Saturday 3 May 2014

Penghargaan

Bismillahirrahmanirrahim...






Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kami memanjatkan rasa kesyukuran kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat juga kami menyiapkan tugasan yang diberikan. Blog ini dijalankan untuk memenuhi tugasan yang diminta oleh pensyarah kami bagi Kursus BMS 3022, iaitu Karya Agung Melayu. Selain itu, blog ini dibina untuk mempromosikan dan memberi maklumat tambahan berkaitan Karya Agung yang semakin dilupakan oleh masyarakat.



            Ribuan terima kasih kami ucapkan kepada individu penting yang banyak membantu kami sepanjang kami menyiapkan blog ini. Pertama sekali kepada Dr. Mohd Rashid bin Md Idris kerana beliau telah banyak memberikan bimbingan dan semangat kepada kami untuk menyiapkan blog ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan ucapan terima kasih kepada beliau.




            Selain itu, terima kasih juga diucapkan kepada ibu bapa kami yang sudi memberi dorongan dan motivasi semasa kami menyiapkan blog ini. Tidak lupa juga, kepada rakan-rakan kami, kerana sudi melawati blog karya agung kami ini dan memberikan sokongan serta dorongan kepada kami sepanjang blog ini dijalankan. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat selama menjayakan blog ini.








Thursday 1 May 2014

NILAI DAN MAKLUMAT

1.0       PENGENALAN
Secara umumnya karya agung boleh difahami sebagai karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Pengertian Karya Agung Melayu dan Karya Agung Dunia Melayu mempunyai perbezaan. Karya Agung Melayu bermaksud Karya Agung yang ditulis atau diungkap atau dilisankan dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira perbezaan kelompok, bangsa,etnik dalam kawasan dunia Melayu ini manakala Karya Agung Dunia Melayu pula bermaksud Karya Agung yang terdapat di kawasan Dunia Melayu yang terdapat dalam bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Melayo-Polinesia yang lain.
            Karya Agung Melayu merupakan salah satu warisan Melayu yang harus dipelihara dengan baik. Hal demikian kerana Karya Agung merupakan cerminan yang dapat menceritakan kehidupan masyarakat Melayu pada zaman dahulu khususnya ketika zaman pemerintahan Melayu Melaka. Penelitian terhadap kandungan Karya Agung Melayu dapat membantu kita mengenali dengan lebih dekat berkenaan struktur sosial, budaya, agama serta nilai atau norma-norma kehidupan yang diamalkan masyarakat Melayu ketika itu.
Menyingkap kembali kata-kata keramat Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah “Takkan Melayu hilang di dunia”, jelas memerlukan usaha kita sebagai generasi pewaris warisan Melayu untuk terus mengenali dan memperkasa jati diri Melayu. Salah satu caranya ialah dengan meneliti kembali karya-karya dahulu bagi mendapatkan gambaran sebenar kehidupan masyarakat pada waktu itu.
Penelitian tentang nilai ilmu dan maklumat dalam sesebuah karya agung dapat membantu kita menjejaki cara hidup nenek moyang kita pada waktu dahulu. Contohnya seperti ilmu jampi, ilmu pengasih, dan ilmu pendukunan yang sememangnya merupakan suatu amalan bagi masyarakat terdahulu. Jika dilihat pada peredaran masa sekarang, banyak nilai ilmu yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dahulu ditinggalkan kerana ada diantaranya yang bertentangan dengan agama Islam, malahan tidak lagi relevan pada masa kini. Namun, itulah hakikat yang perlu kita ketahui dan selami kerana nilai-nilai ini telah lama terserap dalam diri seorang Melayu.
2.0       ILMU FIRASAT
