan tema berkaitan dengan masyarakat moden yang tidak akan dikaitkan dengan keluarga diraja seterusnya penggunaan bahasa yang indah seperti bahasa istana tidak dapat dikekalkan dan semakin ditinggalkan oleh masyarakat Melayu Moden.
                Penggunaan ayat yang panjang juga merupakan salah satu unsur estetik dalam karya agung iaitu salah satu aspek yang dapat membezakan bahasa Melayu Klasik dengan bahasa Melayu Moden. Ciri ini boleh dilihat melalui beberapa ayat yang terkandung di dalam Hikayat Hang Tuah iaitu:
Apabila tuan puteri dan segala isi istana itu mendengar bunyi-bunyian dan melihat segala perintah dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakainnya terlalu indah-indah- rata terang itu pun dengan perhiasannya keemasan-datang mendapatkan Sang Perta Dewa itu bertatahkan ratna munu manikam, maka Tuan Puteri Pelinggam pun tahulah akan Sang Perta Dewa itu anaknya besar turun dari keinderaan.
                                                                                           (Kassim Ahmad, 1997: 6)
Contoh ayat di atas jelas menunjukkan penggunaan bahasa yang meleret-leret dalam Hikayat Hang Tuah. Ayat yang panjang merupakan satu unsur seni bahasa yang mampu menjadikan sesebuah karya menjadi menarik. Ianya juga dipercayai berpunca daripada gaya bahasa hiperbola yang biasa terdapat di dalam hasil sastera klasik. Gaya bahasa hiperbola bermaksud sesuatu perkara itu diceritakan secara berlebih-lebihan. Tujuan utama penggunaan gaya bahasa ini adalah untuk menekankan keistimewaan sesuatu benda atau perkara. Selain itu, penggunaannya juga dapat meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca kerana melalui penggunaan hiperbola, pembaca akan dibawa bersama untuk menghayati sesuatu cerita kerana penggunaan gaya bahasa hiperbola dapat membantu pembaca menghayati sesuatu peristiwa dengan lebih mendalam. Melalui contoh yang diberi di bawah, jelas kelihatan daripada keindahan bahasa atau unsur estetik yang digarap oleh pengarang bagi mewarnai hikayat Hang Tuah menggunakan unsur hiperbola.
“Segala perintah dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakaian terlalu indah-indah-rata terbang itu pun dengan perhiasannya keemasan”.
                                                    (Kassim Ahmad, 1997: 6)
 Selain itu, dalam karya klasik atau karya agung juga turut menggunakan penggunaan imbuhan ‘nya’ untuk mengekalkan unsur estetik dalam karya. Penggunaan imbuhan ‘nya’ boleh digunakan bagi menggantikan ganti nama yang diulang beberapa kali. Ganti nama tunjuk atau perkataan-perkataan yang tidak diperlukan boleh diabaikan bagi tujuan meringkaskan  sesebuah ayat. Penggunaan imbuhan ‘nya’ ini bertujuan mengelakkan daripada kekerapan menggunakan ayat yang panjang seterusnya menjadikan karya tersebut suatu karya yang tidak menarik, menyebabkan pembaca menjadi bosan untuk meminati sesebuah karya. Sebagai contoh ayat yang menggunakan imbuhan ‘nya’ dalam hikayat Hang Tuah ialah:
Maka Sang Sapurba terlalu sukacita melihat isterinya hamil itu. Setelah genaplah bulannya, maka tuan puteri pun berputeralah seorang lelaki, terlalu elok rupanya sikapnya.                                        
                                                                    
(Kassim Ahmad, 1997: 11)

Berdasarkan contoh ayat di atas, menunjukkan penulis telah mengulang sebanyak empat kali imbuhan ‘nya’ dalam satu ayat. Ayat tersebut ditulis sebegitu bagi menjelaskan kepada pembaca bahawa Sang Sapurba mempunyai anak seramai empat orang. Penggunaan ayat yang panjang dan berulang-ulang ini akan menjadikan sesebuah ayat itu berbelit-belit dan sukar difahami. Keadaan ini menunjukkan bahawa penulis sangat bijak menggunakan bahasa dan memperlihatkan unsur estetik dalam karya tersebut. Keindahan karya juga terletak kepada kebijaksanaan penulis untuk menterjemahkan jalan cerita menggunakan seni bahasa yang dapat menarik minat pembaca.

2 comments:

  1. Terima kasih atas info yang sangat berguna ini.

    ReplyDelete
  2. Sama-sama. Jika anda memiliki pandangan tambahan, anda sangat dialu-alukan menulis di sini. Semoga ilmu yang dikongsi bermanfaat.

    ReplyDelete