Tuesday 29 April 2014

CONTOH KARYA AGUNG

Hikayat Hang Tuah


Hikayat Hang Tuah
"Hikayat Hang Tuah" merupakan sebuah cerita hikayat Melayu yang menggambarkan dengan terperinci keadaan semasa sewaktu tersebut. Hikayat Hang Tuah telah disifatkan oleh pengkaji sebagai gambaran tiga zaman yang ditempuhi oleh bangsa Melayu, iaitu zaman permulaan, zaman kegemilangan dan zaman kejatuhannya.Terdapat pertelingkahan mengenai sama ada Hang Tuah benar-benar wujud, ataupun hanya dongengan semata-mata. Hal ini disebabkan tempoh yang dirangkumi dalam Hikayat Hang Tuah agak lama. Selain itu, terdapat pertelingkahan dalam beberapa kitab lain mengenai jalan cerita hikayat Hang Tuah. Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu pada masa pemerintahan Kesultanan Melaka pada abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka) bermula pada 1400-1511 A.D. Menurut rekod sejarah, beliau lahir di Kampung Sungai Duyong, Melaka kira-kira dalam tahun 1444 A.D. Bapanya bernama Hang Mahmud, manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang handal suatu ketika dahulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang di istana. Hang Tuah ialah Laksamana yang terkenal dengan kesetiaannya kepada Raja dan merupakan petarung silat yang amat handal dan tiada tolok bandingnya.
          Hang Tuah dan empat orang kawannya, iaitu Hang JebatHang KasturiHang Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bersama Adiputra diGunung Ledang. Selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke kota Melaka. Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato' Bendahara (iaitu Perdana Menteri) daripada seorang lelaki yang sedang mengamuk. Dato' Bendahara kagum dengan ketangkasan mereka dan menjemput mereka semua ke rumahnya dan seterusnya mengambil mereka untuk bertugas di istana. Sejak itu, Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan sehinggalah Hang Tuah mendapat gelaran Laksamana. Semasa mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit di tanah Jawa, Hang Tuah telah berjaya membunuh seorang pendekar Jawa bernama Taming Sari. Dalam pertarungan itu, Taming Sari, seorang pendekar yang kebal yang tidak dapat dilukakan. Tetapi Hang Tuah mengetahui bahawa kekebalan Taming Sari terletak pada kerisnya. Oleh itu Hang Tuah berjaya merampas keris berkenaan dan membunuh Taming Sari. Keris itu kemudiannya dianugerahkan oleh Betara Majapahit kepada Hang Tuah. Pemilik keris ini akan turut menjadi kebal seperti pendekar Jawa Taming Sari.
          Hang Tuah telah diutuskan ke Pahang bagi mendapatkan Tun Teja untuk dijadikan permaisuri Sultan Melaka. Ketika Hang Tuah ke Pahang, Melor turun dari Gunung Ledang mencari Hang Tuah. Melor telah ditawan oleh Tun Ali atas hasutan Patih Karma Vijaya bagi dijadikan gundik Sultan. Atas muslihat Tun Ali juga, Hang Tuah yang kembali dari Pahang akhirnya dapat berjumpa Melor, tetapi Sultan juga turut menyaksikan perbuatan Hang Tuah itu. Melor dan Hang Tuah dihukum bunuh kerana difitnah berzina dengan Melor yang telah menjadi gundik Sultan. Namun, hukuman mati tidak dilaksanakan oleh Bendahara sebaliknya Hang Tuah disembunyikannya di sebuah hutan di Hulu Melaka. Hang Jebat telah dilantik oleh Sultan menjadi Laksamana menggantikan Hang Tuah dan keris Taming Sari telah dianugerahkan kepada Hang Jebat. Hang Jebat sebagai sahabat karib Hang Tuah, menyangka bahawa Hang Tuah telah teraniaya dan telah menjalani hukuman mati. Hang Jebat (menurut Hikayat Hang Tuah) atau Hang Kasturi (menurut Sejarah Melayu), bertindak derhaka kepada Sultan dan mengambil alih istana. Tidak ada pendekar atau panglima di Melaka yang dapat menentang Hang Jebat (atau Hang Kasturi) yang telah menjadi kebal kerana adanya keris Taming Sari di tangannya.

            Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri dan berlindung di rumah Bendahara. Pada masa itu, baginda baru menyesal kerana membunuh Hang Tuah yang tidak bersalah. Inilah masanya Bendahara memberitahu yang Hang Tuah masih hidup. Hang Tuah kemudiannya telah dipanggil pulang dan dititahkan membunuh Hang Jebat. Setelah tujuh hari bertarung, Hang Tuah akhirnya berjaya merampas semula Taming Sarinya daripada Hang Jebat dan membunuhnya. Dalam pertarungan yang sedih ini, Hang Jebat telah cuba membela sahabatnya yang telah difitnah. Namun begitu, Hang Tuah telah membantu sultan yang sebelum itu menghukumnya tanpa sebarang alasan. Sedangkan Abu Bakar Siddiq R.A juga berkata kepada orang Muslim bahawa jika dia bersalah, rakyat boleh menjatuhkannya. Ternyata, kesilapan Hang Tuah yang tidak berfikir bahawa Allah S.W.T lebih berkuasa daripada sultan dan memang tidak salah seandainya Hang Jebat cuba menegakkan kebenaran. Tragedi ini masih menjadi perbalahan orang Melayu sampai sekarang. Namun begitu, ada juga yang menyokong Hang Tuah. Ini kerana Hang Jebat bukan saja derhaka kepada sultan bahkan telah membunuh ramai orang/rakyat Melaka yang tidak berdosa dengan mengamuk di dalam istana dan seluruh Melaka. Tindakan Hang Tuah yang membunuh Hang Jebat mungkin satu tindakan yang berupa hukuman mati terhadap seorang pembunuh.

Sulalatus Salatin


Sulalatus Salatin
        Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zamanKesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Namun, terdapat pendapat yang mendakwa apabilaPortugis menakluk Melaka, salinan Sejarah Melayu telah dibawa ke Goa. Sejarah Melayu ditulis di Melaka dan dibawa bersama semasa Sultan Mahmud Syah berundur dari Melaka pada tahun 1511. Naskhah asal ini kemudian dibawa ke Johor dari Kampar, Sumatera pada tahun 1528. Teks yang turun masa kini merupakan teks yang disalin dipercayai berasal sejak tahun 1356, dan disunting semula pada 1612. Salinan manuskrip yang ada bertarikh 1808. 
          Portugis merampas naskhah Sejarah Melayu pada tahun 1536 semasa menyerang Johor Lama. Naskhah ini kemudian dibawa balik ke Johor oleh Orang Kaya Suguh. Terdapat perselisihan pendapat berkenaan Goa. Pendapat pertama merujuk kepada Goa yang terdapat di India, manakala pendapat kedua merujuk pada sebuah tempat bernama Gowa yang terletak di Sulawesi. Lihat perbezaan ejaan keduanya. Pendapat yang kedua ternyata lebih kuat atas alasan sekiranya Portugis mengambil salinan Sejarah Melayu dan dibawa ke Goa, India, pastinya Sejarah Melayu akan dibawa terus ke Eropah sebagai harta rampasan.
             Terdapat sekurang-kurangnya 29 versi tetapi versi yang paling mashyur adalah versi Shellabear. Menurut pengenalan Sejarah Melayu naskah Shellabear, Yang diPertuan Raja di Hilir, Sultan Abdullah Mu'ayat Syah ibni'l Sultan Abdul Jalil Syah telah mengutuskan Seri Nara Wangsa Tun Bambang untuk memerintah Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad@Mahmud (Tun Sri Lanang) pada hari Khamis, 12 Rabiul Awal 1021 bersamaan 13 Mei 1612 agar menyunting salinan Sejarah Melayu yang dibawa oleh Orang Kaya Sogoh dari Goa/Gowa.
           Ketika itu Sultan Johor Lama, Sultan Alauddin Riayat Syah ibni Sultan Abdul Jalil Syah telah ditahan di Istana Raja Acheh, Raja Iskandar Muda. Sejarah Melayu Sulalatus Salatin dianggap penting kerana ia memberikan adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan sejarah kerajaan Melayu dan boleh dikatakan menyerupai konsep Sejarah Sahih China, di mana pada setiap pertukaran Dinasti di China, sejarah Dinasti sebelumnya akan ditulis dan disimpan.