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ( 2010:412) ilmu firasat ialah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka iaitu anggota badan dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Ilmu firasat dapat dikatakan sebagai ilmu yang boleh menilik nasib seseorang. Sesiapa yang mempelajari akan ilmu ini akan boleh membaca fikiran seseorang. Dalam Hikayat Hang Tuah, terdapat beberapa peristiwa yang boleh dikaitkan tentang penggunaan ilmu firasat. Antaranya ialah berdasarkan kepada peristiwa mimpin yang telah di alami oleh Hang Mahmud. 
 “ Maka pada malam itu Hang Mahmud bermimpi bulan turun dari langit; maka cahayanya penuh di atas kepala Hang Tuah. Hang Mahmud pun terkejut lalu bangun daripada tidur, lalu diribanya anaknya Hang Tuah dan diangkatnya, maka diciumnya seluruh tubuh.
                                                                                  (Hikayat Hang Tuah : 23)
Hang Mahmud telah bermimpi tentang bulan yang turun dari langit dan cahaya bulan tersebut telah mengenai Hang Tuah. Melalui peristiwa tersebut, Hang Mahmud berpendapat bahawa sesuatu akan berlaku kepada Hang Tuah. Dengan itu, beliau telah berpesan kepada isterinya iaitu Dang Merdu agar sentiasa menjaga Hang Tuah. Hang Mahmud juga berfikir bahawa Hang Tuah patut diberikan ajaran yang sempurna. Namun, disebabkan keadaan di Kampung Sungai Duyung tidak mempunyai tempat pengajian yang sesuai untuk Hang Tuah, maka Hang Mahmud berpendapat mereka haruslah berpindah ke Bentan. Di Bentan, Hang Tuah telah diserahkan kepada seorang lebai untuk diajarkan mengaji al-Quran.
“ … Maka dilihatnya seekor pelanduk putih, seperti kambing besarnya, berhadapan dengan anjingnya. Maka oleh pelanduk itu digigitnya akan anjing kedua itu. Maka anjing itu pun berteriak keduanya lalu terjun ke dalam sungai itu. Maka pelanduk itu pun mengusir anjing keduanya. … “ Ya Tuanku Syah Alam, ada patik dengar kata orang tua-tua patik, jika ada pelanduk putih pada hutan atau barang tempat sekalipun, baiklah tempat, patut diperbuat negeri; berdaulat negeri, tuanku.”
                                                                                  (Hikayat Hang Tuah : 64)
Selain itu, dalam hikayat ini juga peristiwa yang berkaitan dengan ilmu firasat dapat di lihat pada peristiwa penubuhan Kota Melaka. Pada ketika Tuanku Syah Alam sedang berehat di bawah sepohon pokok, Hang Tuah telah mengkhabarkan kepada Tuanku tentang Anjing pemburuannya yang telah dikalahkan oleh seekor pelnduk putih. Tuanku Syah Alam tertarik dengan cerita yang disampaikan dan bertanya kepada salah seorang pembesar tentang peristiwa tersebut. Pada pandangan pembesar, menurut cerita yang di sampaikan oleh orang tua-tua, jika terdapat seekor pelanduk putih, maka tempat itu amat sesuai untuk dibuka sebuah negeri. Berdasarkan kepada peristiwa dan pendapat yang diberikan oleh pembesar, Tuanku Syah Alam berfirasat, jika dibuka sebuah negeri, negeri tersebut akan maju dan kuat.
… “ Apa juga dipakainya maka tiada lut kuparang? Tetapi pada firasatku sebab kerisnya inilah maka ia tiada dapat ditentang lawan dan tiada lut kuparang tubuhnya ini. Jikalau demikian, apa jua kehendaknya? Baiklah kuperdayakan.”
                                                                      (Hikayat Hang Tuah : 155)
Menerusi peristiwa yang berlaku tentang rahsia Keris Taming Sari. Hang Tuah berfirasat bahawa jika seseorang itu mempunyai keris Taming Sari, badannya tidak akan lut jika ditikam. Dengan menggunakan kebijaksanaannya, Hang Tuah telah berjaya merampas keris tersebut dari tangan Taming Sari. Dengan itu, dapat dikatakan bahawa, untuk memperoleh keris Taming Sari tersebut. Firasat awal Hang Tuah tentang keris tersebut sememangnya betul, kerana sepanjang beliau menggunakan keris tersebut, beliau tidak pernah tercedera dalam pertarungan.

3.0       ILMU PENGASIH
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ilmu pengasih ialah pengetahuan tentang jampi, azimat, atau guna-guna untuk mendatangkan atau membangkitkan rasa kasih terhadap individu yang dikehendaki. Ilmu pengasih boleh difahami sebagai salah satu ilmu kebatinan yang digunakan sebagai satu usaha untuk menakluki dan memiliki sekeping hati yang dimiliki individu yang dihajati atau dicintai secara halus atau ghaib. Ilmu ini hanya akan berkesan kepada individu yang dimaksudkan sahaja dan tidak akan memberi kesan kepada orang yang terdekat dengannya.
            Ilmu pengasih dibuat dalam berbagai jenis, kaedah serta nama. Contohnya minyak dagu, pengasih purnama, pengasih arjuna, pengasih jiwa dan banyak lagi. Ilmu pengasih boleh dilakukan dengan menggunakan minyak pengasih yang diperbuat daripada bahan tertentu, makanan dan minuman, minyak wangi, tenungan mata, hikmah suara, hikmah seri wajah dan sebagainya. Hakikatnya, ilmu pengasih ini telah diamalkan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi.  Keadaan ini turut digambarkan dalam karya-karya warisan Melayu. Dalam Hikayat Hang Tuah turut diceritakan perihal Hang Tuah menggunakan ilmu pengasih bagi mendapatkan Tun Teja.:
Maka Tun Tuah pun bermohonlah lalu pulang ke rumahnya. Maka Tun Tuah pun mandi dan berlangir. Maka Tun Tuah pun duduklah membuka pustakanya. Setelah sudah dilihat dalam pustakanya, maka Tun Tuah pun tersenyum, seraya dikucupinya puatakanya itu.
                                                                                  (Hikayat Hang Tuah: 216)
Setelah Tun Tuah berolah jebat itu, maka Tun Tuah pun kembalilah ke rumahnya berbuat suatu guna pengasih namanya. Setelah sudah diperbuat guna itu, maka pada malam itu juga Tun Tuah berjaga membaca pustakanya datang siang.
                                                                                  (Hikayat Hang Tuah:  217)
Demi berpalit gunanya itu maka Tun Teja pun terkejut seperti disentap orang kakinya. Maka Tun Teja pun bangun, seraya berkata, “Rindunya aku akan Mak Inang…” … “Janganlah inangda takut. Mana Tun Tuah itu sekarang?
                                                                                  (Hikayat Hang Tuah: 218)

Namun, sebagai umat Islam kita wajib menjauhi perkara yang dilarang Allah SWT. Setiap perkara yang tidak diajarkan oleh Rasulullah SAW adalah dikira sebagai perkara Bid’ah iaitu perkara yang bercanggah dengan al-Quran atau Sunnah dan turut dianggap sesat. Peredaran masa serta meningkatnya tahap mentaliti dalam kalangan masyarakat sekarang menjadikan amalan-amalan sebegini tidak lagi di amalkan kerana masyarakat kini telah pandai memilih dan membezakan antara yang buruk dan baik.

4.0       ILMU PENDUKUNAN
Perdukunan merupakan penterjemahan dari kata al kahaanah daripada Bahasa Arab. Ilmu dukun ini dikatakan mengandungi tiga unsur iaitu unsur yang pertama ialah mesti adanya yang disebut sebagai kaahin (si pendukun), mutakaahin (peminta atau pesakit yang berjumpa dukun) dan mahkuun (kepada siapa dukun itu ditujukan). Kamus Dewan menyatakan bahawa dukun merupakan orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional dengan membaca jampi serapah dan sebagainya. Perdukunan pula didefinisikan sebagai sesuatu yang mengenai  atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional yang berkaitan dengan ilmu dukun.
Terdapat beberapa istilah untuk orang yang mengamalkan ilmu perdukunan ini. Antaranya ialah kahin, ‘arraf, rammal, munajjim atau ahli nujum, sahir atau tukang sihir dan lain-lain. Al Baghawi mengatakan bahawa al-kahin merupakan seseorang yang mengkhabarkan sesuatu yang akan terjadi pada masa akan datang. Namun demikian, ada juga yang mengatakan al-kahin adalah individu yang memberitahu apa yang tersirat di dalam hati seseorang. Istilah yang kedua yang berkaitan dengan perdukunan ialah ‘arraf. ‘Arraf dikatakan oleh Al-Baghawi sebagai orang yang mengaku-ngaku tahu akan urusan-urusan tertentu melalui cara yang tertentu dan mungkin juga mengetahui tempat sesuatu barang yang hilang itu disorokkan.
            Istilah yang ketiga bagi pendukun ialah rammal. Rammal ini merupakan kata akar bahasa Arab iaitu raml yang diertikan sebagai pasir yang lembut. Rammal pula adalah seorang tukang ramal yang akan menggaris-gariskan sesuatu di pasir untuk mengetahui sesuatu perkara yang diminta oleh orang yang datang berjumpa dengannya. Ilmu ini telah lama dikenali oleh masyarakat Arab dengan nama ilmu raml. Munajjim atau juga disebut sebagai ahli nujum sudah pasti sinonim dengan masyarakat Melayu. Nujum membawa erti bintang-bintang. Ahli nujum ini biasanya akan meramal nasib seseorang menggunakan cara yang tertentu. Sebagai contohnya dapat dilihat dalam Hikayat Hang Tuah seperti berikut :
Maka segala ahlul nujum dan sasterawan pun melihat yang di dalam nujum. Setelah sudah dilihatnya, maka masing-masing pun menggerakkan kepalanya. Maka titah baginda, “Apa sebab kamu sekalian mengerakkan kepalamu?” Maka sembah segala ahlul nujum dan sasterawan itu, “ya Tuanku Syah Alam, patik mohonkan ampun beribu-ribu ampun dan kurnia ke bawah Duli Syah Alam; adapun patik anakanda ini terlalu amat bahagia beroleh suami anak raja besar,  dan anak cucu paduka anakanda inilah akan raja datang kepada akhir zaman, akan menjadi raja besar. Maka duli tuanku pun hendaklah segera memberi paduka anakanda bersuami, hendaklah paduka anakanda ini ditaruhkan pada suatu pulau yang bernama Biram Dewa itu dengan suatu mahligai dan dayang-dayang. Di sanalah paduka anakanda bersuami raja besar itu.”
                                                                                  (Hikayat Hang Tuah: 5)
Berdasarkan petikan di atas, hikayat ini menceritakan perihal Tuanku Syah Alam yang menggunakan khidmat ahli nujum bagi menilik untung nasib anak gadisnya itu iaitu Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam. Melalui tilikan para ahli nujum, mereka mendapati bahawa nasib anak gadisnya itu adalah beroleh keuntungan pada masa akan datang melalui perkahwinannya dengan anak raja besar. Justeru, untuk beroleh keuntungan tersebut ahli nujum menyarankan supaya Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam segera dikahwinkan dan diletakkan di sebuah pulau yang bernama Biram Dewa dengan sebuah istana berserta dayang-dayang.
Melalui Hikayat Hang Tuah, jelas menunjukkan bahawa peranan dukun sangat penting pada zaman dahulu dalam menentukan masa depan seseorang. Dukun bukan sahaja berupaya mengubati orang sakit, bahkan dukun juga dapat mengetahui sesuatu perkara yang bakal berlaku kelak. Hal ini berlaku disebabkan pengaruh Hindu-Buddha yang meresapi dalam budaya Melayu pada ketika itu. Mereka lebih percaya tilikan yang akan menetukan nasib mereka pada masa akan datang. Selepas kedatangan Islam, ilmu pendukunan semakin jarang digunakan.