              Sulalatus Salatin juga ada mengisahkan mengenai kisah peminangan Puteri Gunung Ledang yang mempunyai 7 syarat. Antara syarat tersebut adalah jambatan emas dan perak dari istana Melaka ke Gunung Ledang, tujuh dulang hati nyamuk dan hati hama, setempayan air mata dara sunti, setempayan air pinang muda dan semangkuk darah raja muda.  
http://www.youtube.com/watch?v=ORiUAvelvx8

Hikayat Merong Mahawangsa


Hikayat Merong Mahawangsa

 Pada tahun 120, Empayar Rom ketika itu di bawah pemerintahan Hadrian sementara di negara China, Dinasti Han merupakan sebuah empayar yang kuat dan telah memperluaskan pemerintahannya ke negara Asia Tengah. Semasa angkatan Rom sedang membaik pulih kapal mereka di Goa, mereka meminta pertolongan Merong Mahawangsa mengiringi Putera Rom ke Langkasuka (dikatakan terletak di utara Malaysia) untuk berkahwin dengan seorang Puteri China yang cantik dari Dinasti Han.
          Bagaimanapun, puak lanun dari Garuda mempunyai perancangan yang berbeza. Mereka memutuskan untuk menculik Puteri China dan menjadikannya sebagai tebusan. Di hujung pengairan Selat Melaka, Merong Mahawangsa dan angkatannya diserang oleh Garuda. Maka, adalah tugas Merong Mahawangsa untuk menyelamatkan Puteri China dan menyatukan baginda dengan Putera Rom bagi sebuah perkahwinan yang menemukan dua tamadun besar dari negara Timur dan Barat.

Berikut adalah trailer filem Hikayat Merong Mahawangsa yang dihasilkan oleh Yusry Abdul Halim. http://www.youtube.com/watch?v=RuzUuM7utqM


Hikayat Indera Nata
Kisah bermula bermula apabila Indera Jenaka tiba ke negeri Rom setelah sekian lama mengembara dan sampai ke rumah bondanya Si Batu Kembar. Bondanya bertanya tentang Si Piatu. Indera Jenaka memberitahu bahawa Si Piatu itu sebenarnya adalah Indera Nata yang berani dengan segala binatang buas dan boleh bercakap dengan segala binatang. Indera Nata telah menyeberangi lautan dengan bantuan ular sakti ke negeri Pattani. Indera Nata juga telah menyelamatkan Indera Jenaka daripada dibaham binatang buas. Tuanku Syah Alam mengkagumi Indera Nata apabila mendengar cerita daripada Indera Jenaka. Kisah selanjutnya, Indera Nata pergi mengembara dan ternampak sebuah bukit yang terlalu tinggi dan terdapat sebuah rumah di situ. Di sebelah rumah tersebut terdapat sebuah mahligai dan dia melihat tujuh orang puteri di dalamnya. Indera Nata memperkenalkan dirinya sebagai anak Raja Rom dan memberitahu tujuannya datang atas perintah ayahandanya mencari gajah bergadingkan emas. Puteri-puteri itu gembira dengan kedatangan Indera Nata dan memperkenalkan diri mereka yang berasal dari negara yang berlainan. Salah seorang puteri tersebut iaitu Tuan Puteri Cendera Kesuma memberitahu mereka telah ditawan oleh sepasang suami isteri raksasa untuk dimakan apabila mereka dewasa. Puteri Cedera Kesuma bercadang meminta pertolongan raksasa untuk mencari gajah bergading emas bagi membantu Indera Nata mendapatkan gajah itu segera. Apabila raksasa pulang, Indera Nata disembunyikan di dalam peti emas dan puteri-puteri itu membuat helah kepada raksasa dengan mengatakan jika hendakkan mereka cepat dewasa dan boleh dimakan hati mereka , perlulah mencari gajah bergading emas. Raksasa pergi ke hutan mencari gajah bergading emas dan secara kebetulan terserempak dengan Raja Rom yang menaiki gajah bergading emas dan pengikut-pengikutnya pergi berburu . Raksasa berasa gembira dan telah membunuh mereka semua dan membawa balik gajah bergading emas.
            Sekali lagi Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah supaya raksasa mencari kijang putih bertanduk emas dan memberikan kain hitam untuk dicuci sampai putih sebagai tanda sayang raksasa kepada mereka. Raksasa lelaki keluar mencari kijang putih bertanduk emas sementara raksasa perempuan pergi mencuci kain hitam supaya menjadi putih. Pada masa itulah, Indera Nata membawa ketujuh-tujuh puteri melarikan diri dengan menaiki gajah bergading emas bersama semua harta dalam mahligai itu.Kedua-dua raksasa itu gagal mencari kijang putih bertanduk emas dan memutihkan kain yang hitam, mereka kembali ke mahligai dan mendapati gajah bergading emas dan ketujuh-tujuh puteri telah hilang. Kedua-dua raksasa terlalu marah dan segera mengikuti kesan tapak kaki gajah dan akhirnya ternampak ketujuh-tujuh puteri bersama Indera Nata di atas gajah. Indera Nata dan ketujuh-tujuh puteri menangis ketakutan apabila mendengar suara raksasa sehingga sampai ke tepi pantai.
           Indera Nata meminta Betara Gangga dengan menggunakan gemala hikmat dan Betara Gangga mengarahkan ular sakti dan naga membawa Indera Nata dan ketujuh-tujuh puteri menyeberangi lautan. Ular sakti dan naga tersebut membawa mereka semua ke seberang. Raksasa yang tiba di tepi pantai cuba menarik Indera Nata dan ketujuh-tujuh puteri di seberang tetapi ular sakti dan naga telah menarik raksasa ke tengah laut menyebabkan kedua-dua raksasa itu mati. Indera Nata bersama ketujuh-tujuh puteri telah berjalan selama tujuh hari tujuh malam sehingga sampai ke rumah bondanya Tuan Puteri Cenderawati. Bondanya sangat gembira melihat kedatangan mereka. Indera Nata menceritakan semua peristiwa yang berlaku dan ketujuh-tujuh puteri bercerita tentang diri mereka kepada Tuan Puteri Cederawati. Mereka semua tinggal bersama Tuan Puteri Cenderawati.

Hikayat Aceh

Di bahagian awal penceritaan hikayat ini adalah mengenai Raja Indera Syah yang diterima oleh Maharaja Cina dengan segala kehormatan. Maharaja telah menyerahkan kepadanya segala peninggalan Raja Iskandar. Istana yang telah dibina untuk dia tinggal bersama-sama pengikutnya. Raja Indera Syah juga mempunyai permaisuri yang bernama Nur Kamarain. Selama tinggal di negeri Cina, Puteri Nur Kamarain hamil dan ketika mencapai sembilan bulan kandungannya, dia memikirkan faedah yang akan diperolehinya jika anaknya yang berketurunan dari raja yang besar dapat dilahirkan di sana. Raja Syah Muhammad hairan melihat Puteri Nur Kamarain (bahagian cerita yang hilang). Raja Syah Muhammad menyuruh orang untuk menebang buluh dan di dalam buluh itu telah keluar seorang perempuan yang elok parasnya iaitu anak bidadari. Puteri ini bernama Tuan Puteri Dewi Indera telah dibawa ke istana di atas gajah ringga sambil diiringi oleh dayang-dayang. Sesampai disana dia disambut dengan penuh kehormatan. Raja Syah Muhammad telah berkahwin dengannya dan setelah berapa lamanya mereka mendapat dua orang anak iaitu lelaki dan perempuan. Anak lelakinya bernama Sultan Ibrahim dan anak perempuan bernama Sapiah.
            Puteri Dewi Indera mempunyai bulu roma putih pada dagu kanannya, yang tidak disukai oleh Raja Syah Muhamad. Raja Syah Muhamad membantun bulu roma itu ketika puteri sedang tidur, malangnya telah keluar tiga titik darah putih dari liang roma dagu puteri itu. Puteri terperanjat lalu meninggal dunia. Raja Syah Muhamad berasa sangat menyesal di atas perbuatannya itu. Tidak lama kemudian Raja Syah Muhammad dan Raja Syah Mahmud berangkat dengan rakyatnya ke Seracan untuk bermain-main. Raja Syah Muhammad tidak mahu meninggalkan tempat tersebut kerana terdapat sebuah kolam yang luas berair jernih. Di dalam dan sekeliling kolam itu terdapat berbagai- bagai jenis bunga. Raja Syah Mahmud mengarahkan orang untuk membina balai perhentian di tempat tersebut. Ketika berada di kolam itu, Raja Syah Mahmud telah melihat anak bidadari yang mandi di kolam tersebut. Raja Syah Mahmud telah mencari idea untuk mendapatkan seorang bidadari dan dia telah mencuri baju terbang bidadari tersebut ketika dia sedang mandi. Raja Syah Mahmud memujuk bidadari itu dengan mengatakan bahawa pertemuan mereka itu telah ditentukan oleh kehendak Tuhan. Puteri Bonsu iaitu bidadari tersebut telah dibawa di atas gajah ke istana, dan Raja Syah Mahmud telah berkahwin dengannya. 
            Hasil perkahwinan tersebut mereka telah mendapat dua orang anak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Anak lelaki bernama Raja Sulaiman Syah manakala anak perempuan ialah Arkiah. Puteri Bongsu telah terbang ke udara kerana kesal dengan sikap Raja Syah Mahmud yang telah memungkiri janji dengan menyumpah anaknya itu adalah anak jin atau anak peri. Raja Munawwar Syah telah mengahwinkan cucu lelakinya Raja Sulaiman Syah dan Raja Ibrahim dengan cucu perempuannya, Puteri Arkiah dan Puteri Sapiah. Raja mendapat dua orang anak iaitu Raja Muzaffar Syah dan Raja Syamsu Syah. Raja Munawwar Syah yang telah memerintah di Lamri dan mendapat isteri bidadari yang berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain. Oleh Sebab itu, Perkasa ‘Alam (Sultan Iskandar Muda) juga keturunan Raja Iskandar Zulkarnain dan bidadari berdarah putih, dan keturunan Maha Bisnu. 