5.0       ILMU JAMPI
Jampi didefinisikan Kamus Dewan sebagai kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian seperti boleh menyembuhkan penyakit. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Orang Melayu sangat dekat dunianya dengan spiritual. Ini mungkin juga disebabkan oleh Islam yang menjadi agama rasmi orang Melayu, agama Hindu dan Buddha juga pernah mempengaruhi masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. Jika dilihat pada zaman dahulu, hampir kesemua aktiviti akan diikuti dengan jampi.
            Ilmu jampi atau perdukunan ini dapat dilihat dalam teks Sulalatus Salatin pada bab 3 yang ada menyentuh tentang Badang beroleh gagah. Dalam bahagian ini, Badang merupakan seorang hamba yang tinggal di Sayung dan mengerjakan sebuah huma milik tuannya. Badang juga mempunyai aktiviti lain iaitu gemar menahan lukah. Namun apa yang menghairankan ialah lukahnya tidak pernah dimasuki ikan dan dia hanya menjumpai tulang ikan sahaja berhampiran lukahnya itu. Maka, pada suatu hari Bdang mengintip kawasan lukah itu untuk mengetahui siapakah yang telah memakan ikan di lukah yang ditahan itu.
            Badang berasa terkejut apabila melihat seekor hantu yang berbadan besar dan panjang, matanya merah seperti matahari terbit, dan rambutnya dikatakan mencecah pusat. Dengan berbekalkan parang dan kapak, Badang menerpa kea rah hantu itu dan memegang janggutnya dan mengugut mahu membunuhnya. Akibat ketakutan, hantu itu memberikan beberapa tawaran dan Badang memilih untuk menjadi kuat. Untuk menjadi kuat, hantu itu mengarahkan Badang supaya memakan muntahnya. Berikut adalah kata-kata hantu tersebut :
“Jikalau engkau hendakkan gagah, makanlah muntahku. Setelah itu oleh Badang dicubanya segala pohon kayu hampirnya yang besar-besar itu, dengan sekali bantunnya habis patah-patah”.                                                       
 ( Hikayat Hang Tuah: 48-49 )
            Dalam Islam, terdapat juga unsur-unsur jampi. Namun demikian, ayat-ayat yang dibacakan dalam jampi tersebut adalah ayat al-Quran dan bergantung kepada keizinan Allah untuk menyembuhkan sesuatu penyakit atau tidak. Pada hari ini, ramai yang terkeliru antara jampi yang diamalkan pengamal ilmu hitam dengan pengamal al-Quran. Tidak kurang juga ada yang menyatakan bahawa jampi yang menggunakan ayat al-Quran ini adalah syirik kerana menyekutukan Allah. Di sini terdapat percanggahan pendapat kerana dari segi syarak itu sendiri, Islam membenarkan umatnya untuk berubat selagi mana cara perubatan itu tidak menyekutukan Allah dan tidak membuatkan individu itu terpesong kepercayaannya.

6.0       MAKLUMAT TENTANG STRATA SOSIAL MASYARAKAT
Strata masyarakat  atau statifikasi ialah menggambarkan tentang struktur sosial masyarakat dari segi iaitu pembahagian masyarakat kepada beberapa lapisan atau kelas yang berlainan atau juga dikenali sebagai susun lapis masyarakat. Dalam Karya Agung Sejarah Melayu, masyarakat Melayu digambarkan mempunyai struktur yang tersusun. lanya didahului oleh seorang raja sebagai pemerintah. Baginda akan dikelilingi oleh kerabat-kerabat di raja, permaisuri, putera-puteri raja serta kaum kerabat di raja yang lain. Berada di bawah baginda ialah golongan pentadbir atau lebih dikenali juga sebagai golongan bangsawan. Antara jawatan penting ialah seperti Bendahara, Laksamana, Penghulu Bendahari, Temenggung, Syahbandar, Bentara dan lain-lain lagi. Selain itu, golongan ulama juga berada dalam hirarki ini seperti Makhdum, Sayyid, Maulana dan Kadhi.
Seterusnya ialah golongan rakyat biasa yang merdeka. Biasanya golongan ini terdiri dari pedagang-pedagang, petani, tukang-tukang mahir serta saudagar-saudagar. Contoh yang terkenal dalam Sejarah Melayu ialah seperti Hang Isap serta Raja Mandeliar, Mina Sura Dewana, Kitul, Ali Manu Nayan dan Patih Adam yang rapat dengan golongan bangsawan. Golongan yang berada dalam kelas terbawah ialah golongan hamba. Ada tiga kategori hamba yang dipaparkan dalam Sejarah Melayu seperti hamba abdi, hamba biduanda dan hamba hutang. Namun, perkara yang paling menarik ialah tiadanya unsur kasta dalam masyarakat Hindu yang dibawa ke dalam strafikasi masyarakat Melayu Melaka.

Golongan pembesar turut berada dalam kategori pemimpin selepas golongan raja. watak Hang Tuah yang digambarkan sebagai seorang hulubalang yang sangat setia kepada rajanya. Beliau sentiasa mentaati perintah raja yang kadang kala tidak dapat diterima akal oleh masyarakat kini. Kisah penderhakaan Jebat adalah salah satu daripadanya. Dalam peristiwa tersebut tidak ada seorang pun yang dapat mengusir Hang Jebat daripada istana. Apabila Sultan Mansor Syah menitahkan Hang Tuah supaya membunuh Hang Jebat, beliau tidak menolak langsung perintah itu walaupun orang yang bakal dibunuhnya itu adalah sahabatnya sendiri.
Maka bertikam pula ia dengan Hang Jebat, dua tiga kali keris Hang Tuah tertikam kepada tiang dan dinding.
(Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu): 142)
Strata rakyat biasa pula dapat dilihat pada kisah Wan Empuk dan Wan Malini yang merupakan seorang petani yang mengerjakan padi huma di lereng bukit. Pada suatu hari, mereka melihat padi mereka sudah masak dan berbuahkan emas serta berdaunkan perak. Di  atas bukit itu, mereka menemui tiga orang pemuda yang tampan parasnya. Mereka menyatakan bahawa mereka adalah keturunan Raja Iskandar Zulkarnain bernisabkan Raja Nusirwan dan pancaran Raja Biktram Syah. Pemuda itu bernama Nila Pahlawan dan Karna Pndita dan bersama-sama mereka ialah sebilah pedangn bernama Simandang Kini dan lembing bernama Lembuara.
Maka kepada malam itu dipandang oleh Wan Empuk dan Wan Malini dari rumahnya, di atas Bukit Si Guntang itu bernyala seperti api … Maka keduanya naik ke atas Bukit Siguntang itu. Maka dilihatnya padinya berbuahkan emas dan berdaunkan perak dan batangnya tembaga suasa.
                                                          (Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu): 20)