            Di bahagian seterusnya diceritakan salasilah Perkasa ‘Alam daripada pihak bonda adalah Sultan ‘Inayat Syah, Sultan Firman Syah, Paduka Marhum Sayyid al-Mukammil dan Paduka Syah ‘Alam, bonda Perkasa ‘Alam. Raja Muzaffar Syah yang seibu sebapa dengan Raja Munawwar Syah, mempunyai anak iaitu Raja Syamsu Syah. Salasilah daripada pihak ayah adalah Raja Muzaffar Syah, Raja Syamsu Syah, Sayyid al- Marhum, Paduka Marhum dan Marhum Muda. Raja Muzaffar Syah memerintah di Makota ‘Alam dan Raja Inayat Syah di Dar al-Kamal, dua bahagian di negeri Aceh. Sempadan bagi kedua-dua negeri tersebut adalah sungai. Kedua- dua raja tersebut selalu berperang. Raja Muzaffar Syah mempunyai meriam yang ditawannya daripada Peringgi di Teluk Lmari. Walaupun memiliki meriam itu, dia masih tidak dapat memenangi perang.
           Raja Muzaffar Syah memerintah Aceh Dar as-Salam dengan membuat muslihat mengahwinkan puteranya dengan puteri Raja ‘Inayat Syah. Semasa dalam perarakan masuk mas kahwin ke Dar al-Kamal, pelbagai alatan senjata disembunyikan dan disebabkan muslihat itulah beliau berjaya memerintah Aceh. Beliau akhirnya telah mangkat pada tarikh 919 H dan digantikan oleh putera baginda, Sultan ‘Ali Mughayat Syah. Pada zaman pemerintahanya pula Aceh diserang oleh Sultan Ma’arif Syah yang memerintah Syahr Deli ( Pidie) kerana beliau berasa terhina di atas penolakan peminangan bagi putera beliau. Namun, beberapa lama kemudian Sultan Ma’arif Syah mangkat lalu digantikan oleh putera beliau iaitu Sultan Ahmad. Sultan ‘Ali Mughayat Syah cuba mengambil kesempatan dengan menyerang semula Syahr Deli. Akibatnya Sultan Ahmad ditinggalkan rakyatnya dan telah melarikan diri melalui Merdu ‘Isyaki ke Melaka. Sultan ‘Ali Mughayat Syah yang memerintah Syahr Deli dan telah mangkat dengan memerintah selama 18 tahun. Kemudian digantikan pula oleh putera baginda iaitu Sultan Salah ad-Din pada tahun 937 H. Namun sultan ini sangat lemah dan tidak melaksanakan tanggungjawab sehingga bondanya mengangkat seorang pendatang Agha sebagai mangkabumi dengan gelaran Raja Bongsu’Ala ad- Din dan Salah ad-Din cuba mencari muslihat untuk membunuh Raja Bongsu. Akhirnya Raja Bongsu dibunuh di Kota Batu oleh pengikut raja.
            Paduka Syah ‘Alam (bonda raja) berjanji hendak membalas dendam. Oleh sebab itu mayat Raja Bongsu yang telah dikebumikan di Bait ar-Rijal disuruh dipindahkan oleh ‘Ala ad-Din ke Pulau Sabda dan kemudiannya dibuang ke laut. Paduka Syah Alam dan Sultan Salah ad-Din kemudiannya dikurung. Beberapa hari selepas kejadian ini Salah ad-Din mangkat, setelah memerintah selama 19 tahun (956H) dan digantikan pula oleh Sultan ‘Ala ad-Din Ri’ayat Syah.  Raja ini menghantar penghulu Anbia kepada Raja Besar di Ujung Tanah untuk meminang puterinya. Raja ‘Ala ad-Din akhirnya berkahwin dengan puteri Raja Besar. Semasa hendak melawat mentuanya, didapati bahawa Raja Besar telah melarikan diri. Raja Aceh mengarahkan segala hulubalang supaya mencari mentuanya. Di Seluyut mereka berjumpa dengan Setia Guna ad-Diraja beserta raja Johor dan pengikut baginda. Mereka dibawa menghadap Sultan Aceh dengan harta benda. Semasa angin abik, angkatan belayar kembali ke Aceh. Di tengah jalan, di teluk Sumatera, raja Ujung Tanah dijemput oleh Sultan Aceh untuk dipermuliakan. Setelah lamanya, Sultan ‘Ala ad-Din mangkat (986H) dengan pemerintahan selama 30 tahun dan digantikan oleh putera baginda iaitu Sultan Ali Ri’ayat Syah. Raja ini mempunyai dua orang saudara yang sangat iri hati kepada baginda iaitu raja Ghori (Deli) dan raja Mughal (Pariaman).
           Sultan Mughal sedaya upaya mncuba muslihat untuk menyihir Sultan ‘Ali dan kemudiannya Sultan ‘Ali jatuh sakit. Sultan Ali mendengar perbualan Raja Mughal yang ingun masuk secara rahsia dengan gajah ke anjung istana. Kemudian, Sultan ‘Ali bermesyuarat dengan pembesarnya dan merancang untuk meletakkan senjata ke dalam atap di istana. Tidak lama kemudian, Sultan ‘Ali mangkat pada tahun 994 H. Baginda diganti oleh saudara baginda Sultan Seri ‘Alam. Raja ini sangat pemboros dan ramai yang berpakat untuk menggantikannnya dengan Sultan Zainal-‘Abidin, putera Raja Ghori. Raja ini berada di atas tahkta selam tempoh dua tahun dan pada tahun 997 H digantikan oleh Sultan ‘Ala ad-Din Ri’ayat Syah.
           Semasa pemerintahan Sultan ‘Ala ad-Din Ri’ayat Syah negeri Aceh menjadi sangat makmur kerana pemerintahannya yang adil dan alim. Raja ‘Abdul Jalil menghantar utusan kepada Syah ‘Alam untuk meminang puterinya iaitu Puteri Raja Indera Bangsa kepada Raja Mansur Syah. Seterusnya diceritakan pula tentang adat perkahwinan iaitu di bawah pimpinan Raja Permaisuri yang telah menghantar alat-alat perkahwinan kepada bakal pengatin baru. Raja Permaisuri disuruh bertanya kepada Syah Alam untuk menentukan hari perkahwinan dan kedua-dua raja ini telah membuat persediaan yang rapi. Tuan Puteri Raja Indera Bangsa dikenakan pakaian yang indah dan disandingkan dan kedua-dua raja ini dikahwinkan mengikut adat-istiadat. Setelah seberapa lamanya, maka puteri itu pun hamil dan selama puteri itu hamil, negeri berada dalam keadaan aman dan harmoni. Sewaktu puteri hamil juga banyak mimpi-mimpi yang pelik dialami oleh puteri. 

            Pada suatu hari ketika maghrib, puteri sakit hendak beranak dan ketika itu juga diceritakan kejadian aneh berlaku. Pada waktu ‘Isyak kejadian berlaku dengan halilintar membelah langit, kilat sabung-menyabung, guruh menderu, bumi bergerak selaku gempa, hujan rintik- rintik dan angin taufan bertiup sehingga gelap-gelita. Keesokan harinya datang hakim Mahmud untuk mengucapkan selamat kepada sultan dan keramaian diadakan. Ketika berumur tiga tahun Syah Alam telah menukar nama anaknya daripada Zainal Abidin atau Raja Silan kepada Raja Munawwar kerana moyangnya terdahulu juga bernama Raja Munawwar Syah. 


2 comments:

  1. Alhamdulillah. perkongsian yang menarik.
    kalau dapat dikeluarkan nilai murni, pengajaran, dan lain-lain pasti lagi menarik. hehehe

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas cadangan anda..Kami akan membuat penambahbaikan pada entri yang akan datang..Teruskan mengunjung blog ini ya.=)

    ReplyDelete